MENYERTAI program kemanusiaan dan turun padang bertemu mereka yang dilanda musibah bukan sesuatu luar biasa bagi aktres jelita, Angelina Jolie.
Biarpun sibuk dengan aktiviti seni namun tidak menghalang pelakon Hollywood yang berkelas dunia itu turun padang melawat penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir besar di Pakistan dan melihat beberapa kawasan yang paling teruk terjejas di wilayah Sindh.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Angelina Jolie
Kelibat aktres jelita itu menarik perhatian antarabangsa ketika dia mengunjungi wilayah Dadu dan Sindh, lokasi paling teruk dilanda banjir.
Dalam kunjungan pada 21 September 2022 lalu, Jolie melahirkan kerisauan selepas melihat sendiri keperitan yang dilalui penduduk Pakistan yang kini berisiko pelbagai penyakit pascabanjir yang teruk di negara berkenaan.
Dalam lawatan ke Pusat Tindak Balas Banjir Pakistan, Duta Khas Pesuruhjaya PBB itu melahirkan kebimbangan selepas melihat keadaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan kebanyakan orang awam kini tinggal di kawasan terbuka.
Jelitawan berusia 46 tahun itu berkata, walaupun ramai yang terselamat dalam banjir, tetapi tanpa bantuan yang mencukupi, tidak mustahil ramai tidak akan berada di sini lagi dalam beberapa minggu akan datang," katanya.
Musibah yang melanda Pakistan telah menjejaskan lebih 33 juta penduduk berikutan hujan lebat monsun sejak pertengahan Jun 2022.
Manakala jumlah kematian melepasi 1,550, termasuk beratus-ratus kanak-kanak, dan kira-kira 13,000 lagi cedera.
Bagaimanapun sehingga kini bantuan antarabangsa masih berterusan tiba di Pakistan, dengan Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi antara pembekal utama barangan bantuan. - KitaReporters