Insan & Komuniti 07 Jun, 2023

Demi satu persahahabatan! 108 alumni SMART SPM 1980 kembali jalin ukhuwah! Majlis reunion kali ketiga!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Alumni SMART 1980 bergambar kenangan pada Majlis Reunion SMART 1980 di Perdana Ballroom, Hotel Grand Darulmakmur (GDM), Kuantan


REUNION sekolah adalah satu acara yang paling dinantikan untuk bertemu kembali dengan rakan-rakan seperjuangan yang sudah lama tidak ditemui. Puluhan tahun berpisah mengikut haluan hidup masing-masing. Tidak juga semudah itu untuk melupakan detik waktu yang berlalu pergi. Kenangan lalu yang membawa ke akhir hayat. 

Trend mengadakan majlis reunion bersama kenalan sekolah sudah menjadi kebiasaan sejak belakangan ini. Maklumlah, nak eratkan hubungan yang telah lama terpisah. Pasti ramai yang teruja sebaik menerima khabar reunion atau majlis pertemuan semula akan diadakan. 

Sudah jelas terbayang wajah sahabat yang ditinggalkan sejak sekian lama. Masih memiliki raut wajah sama atau disebaliknya. Maklum sahaja majoriti berpisah kala usai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jika bernasib baik bertemu di tingkatan 6 atau sambung belajar di universiti yang sama.


Barisan AJK (berdiri) yang bekerja bertungkus lumus dalam memastikan program berjalan dengan lancar.


Begitupun, ada juga yang lepas sekolah terus hilang dari radar, sama ada di laman sosial Facebook atau aplikasi WhatsApp, Telegram mahupun Instagram juga Twitter. Bagaikan hilang lenyap ditelan bumi. Lost contact. Tak ada khabar berita langsung.

Bagi mereka yang sentiasa berhubungan inilah tercetusnya idea untuk mencari rakan-rakan sekolah yang lama terpisah. Inisiatif diambil untuk kembali bertemu 'once in a while'. 

Tidak terkecuali 108 bekas pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) 1980, Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan, Pahang atau Alumni SMART 1980 yang bertemu pada majlis perjumpaaan semula di Hotel Grand Darulmakmur (GDM), Kuantan pada 4 Jun 2023 yang lalu.

 Riuh rendah suasana Perdana Ballroom GDM dengan pelbagai ragam bagai kanak-kanak riang walau semuanya sudah dan bakal berusia 60 tahun. Sudah tergolong dalam kategori warga emas. Namun itu tidak menghalang mereka untuk saling bersalaman, berpelakukan dan berbual mesra.



Presiden Alumni SMART 1980, Kamaruzaman Kamaludin berkata, majlis pertemuan semula itu sebenarnya adalah kali ketiga dibuat selepas 2010 dan 2017. 

"Bagaimanapun, ada kalangan kami yang baru pertama kali hadir pad majlis ini dan sudah pasti keterujaan itu agak berlebihan sedikit.

"Saya dan AJK merancang seawal April lalu kerana merasakan ini adalah pertemuan terakhir kami memandangkan faktor usia dan kesihatan.

"Kami uar-uarkan dalam grup Whatsapp SMART 1980 dan alhamdulillah sambutan amat memberangsangkan sehingga ia berjaya direalisasikan pada 4 Jun lalu," katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan. 

Kamaruzaman berkata, sikap prihatin rakan yang berusaha mencari rakan yang 'tercicir' dan tiada dalam grup juga diusahakan sebaik mungkin untuk hadir di majlis penuh bersejarah itu.

"Bukan senang untuk mengadakan majlis ini memandangkan beberapa masalah seperti kekangan waktu, sumber kewangan dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan yang ada dalam kalangan kami.

"Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan ahli jawatankuasa (AJK) program yang bertungkus lumus menjayakan majlis dan tahniah diucapkan kepada semua sahabat yang berjaya melangkah gagah ke dalam dewan meraikan pertemuan istimewa ini," katanya.


Kamaruzaman Kamaludin ketika berucap merasmikan Majlis Reunion Alumni SMART 1980 di Perdana Ballroom GDM.


Majlis yang bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 4.50 petang dimulakan dengan lagu tema Alumni SMART - Teman Sejati (Kumpulan Brothers) diikuti dengan bacaan yasin, tahlil dan doa untuk rakan-rakan yang sudah kembali ke rahmatullah. 

Seramai 29 sahabat Alumni termasuk Allahyarham Che Ngah Abdullah yang telah meninggal dunia pada petang yang sama program diadakan. 

Pada majlis itu juga diadakan penyerahan surah yasin dan al-Quran kepada pihak sekolah, persembahan nyanyian dan permainan silap mata oleh sahabat yang memiliki bakat terpendam.


