Insan & Komuniti 04 Sep, 2024

Video| Misi ke sekolah oleh Misi Amal! Kembalikan nostalgia balik ke sekolah sempena Hari Kemerdekaan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


PELBAGAI gelagat dan cara orang ramai menyambut Hari Kebangsaan 2024, ada yang bangun awal pagi untuk ke Dataran Putrajaya bagi melihat sendiri perbarisan terbesar setahun sekali itu, manakala yang lain bersantai bersama keluarga, mengadakan kenduri kesyukuran, bermain bunga api atau bercuti ke tempat rekreasi bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tapi bagi ahli Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal), mereka mempunyai pendekatan tersendiri untuk meraikan sambutan kemerdekaan ke-67 itu melalui program "Nostalgia Jiwa Merdeka". 

Mereka menghidupkan semula perkarangan rumah pertubuhan itu dengan set dan suasana persekolahan yang mereka tinggalkan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Memang kelakar, geli hati apabila melihat gelagat ahli Misi Amal yang kebanyakan sudah separuh abad memakai baju putih seluar hijau dan baju kurung putih biru tapi itulah keseronokannya apabila mereka berjaya menghidupkan suasana yang penuh menggamit memori ketika menjadi murid atau pelajar sekolah suatu ketika dulu. 

Pelajar mendaftar untuk kehadiran dan mendapat beg cenderahati dan wang saku RM10 untuk membeli makan di kantin sekolah.


Pengarah Program Nostalgia Jiwa Merdeka, Ustazah Norhayati Sulaiman, berkata apabila idea itu dilontarkan kepada ahli Misi Amal, ramai teruja dan masing-masing "melompat" kerana tidak percaya selepas berpuluh-puluh tahun meninggalkan zaman persekolahan, mereka akan kembali menjadi murid dan pelajar, berbaju putih dan seluar hijau bagi lelaki, manakala baju kurung putih dan biru bagi wanita.

Beliau berkata, kebanyakan ahli Misi Amal amat seronok dan tidak sabar untuk menikmati semula alam persekolahan, mengikuti pembelajaran dalam kelas, perhimpunan pagi untuk menyanyikan lagu Negaraku selain dapat membeli makanan dan minuman di kantin sekolah.

"Mereka memberi maklum balas positif, ada yang memberi idea tambahan bagi menjadikan program yang dirancang itu lebih menarik. Tapi kebanyakannya mengakui teruja dan tidak sabar walaupun ada juga mengakui segan untuk memakai baju sekolah semula, mungkin malu dengan anak-anak atau cucu-cucu. 

Ustazah Norhayati Sulaiman


"Selepas saya memberi kata-kata semangat, masing-masing terus mencari pakaian sekolah di pusat beli belah dan ada meminjam pakaian dari anak-anak semata-mata untuk menghidupkan suasana persekolahan dan mengembalikan nostalgia ke sekolah," katanya.       

Menurutnya, idea untuk mengadakan program paling kelakar itu selepas dia membawa keluarganya ke Muzium Negara, terbayang memori ketika pada zaman sekolah rendah dulu, apabila guru sekolah membawa dia dan rakan-rakan sekolah ke tempat itu dan peluang itu hanya diperolehi sekali saja iaitu ketika dalam darjah enam.

"Alangkah seronoknya masa itu, kami berpakaian baju sekolah, beratur panjang menaiki bas sekolah dan sepanjang perjalanan, masing-masing teruja melihat kesibukan, keindahan dan banyaknya bangunan pencakar langit di ibu kota sebelum sampai ke Muzium Negara. 

Perhimpunan pagi, Ketua Pelajar, Jailani menaikkan bendera Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku.


Berkumpul beramai-ramai sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebelum masuk ke kelas untuk sesi pembelajaran.


"Saya merasakan sudah terlalu lama kenangan itu, jadi timbul idea apa salahnya jika memori indah itu diulang semula tapi dalam suasana yang berbeza tapi kami masih memakai baju sekolah, menaiki bas sekolah dan melawat Muzium Negara sekali lagi.

"Sepatutnya cadangan asal, kami memakai baju dan menaiki bas sekolah melawat Muzium Negara tapi dek kekangan waktu dan masalah-masalah lain, saya membatalkan cadangan itu dan memilih pelan B iaitu mengadakan sesi persekolahan di pekarangan rumah Misi Amal seperti yang dilakukan ketika zaman belajar dulu," katanya.

Bagi mewujudkan suasana pembelajaran dalam kelas seperti di sekolah, Ustazah Norhayati meminjam kerusi dan meja dari seorang kenalan yang kebetulan mengajar Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) selain memilih dua mata pelajaran untuk sesi pembelajaran iaitu subjek Lukisan dan Sejarah.     

Masing-masing pelajar sibuk melukis bendera Jalur Gemilang ketika sesi mata pelajaran Lukisan.


Salah seorang pelajar masih mampu melukis Jalur Gemilang dengan baik walaupun sudah berpuluh-puluh tahun meninggalkan zaman persekolahan.


"Kami memulakan sesi persekolahan jam 7.30 pagi sama seperti sekolah biasa, selepas semua murid mendaftar, mereka diberi beg cenderahati mengandungi set peralatan melukis dan wang tunai RM10 bagi membolehkan membeli makanan dan minuman di kantin sekolah.

"Selepas itu, kami berkumpul ala-ala perhimpunan sekolah untuk menyanyikan lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor. Ketika ketua murid menaikkan bendera Jalur Gemilang, kami menyanyi beramai-ramai dalam suasana penuh bersemangat, sama seperti di sekolah dulu.

"Seterusnya ketua murid membacakan doa selamat dan tahlil ringkas sebelum memulakan pembelajaran pertama iaitu mata pelajaran Lukisan. Murid-murid diminta melukis bendera Jalur Gemilang dengan pensil warna dan kertas A4 yang disediakan.

