
Bangunan baharu yang menempatkan unit kecemasan Hospital Taiping.
Jangan kelirukan orang ramai yang berurusan di bahagian kecemasan Hospital Taiping. Ini kerana unit Kecemasan Hospital Taiping telah berpindah ke lokasi baharu di hadapan Wad Blok C/D sejak dua tahun lalu.
Namun begitu, masih ramai orang awam yang tidak menyedari perpindahan itu lalu menyebabkan mereka tersilap arah ketika kecemasan dan berpusing-pusing di dalam kawasan hospital, sekali gus melambatkan rawatan.
Ahli Lembaga Pelawat Hospital Taiping, Ong Seng Hong berkata, unit kecemasan yang dahulunya terletak di bahagian belakang bangunan lama di hospital itu telah dipindahkan ke bahagian belakang iaitu di hadapan Wad Blok C/D selaras dengan pelan pembangunan hospital.
“Unit kecemasan lama telah digunakan selama beberapa dekad. Ramai orang sudah biasa dengan lokasi lama.
"Sekarang setelah dipindahkan, tanpa papan tanda yang jelas, ramai yang masih tidak tahu arah sebenar, apatah lagi dalam keadaan kecemasan,” katanya pada 25 Julai 2025.

Ini bahagian kecemasan baharu Hospital Taiping.
Menurut Ong, isu ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat hospital sebelum ini dan mendapat sokongan pelbagai pihak.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa satu papan tanda yang jelas dan mudah dilihat perlu dipasang bagi membantu orang ramai mengenal pasti lokasi sebenar unit kecemasan yang baru, agar orangvramai tidak sesat dan membuang masa ketika kecemasan.
Ong turut mendedahkan bahawa hasil usaha bersama dan sokongan peniaga prihatin, sebuah papan tanda besar telah dipasang di pintu belakang Hospital Taiping di Jalan Stesen Keretapi. Katanya, langkah ini diharap dapat membantu orang awam terus menuju ke lokasi unit kecemasan yang betul tanpa tersasar arah.
“Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa Unit Kecemasan Hospital Taiping kini terletak di hadapan Wad Blok C/D. Jangan lagi pergi ke tempat lama.
Beliau menambah, walaupun unit kecemasan telah berpindah sejak sekian lama, pihak hospital masih perlu memperkukuh penyampaian maklumat agar pesakit kecemasan dapat menerima rawatan segera tanpa tertangguh akibat kekeliruan arah. - KitaReporters

Ong Seng Hong menunjukkan papan tanda Jabatan Kecemasan yang baharu dipasang di Hospital Taiping.