Antara bekas pelajar SPM 1980 (5 Sastera 1) yang hadir ke Majlis Reunion Alumni SMART 1980 di Perdana Ballroom, GDM


Bekas pelajar 5 Sastera 1 yang kini aktif dalam bidang penulisan, Ainal Marhaton Abd Ghani telah menyerahkan 21 buah naskah buku antologi pelbagai genre kepada pihak sekolah sebagai bahan bacaan di Pusat Sumber Sekolah (PSS). Tahniah diucapkan.

Menurut Ainal Marhaton hasrat untuk menghadiahkan buku-buku berkenaan sudah lama tersimpan di hati namun baru dapat direalisasikan pada majlis itu.

"Tiada apa yang dapat saya sumbangkan kepada sekolah yang telah banyak berjasa kepada saya sewaktu menuntut ilmu di sana. 

"Diharapkan anak-anak pelajar dapat manfaatkan karya-karya yang terkandung di dalamnya kerana kebanyakan harya yang dihasilkan adalah berkaitan kisah hidup penulis (ramai pengkarya dalam setiap antologi) yang boleh dijadikan panduan dan pengajaran," katanya.


Ainal Marhaton Abd Ghani menyerahkan buku-buku antologi pelbagai genre yang termuat karyanya bersama penulis lain kepada Guru Penolong Kanan (GPK) Tingkatan 6, SMART,  Abd Rahmad Abd Ghani di Majlis Reunion Alumni SMART 1980.


Dalam pada itu, tiga Alumni yang berasal dari Sabah adalah sahabat setia yang sanggup keluarkan belanja besar untuk hadir. 

Abd Razak Rakunman, Mohd Yusuf Hassan dan Surijana Palatui sebulat suara menyatakan wang bukan segalanya. Demi sebuah persahabatan, mereka sanggup berkorban wang, masa dan tenaga.

"Seronok, teruja, gembira dan terharu kerana impian saya untuk bertemu rakan sekelas 5 Sastera 1 dan rakan asrama tertunai juga akhirnya selepas berpisah 47 tahun yang lalu.

"Saya usahakan juga datang bersama keluarga kerana saya tidak pasti apakah kami masih berpeluang untuk berjumpa lagi," katanya yang pertama kali hadir pada majlis itu.

Razak pula berkata, kehadirannya walauoun bagi kali ketiga, ia tetap berasa gembira dan teruja kerana dapat bertemu kawan lama.

"Saya sentiasa mengharapkan selalu dapat berkumpul dengan rakan-rakan sekolah terutama yang belum pernah hadir untuk menjalinkan semula hubungan yang dah terpisah lama.

"Sehari berada di sini terasa masa terlalu cepat berlalu. Pertemuan ini dianggap biasa namun membawa makna yang besar bagi kami," katanya.

Noralizam Mohamad yang baharu selesai menjalani pembedahan kecil tetap bersemangat untuk menghadiri majlis berkenaan. 

"Saya baharu keluar hospital beberapa hari lalu selepas menjalani pembedahan kecil di bahagian belakang tetapi semangat untuk bertemu kawan lama menyebabkan saya lupakan seketika kesakitan yang dialami.

"Ada sahabat yang belum pernah ditemui seperti Yusuf dari Sabah dan saya rasa terharu kerana dia sanggup datang dari jauh untuk bertemu kami," katanya.

Bagi Mohd Asri Ismail walaupun berkerusi roda dan menggunakan sepasang kaki palsu, kekurangan yang ada pada dirinya bukan alasan untuk tidak hadir di majlis itu. 

"Selagi masih ada nyawa walaupun kedua-dua belah kaki saya sudah dikuburkan, saya tetap datang demi sebuah persahabatan yang terjalin sejak sekian lama.

"Saya bersyukur dan teruja kerana rakan sekolah masih sihat dan ceria, manakala pertemuan ini dapat memutarkan kembali banyak kenangan ketika kami belajar bersama.

"Terima kasih kepada Presiden dan seluruh AJK yang memulakan majlis dengan mengenang kembali 28 rakan-rakan sekolah yang telah kembali ke rahmatullah," katanya.

Masing-masing membawa kisah hidup yang berbeza, mempunyai pengalaman suka-duka, ada yang telah bejaya mengejar cita-cita dan kerjaya. kebanyakannya sudah menoktahkan kerjaya masing-masing. Ramai kalangan alumni telah bergelar datuk atau nenek kerana mempunyai cucu-cucu yang dikasihi. - KitaReporters


Abd Razak Rakunman (kanan) dan Mohd Yusuf Hassan sanggup datang dari Sabah untuk bersama sahabat di Majlis Reunion Alumni SMART 1980 di Perdana Ballroom, GDM.

16
11
0
10
0
You will be interested