Cikgu Raffle mengedarkan kertas ujian mata pelajar Sejarah yang perlu dijawab dalam tempoh sejam.


"Ia mungkin nampak mudah tapi bagi mereka yang sudah berpuluh tahun meninggalkan seni melukis dan berusia setengah abad, ia sesuatu yang mencabar. Alhamdulillah, mereka masih ada kemahiran malah ramai dapat melukis dengan baik termasuk mewarna walaupun sudah lama tidak memegang pensil warna," katanya.

Begitu juga dengan subjek Sejarah, sebelum itu ahli-ahli sudah mendapat nota untuk bacaan mengenai sejarah penubuhan Misi Amal dan siapa tokoh yang menerajui pertubuhan itu. Soalannya mudah sekadar mahu menguji daya ingatan ahli mengingati semula apa yang mereka baca.

"Saya tidak sangka ramai masih mempunyai daya ingatan yang kuat, dapat menjawab dengan tepat setiap soalan sekalipun sudah bersara dari perkhidmatan sama ada swasta atau awam apatah lagi alam persekolahan.

"Selepas subjek Lukisan dan Sejarah, kami membenarkan murid-murid rehat selama sejam dan mereka boleh menggunakan wang yang diberi untuk membeli makanan dan minuman di kantin sekolah. Inilah peluang mereka beratur membeli seperti di sekolah dulu, ada suka makan nasi lemak, mi goreng dan tidak kurang masih dengan tabiat dahulu, membeli jajan," katanya.

Pelajar membeli makanan dan minuman di kantin sekolah ala-ala seperti zaman persekolahan dulu.


Ditanya perasaannya selepas idea untuk membawa ahli kembali menjadi murid sekolah menjadi kenyataan, Ustazah Norhayati berkata dia sangat seronok, seperti tidak percaya apatah lagi kegembiraan itu turut dikongsi bersama anak-anak dan cucu-cucunya yang bersama memakai pakaian sekolah.

"Inilah kenangan seumur hidup, justeru saya bawa semua ahli keluarga termasuk anak, menantu dan cucu-cucu untuk program ini. Bayangkan kami yang dewasa berpakaian sekolah bersama anak-anak yang berusia 7 hingga 15 tahun, memang kelakar malah susah untuk mengecam yang mana pelajar betul dan sebaliknya jika dilihat dari belakang.

"Malah, sebelum datang ke rumah Misi Amal, masing-masing bersiap memakai pakaian sekolah, baju kurung putih dan kain biru manakala suami saya memakai baju putih dan seluar hijau.

"Saya perhatikan cucu-cucu gembira melihat nenek dan atok mereka memakai baju sekolah, memang teruja dan kelakar, inilah keseronokan yang saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya sambil tersenyum puas sambil menjeling cucu-cucunya yang turut berbaju sekolah. 

Gembiranya pelajar dapat bersama rakan-rakan mengimbau kenangan mereka membeli makanan dan minuman di kantin sekolah.


Beliau mengakui, apabila ahli-ahli memakai pakaian sekolah, memang pandangan agak mengelirukan kerana semua nampak muda dan macam budak sekolah apatah lagi jika dilihat dari belakang. ia seolah-olah kami sudah bertukar watak, bukan ibu bapa atau nenek lagi tapi sama macam mereka yang betul-betul murid sekolah.

Ditanya persiapan untuk program Nostalgia Jiwa Merdeka ini, katanya apabila diberitahu mengenai idea itu, masing-masing ahli sibuk mencari pakaian sekolah di pusat beli belah sehinggakan peniaga turut terkejut kerana mereka ingatkan membeli untuk anak-anak atau cucu-cucu tapi sebaliknya membeli untuk diri sendiri.  

"Ada ahli yang tidak dapat datang tapi masih membeli pakaian sekolah dan memakainya termasuk membuat penggambaran sendiri untuk dikongsi dalam grup WhatsApp kami. Memang seronok.

"Kami ada ahli di Melaka, Johor dan tempat-tempat lain termasuk di Kelantan. Ada yang datang bukan hanya memakai baju sekolah biasa tapi baju biru pengawas sebab di sekolah dulu mereka jadi pengawas, ada juga memakai baju pandu puteri, ikut kesesuaian mereka. 


"Ini kali pertama program diadakan, ia kenangan seumur hidup kami di Misi Amal, memang kelakar. Insya-Allah, tahun depan kita cuba membuat program yang lain daripada yang lain atau mencari idea di luar kotak supaya menjadi memori yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila," katanya.

Ditanya harapannya, dia berharap perhubungan antara ahli semakin rapat, malah mereka sudah seperti adik beradik. Buktinya kebanyakan yang hadir turut membawa juadah dari rumah masing-masing.

"Alhamdulillah, ahli Misi Amal sentiasa bekerjasama dalam setiap program yang diadakan malah apabila keluar memberi sumbangan kepada penduduk miskin di seluruh negara, ramai menawarkan diri ikut serta menjadi sukarelawan, mereka menggunakan wang saku sendiri  sebab seronok melakukan kerja amal.

"Apa yang kami buat ialah sedikit sumbangan amal kami kepada mereka yang memerlukan, itulah falsafah dan cogan kata kami, "Buat Baik Sampai Mati". 

"Insya-Allah, di sana nanti (Hari Akhirat), sekurang-kurangnya kami ada membawa bekalan di hadapan Allah dan dapat menjawab dengan lancar jika ditanya apa sumbangan ketika di dunia," katanya. - KitaReporters


Ahli-ahli Misi Amal Selangor bergambar kenangan dengan pakaian sekolah selepas sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema Nostalgia Jiwa Merdeka.

17
13
0
10
0
You will be interested