Sebelum banjir kilat 4 Julai, 2022, sungai di Kampung Iboi sangat jernih.
KAMPUNG Iboi di Baling, Kedah yang dulunya, sangat indah pemandangannya kerana terletak di lembah bukit yang kaya dengan pepohon hijau, kini bertukar seperti padang jarak yang diliputi pasir, sisa balak, batu bukit dan air sungai penuh lumpur, sekali gus mengubah lanskap kampung itu selama-lamanya.
Akibat banjir kilat yang dikatakan berpunca daripada satu takungan kolam air buatan untuk menyiram anak-anak benih pokok durian Musang King pecah pada 4 Julai 2022, kini nyawa penduduk kampung seperti telur di hujung tanduk. Yang bila-bila masa boleh dihanyutkan jika berlaku lagi banjir akibat takungan pecah.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kampung Iboi
Sungai dikorek semula kerana penuh pasir dan lumpur
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Persekutuan, Abu Hassan Samah, berkata jika dulu sungai di kampung itu sangat jernih dan dipenuhi dengan sumber ikan dan hasil sungai yang menjadi tumpuan orang kampung mencari rezeki.
"Bayangkan hendak menyeberangi sungai, kami hanya perlu memijak batu-batan. Sekarang sungai sudah tidak ada apa-apa lagi selain air penuh lumpur, pasir bukit yang dibawa bersama banjir dan sisa kayu balak.
"Malah ada rumah di sini yang tidak boleh dihuni lagi. Rumah sudah menjadi lebih rendah daripada paras sungai." katanya.
Menurutnya selepas banjir, ada jiran-jirannya meminta mereka 'membakar' rumah mereka yang roboh akibat banjir kerana terlalu sedih. Bagi yang kehilangan tanah dan rumah pula, mereka membuat keputusan berpindah untuk memulakan hidup baru.
Kata Abu Hassan, ada lagi 17 keluarga mangsa banjir yang masih memerlukan bantuan dan rumah kena dibaiki.
Keadaan jalan di kampung belum selesa lagi.
Banjir kilat yang berlaku secara pantas pada jam 4.30 petang, 4 Julai 2022 itu berlarutan hingga 8 malam menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda.
"Malah ada pasangan yang berpegangan tangan untuk menyelamatkan diri. Seorang tersangkut pada pokokbuloh dan seorang lain pada pokok sawit.
"Banjir ini telah merubah landskap kampung yang dulu dipenuhi dengan sungai yang sangat jernih airnya. Penduduk membuat tempat menangkap ikan di tengah sungai. Kini semua tinggal kenangan. Nasib baik ada yang simpan gambar lama untuk rujukan.
Pokok yang menjadi hiasan keindahan kampung turut dibawa arus deras banjir.
"Penduduk juga bimbang kerana ladang durian di atas Gunung Inas itu menggunakan pelbagai jenis racun dan baja. Kami bimbang sumber bekalan air dari bukit itu sudah dicemari bahan kimia ini," katanya.
Menceritakan kejadian banjir kilaty itu kepada rombongan Bantu Rakyat (BARA) Malaysia yang diketuai oleh Pengerusi BARA Negeri Kedah, Mejar (B) Rusli Mohd Romli, Abu Hassan berkata sebaik menerima panggilan mengenai banjir, dia bergegas ke tempat kejadian.
"Malangnya lambakan dan timbunan lumpur yang meneggelamkan rumah di tepi sungai membuatkan kami terkedu seketika. Tiada apa yang boleh dibantu kerana keadaan banjir sangat berbahaya.
Halaman rumah penuh lumpur.
"Bunyi sangat dahsyat. Kami terus membuat laporan polis. Apa yang kami kesalkan ada pihak mengaitkan banjir itu dengan sistem saliran paip yang disambung ke rumah penduduk.
"Kami memang mendapat sumberi air dari bukit itu. Bila kami selidik paip itu bukan punca utamanya. Malah ada juga usaha Ahli Parlimen yang membekalkan air menerusi projek sedar yang kami bayar RM3 sebulan. Untuk memberi alasan seperti kami pula yang menjadi punca banjir kilat ini, amat menyakitkan hati.
"Kami boleh terima jika mereka berkata akan kaji punca banjir dan bukannya menyalahkan penduduk." katanya.
Penduduk kampung akan menggunakan khidmat perundangan untuk meminta pampasan termasuk rumah baru, perabot dan kelengkapan rumah termasuk peti ais dan mesin basuh.
Pada masa ini, kerajaan negeri dilaporkan memberi bantuan kewangan untuk membaiki rumah rosak dan tanggungan sewa selama enam bulan. - KitaReporters
Rumah ditenggelami air dan lumpur