Insan & Komuniti 21 Nov, 2024

Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya! Peluang beli baju, novel serendah RM1! Jualan Preloved Mega!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this



JIKA anda tidak mempunyai sebarang aktiviti hujung minggu ini, jom ke Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024 di Padang Kompleks Kejiranan, Presint 9, Putrajaya pada 23 November 2024. Pelbagai acara menarik diadakan bermula jam 7 pagi hingga 4 petang.

Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024 diadakan sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) yang disambut pada 11 November setiap tahun bertujuan menyeru masyarakat sama-sama melaksanakan amalan 3R kurangkan pembuangan sisa, guna semula dan kitar semula demi memulihara alam sekitar sebagai budaya sepanjang hayat.

Amalan 3R perlu dititikberatkan oleh setiap lapisan masyarakat kerana menguruskan sisa pepejal bukanlah tugas agensi kerajaan semata-mata, tetapi ia merupakan kewajipan rakyat supaya bumi terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid, berkata semua pihak terutama masyarakat diharap dapat menyokong dan menyertai program serta inisiatif yang dilaksanakan agar usaha untuk menjaga kelestarian muka bumi ini akan terhasil demi generasi masa depan. 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024


Beliau berkata Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024 merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif Perbadanan Putrajaya bagi melestarikan alam sekitar dalam menongkah arus cabaran pembangunan dunia moden yang sedikit demi sedikit mengikis dan memusnahkan sumber alam secara kekal.

"Walaupun sambutan ini diadakan hanya sekali dalam setahun, bukan bermakna amalan kitar semula juga diadakan secara "one-off" sebaliknya ia berjalan sepanjang tahun cuma sambutan pada 23 November 2024 ini adalah acara kemuncak bagi mengajak masyarakat terus melaksanakan tabiat 3R.

"Tema: karnival tahun ini, "Generasi Putrajaya Juara Kitar Semula" akan membangkitkan semangat masyarakat untuk terus melaksanakan aktiviti kitar semula demi memastikan persekitaran yang sihat dan bersih.

"Kali terakhir kami mengadakan karnival ini ialah pada 2019 dan selepas itu ia terhenti buat tempoh yang lama berikutan pandemik Covid-19, alhamdulillah ia kembali semula tahun ini dengan semangat baru," katanya ketika ditemu bual menerusi Program Sembang Pagi di Radio KPKT Putrajaya. 

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Mohd Farid Basiran. 


Dr Mohd Helmi Abdul Hamid 


Menurutnya, melalui karnival itu Perbadanan Putrajaya berharap dapat membudayakan semangat kitar semula dalam kalangan komuniti terutama warga Putrajaya. 

Ia perlu bermula dari rumah dan sebelum membuang sisa buangan, fikirkan juga untuk kitar semula kepada produk berfaedah seperti kompos dan baja yang selamat untuk alam sekitar.  

Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), melalui karnival ini pihaknya mahu menjadikan Putrajaya contoh bandar hijau di negara ini selain memupuk kerjasama di kalangan komuniti upaya mereka bangga dan terus melakuan aktiviti kitar semula dan memelihara alam sekitar.

"Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang sehari karnival dan ia terbuka kepada semua peringkat umur kerana kita mahu semua pihak terbabit, dari murid sekolah, remaja dan golongan dewasa.

"Antara aktiviti menarik ialah larian KITARun Putrajaya 2024 dan zumba di sebelah pagi, pertandingan mewarna kitar semula, bengkel seni kreatif pakaian terpakai, jualan rahman, komuniti dan Preloved Mega, pertandingan kreativiti kitar semula, pameran dan pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah, persembahan muzik 3R, pameran interaktif 3R, reruai jualan kitar semula dan kaunter pandu lalu. 

"Acara kemuncak ialah Anugerah Kitar Semula 2024 bagi menghargai mereka yang berpenat lelah menjalankan aktiviti bermanfaat ini untuk kepentingan masyarakat. Jadi ayuh kita tingkatkan kesedaran kepentingan kitar semula dan memelihara alam sekitar untuk masa depan kita.

"Jangan lepaskan peluang untuk meraikan amalan kitar semula dan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan di Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024. Bawa keluarga dan rakan-rakan untuk menyokong inisiatif hijau ini," katanya lagi.


Soft Laun Bulan Kitar Semula dirasmikan oleh Presiden Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Nik Shukri Nik Soh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed.


Sementara itu, Mohd Farid Basiran, berkata selain Anugerah Kitar Semula 2024, pihaknya mengadakan enam pertandingan, antaranya Rekaan Fesyen 3R membabitkan sekolah rendah, menengah dan universiti. Peserta akan menghasilkan baju dari barangan 3R. Memang menarik kerana kreativiti yang mereka pamerkan nanti di luar kotak pemikiran.

"Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama baik dari pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, Alam Flora, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), persatuan dan komuniti penduduk Putrajaya. 

"Anda yang mahu mendapatkan pelbagai barangan seperti pakaian, seluar, kasut, barangan terpakai termasuk buku, majalah dan novel boleh datang pada hari itu kerana ia dijual dengan harga murah di antara RM1 hingga RM3.

"Barangan seperti baju kami dapat melalui sumbangan orang ramai melalui pusat kitar semula di Presint 9. Ia akan diasingkan supaya hanya pakaian atau barangan yang masih elok dan boleh digunakan akan dipamerkan kepada orang ramai pada hari itu nanti," katanya. 

Beliau berkata, kelainan karnival tahun ini (2024) ialah cabutan bertuah yang menyediakan banyak hadiah menarik, antaranya telefon bimbit, basikal dan televisyen. 

Ada juga jualan makanan dan minuman bagi memudahkan orang ramai meraikan karnival itu dalam suasana selesa bersama keluarga.

Maklumat lanjut, orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024 melalui pelbagai aplikasi media sosial Perbadanan Putrajaya seperti FB, Tik Tok dan IG. - KitaReporters


Pengacara Sembang Pagi Radio KPKT, Wana menemu bual Dr Helmi dan Mohd Farid Basiran sempena Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024.

6
12
0
11
0
You will be interested