
Rohayu Ramli (kiri) bersama anak gadisnya, Nur Aliah Batrisyia (kanan).
Pada 26 Disember 2024, Nur Aliah Batrisyia Mohiddin, 17, berasa tidak sedap badan. Suhu badannya meningkat (demam) dan dia mulai batuk. Perubahan pada dirinya itu disedari ibunya, Rohayu Ramli.
Sebagai seorang ibu, sudah pasti bimbang melihat keadaan anaknya itu sementelah tidak beberapa lama lagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2024) bakal menjelma pada 2 Januari 2025.
Khuatir akan tahap kesihatan Nur Aliah Batrisyia,
Rohayu tidak mahu bertangguh lagi. Dia membawa anak gadisnya itu ke klinik berdekatan
untuk pemeriksaan.
“Saya bawa anak saya ke klinik biasa berdekatan dengan pangsapuri tempat tinggal kami. Namun, batuknya tidak sembuh walau telah diberikan antibiotik,” ujar Rohayu mengimbas kembali kejadian itu.
Hatinya makin gundah melihat keadaan anaknya. Walaupun telah diberi ubat, tahap kesihatannya tidak berubah malah makin merosot.

Keadaan bilik tidur dipenuhi tampalan nota untuk memudahkan ulang kaji pelajaran.
Menurut Rohayu, walaupun anaknya tidak sihat, namun Nur Aliah Batrisyia tetap gagahkan diri mengambil peperiksaan SPM.
“Walaupun tidak sihat, anak saya tetap ambil
peperiksaan biarpun terpaksa memakai pelitup muka sepanjang masa. Saya nampak
bagaimana dia gigih membuat ulang kaji pelajaran dan menjawab soalan
peperiksaan dalam keadaan tidak sihat,” ujarnya.
Naluri keibuannya terus memainkan peranan. Mereka tidur bersama dan ketika itulah dia sedar ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya.
Hati dan emosinya mula berbaur resah, ibarat makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah. Apatah lagi apabila mendapati batuk yang dialami oleh anaknya kedengaran pelik. Ini tidak boleh jadi! Dia bertekad anaknya perlu mendapatkan rawatan lanjut.
Tidak mahu berlengah lagi, Rohayu membawa anaknya
menjalani rawatan X-ray dan membuat
imbasan CT scan. Hasilnya mendapati
sesuatu yang tidak disangka lantas dia pergi ke Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pada 6 Februari 2025, anak saya disahkan kanser
limfoma. Terasa bagaikan langit menghempas ke bumi bagi saya dan seisi
keluarga. Siapa sangka, hanya bermula dengan demam dan batuk, rupa-rupanya itu
adalah petanda kanser,” kata Rohayu.
Lebih menyentuh perasaan sebagai seorang ibu apabila detik-detik awal kanser itu dihadapi ketika anaknya sedang bergelut dengan peperiksaan SPM iaitu peperiksaan yang amat penting bagi seorang pelajar untuk menentukan masa depan dalam pendidikan.

