Insan & Komuniti 10 Jun, 2025

Korban Perdana dan Kenduri Rakyat Aidiladha! 60 lembu diagihkan untuk korban! Parlimen Bukit Gantang!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this


Program Ibadah Korban Perdana anjuran Ahli Parlimen Bukit Gantang, Taiping mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan penduduk setempat.

Sebanyak 13 ekor lembu dikorbankan dalam program yang diadakan di Pusat Khidmat Parlimen di Kampung Benggali dekat Taiping. Kebanyakan peserta memuji usaha yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Program secara berkelompok ini disertai 450 petugas bagi memudahkan kerja dan pengagihan daging dapat disalurkan kepada mereka yang layak.

Syed Abu Hussin berkata, pihaknya telah mengagihkan sebanyak 60 ekor lembu kepada bomba, polis, Masjid Temerlok, Masjid Terong, Surau Kampung Pauh, Surau Kemunting Aman, Surau Emas Kuning dan Surau Kampung Paya Baru, Kemunting.


Dua petugas sedang menumbangkan seekor lembu sebelum dikorbankan.


“Lembu-lembu ini adalah daripada jenis lembu integrasi, iaitu lembu yang tidak makan pallet dan hanya makan rumput.

“Kesemua lembu ini diambil dari Johor hasil kerjasama dengan Johor Corporation (JCorp) Group Berhad dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan pada program Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang dekat Taiping pada 8 Jun 2025.

Katanya, pihaknya telah menawarkan harga yang sangat berpatutan iaitu RM499 untuk satu bahagian.

“Seekor lembu dijual pada harga RM3,493 sedangkan harga pasaran luar mencecah RM4,500 dan berat seekor lembu pula sekitar 220 kilogram (kg).

Syed Abu Hussin berkata, program ini berjaya menarik ramai penyertaan kerana harganya yang mampu milik, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.

“Dahulu, wakil rakyat terpaksa mencari dana besar kerana permintaan tinggi iaitu seekor lembu boleh mencecah harga RM5,000 seekor dan jika ada 10 permintaan sudah memerlukan RM50,000," jelas beliau.

Namun begitu, melalui inisiatif ini, orang ramai dapat turut serta dalam ibadah korban melalui pelaksanaan yang lebih tersusun dan kos yang lebih rendah.



Sementara itu, seorang peserta, Yusuf Saad berkata, program amat baik kerana ia memudahkan kerja dan harga berpatutan.

“Saya menyertai tujuh bahagian untuk korban bagi ahli keluarga saya,” katanya dari Jalan Matang.

Bagi Abdul Hisham Abdul Rashid dari Trong, program ini perlu diteruskan kerana dapat memberi peluang kepada golongan kurang pendapatan untuk menyertai ibadah korban.

“Program ini bagus dan harganya RM499 untuk satu bahagian boleh membantu rakyat,” katanya.

Kesemua daging korban diagihkan kepada peserta serta penduduk sekitar kawasan tersebut dan orang ramai yang hadir juga dapat menikmati jamuan makan. - KitaReporters


Beberapa petugas sedang membungkus daging untuk diagihkan kepada peserta yang menyertai program korban perdana.

10
9
0
13
0
You will be interested