CERITA jejak lagu Jamilah, Que Haidar baru bermula. Terbaharu dia "singgah" kerana dilamar oleh pusat kain Jakel menjadi duta terbaharunya.
Benarlah bagai dikata, tuah ayam nampak di taji, tuah insan yang baru menjadi duda, Allah SWT pegang waktunya.

Que Haidar, atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, yang dilahir 30 Mei 1979 adalah seorang pelakon, penyanyi, penerbit, penulis skrip dan pengarah terkenal anak Malaysia.
KL Menjerit sehinggalah Amy Piah dalam filem Rock 0oo! sehingga menjadi Deris dalam filem Zombi Kampung Pisang, mengarah drama Bahlol pada 2022 dan Que Haidir merangkul beberapa gelaran tersohor dalam seni lakon termasuklah Pelakon Filem Lelaki Popular kali kedua pada 2009.

Pernah berkahwin dengan jurulatih tarian Akademi Fantasia, Linda Jasmin Hashim Murad Mohamad Hashim selama 15 tahun (2009-2024) dan mendapat dua puteri, Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar.
Selepas itu, lama juga dia menghilangkan diri dari industri seni termasuk berniaga dan namanya kian tenggelam.
Mana tahukan dan seperti kata Que Haidar, Allah pegang waktunya dia pun terkejut kerana penampilan yang santai bermula dengan lagu Jamilah sangat berbeza.
Sambutan tiba-tiba menjulang namanya ke awan biru, serata dunia kenal dan tiru lagaknya dalam mimik lagu dan tarian.
Malah dia muncul pun dalam gaya lebih seksi menggoda, macho ketika berbaring di katil sendirian dan membuat gerak bibir (lipsnc) meniru nyanyian lagu Jamilah.
Video Que Haidar ditonton oleh lebih 11 juta kali oleh warga netizen.
Dengan wajah lelaki playboy terhangat di pasaran dan "pasang badan" kemunculan Que Haidar lebih segak, tidak macam dalam filem mat rock, dia jadi budak kutu hippies.
Tanpa memakai baju, lagaknya ditiru oleh ramai lelaki yang membuat parodi.
Lucu juga aksi dia dipentaskan dalam Gegar Vaganza yang kemudian membuatkan ramai lelaki marah apabila ada isteri yang memuat turun video berkenaan.
Dari situ lagu Jamilah semakin popular dan menjadi siulan netizen.
Malah trending tu sampai kepada peniaga yang mengiklankan produk mereka berlatarbelakang lagu yang dinyanyikan asalnya oleh penyanyi dan pelakon Indonesia, Jamal Mirdad.

Kemudian satu demi satu undangan diterima dari sebuah kedai kopi sehinggalah Pak Mat Western dengan Que Haidar berlakon sebagai menjadi pegawai kawalan kualiti.
Paling terbaharu menjadi duta untuk Jakel dengan belum pun iklannya diviralkan, netizen teruja sungguh sehingga "memaksa" Jakel turut melantik pempengaruh Datuk Red yang meniru gaya Que Haidar tu.

Que Haidar adalah cicit kepada Tengku Kudin @ Tengku Dhiauddin ibni al-Marhum Sultan Zainul Rashid daripada kerabat raja Kedah yang berkahwin dengan Raja Arfah, puteri Sultan Abdul Samad iaitu Sultan Selangor.
Moyangnya ada nama terkenal dalam sejarah negara digelar sebagai wira tempur dalam beberapa perang saudara antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi sekitar tahun 1867 hingga 1874.
Ketika itu Tengku Kudin dilantik sebagai orang tengah untuk mengawal perang di zaman kesultanan Melayu tua.
Sehingga moyangnya itu dilantik Yam Mulia iaitu wakil kerajaan Selangor.
Namun kerana cukai, fitnah dan perebutan pengaruh dalam Kerajaan Selangor, Tengku Kudin bukan saja dibuang gelaran raja dan tidak dibenarkan pulang ke Kedah.
Baginda Tengku Kudin wafat pada 25 Mei 1909 sebagai rakyat biasa di Pulau Pinang.
Malah Que Haidar pernah menyampaikan hasrat untuk berlakon memegang watak moyangnya.
Kini kembalinya dia ke industri seni mungkin memberi peluang kedua untuk melakonkan watak Tengku Kudin tu kerana sejarah Mat Kilau pun boleh mengutip jualan tiket lebih RM100 juta.
Que Haidar sangat beruntung nasibnya. Sepanjang menyusuri jejak "Jamilah". Dia mungkin membuka peluang mengembalikan sejarah kegagahan dan kegemilangan moyang Yam Mulia, Tengku Kudin @ Panglima Perang Selangor.
Atau Mungkin boleh dibentuk Que Haidar macam Captain America @ Malaysia ya!. - KitaReporters