Ketika mengambil keputusan SPM 2024.
“Saya tidak henti berdoa kepada Allah SWT dan memberikan semangat kepada anak saya. Dia seorang pelajar yang rajin. Kedatangannya ke sekolah amat bagus kerana dia memang tidak suka ponteng sekolah. Dia rajin belajar dan ulang kaji.
"Melihat dia melawan sakit ketika tempoh peperiksaan SPM, amat menyentuh hati saya. Tiada lain yang saya impikan iaitu supaya dia mendapat keputusan yang terbaik,” ujar Rohayu.
Doa seorang ibu sangat mustajab. Ternyata, apabila
keputusan SPM 2024 diumumkan, Nur Aliah Batrisyia berjaya meraih 6A untuk
subjek Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Prinsip Akaun dan Ekonomi.
Minat dengan angka, menjadikan bekas pelajar SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor ini ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Perakaunan.
Dia percaya bidang ini mempunyai peluang masa depan cerah apatah lagi dalam dunia perniagaan pada hari ini, setiap syarikat memerlukan seorang akauntan untuk memastikan urusan kewangan syarikat dapat dijalankan dengan berkesan.
“Saya menumpukan sepenuh perhatian setiap kali cikgu mengajar di hadapan kelas. Saya suka subjek Matematik, Prinsip Akaun dan Ekonomi kerana cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang akauntan.
"Alhamdulillah, dengan keputusan cemerlang dalam subjek ini, saya berharap dapat melanjutkan pendidikan dalam bidang Perakaunan,” ujar Nur Aliah Batrisyia yang telah memohon kursus peringkat diploma dalam perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ubat steroid yang perlu dihabiskan dalam sehari.
Bagi gadis ini, kanser yang dihidapinya bukan
penghalang malah dia menjadikannya sebagai penguat semangat. Walaupun keadaan
dirinya sudah tidak seperti dulu lagi selepas menjalani tiga kali rawatan
kemoterapi, dia tetap bersemangat untuk sambung belajar.
“Impian saya adalah untuk menunaikan ibadat umrah
dan haji bersama ibu, ayah dan adik. Mereka inilah yang selalu beri semangat
pada saya. Malah nenek saya yang jauh di mata juga selalu pesan supaya saya
amalkan zikir, mengaji al-Quran, rajin solat sunat dan jangan lupa makan ubat,”
katanya.
Bercerita mengenai ubat, Rohayu mengakui bahawa hatinya luruh apabila melihat pelbagai jenis ubat yang perlu dimakan oleh anaknya. Jumlah itu pula boleh dianggap banyak kerana berbiji-biji sehari. Apatah lagi apabila melihat keadaan anaknya selepas selesai sesi kemoterapi.

Keadaan kuku yang lebam selepas menerima rawatan.
“Hati ibu mana yang tidak hancur melihat keadaan anak yang sakit? Rambutnya gugur, kukunya jadi lebam.
"Tapi saya tahu, bukan anak saya sahaja yang kena kuat, saya sendiri pun perlu kuat supaya anak saya tetap kuat berjuang melawan sakitnya,” kata Rohayu.
Menurut Rohayu, ketika mengambil keputusan SPM di sekolah, Nur Aliah Batrisyia mengenakan sedikit celak pada keningnya kerana tidak mahu kawan dan guru memandang dengan rasa pelik apabila dia sudah tiada lagi kening pada wajahnya.
“Itulah antara pengorbanan dan perjuangan anak saya. Berdepan dengan dua perkara besar dalam masa yang sama dalam hidupnya iaitu peperiksaan SPM dan kanser.
"Kedua-duanya hadir serentak dan mengubah hidup dalam waktu yang singkat. Tapi saya percaya, anak sulung saya ini kuat semangat!” ceritanya.

Nur Aliah bersama seisi keluarga.
Di samping itu, ayah Nur Aliah Batrisyia iaitu
Mohiddin Seman dan adiknya, Muhammad Afiq Mohiddin turut mendoakan agar gadis
itu tabah dan kuat semangat untuk menjalani rawatan demi kesembuhan.
“Kami ingin Nur Aliah Batrisyia tahu bahawa kami
sentiasa ada di sisinya. Dia tidak keseorangan menghadapi kanser itu. Kasih
sayang kami tetap bersama dia dan kami doakan supaya dia sembuh daripada
kanser.
“Sebagai ibu, saya ingin dia berjaya dalam bidang perakaunan yang amat dia sukai dan dapat menyambung pelajaran di UiTM nanti,” kata Rohayu mengakhiri perbualan sambil mengucapkan terima kasih kepada rakan sekolah anak dan jiran tetangga yang sudi datang melawat serta memberi semangat kepada anaknya ketika di hospital. - KitaReporters

Nur Aliah Batrisyia menerima lawatan daripada rakan sekolah.