Lumrah hidup diuji pelbagai cabaran. Ada yang gembira ada yang duka. Ada yang biasa- biasa tetapi tetap kekal sebagai ujian.
Ia antara anugerah Allah kepada manusia, hamba-Nya yang serba kekurangan. Ujian bukan setakat kemewahan tetapi juga rezeki dan kesihatan. Serta kehidupan.
Dia uji sebab Dia sayang. Dia uji sebab Dia tahu hamba-Nya yang dipilih mampu menghadapinya.
Namun tidak semua orang mampu menghadapinya dengan tabah. Ramai juga yang mengeluh dan merintih kerana terpaksa hidup susah.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kehidupan rumah tangga
Gambar hiasan
Siapapun kita… Ingat satu perkara. Setiap ujian ada hikmahnya. Ada rahmatnya.
Hanya masa jadi penentu. Cepat atau lambat sahaja, hasilnya pasti akan Allah makbulkan.
Antara ujian yang sering kita dengar adalah ujian dalam rumah tangga. Banyak kita baca menerusi media sosial akan kejadian dan mangsa keganasan serta silap suami isteri dalam rumah tangga.
Sedih mengenangkan anak anak yang terputus kasih sayang dengan ibu bapa. Isteri yang terabai kerana kasih suami beralih arah. Juga suami yang ditinggal bersama anak anak kerana isteri bermain cinta dengan lelaki lain.
Nyata dunia semakin kalut.
Bukan setakat kalut dalam ekonomi yang semakin sukar, pendidikan yang memeningkan, kesihatan yang dilanda pelbagai penyakit juga kehidupan manusia yang semakin terumbang ambing akibat tipisnya iman.
Salah siapa agaknya?
Salah kita sendiri jawabnya. Sebab kita semakin lalai dan leka. Kita menjadikan dunia sebagai syurga dan melupakan surga sebenar yang perlu dikejar.
Menyedari realiti hidup yang semakin getir khasnya dalam kehidupan berumah tangga dan kemasyarakatan, saya terpanggil untuk berkongsi cerita tentang hal-hal berkaitan perkara tersebut bersama anda semua.
Berdasar pengalaman, apa yang dilihat, didengar dan berlaku di hadapan mata, saya akan rakamkan cerita masyarakat ini sebagai panduan dan iktibar kita semua terutama pasangan suami isteri.
Hidup berumah tangga bukan sehari dua tetapi untuk seumur hidup. Kasih sayang juga bukan sementara tetapi hendaklah dibawa sampai ke syurga.
Masihkah anda ingat… Duhai hamba Allah yang bernama lelaki. Saat tangan digenggam dan lafaz diterima anda telah berjanji menerima amanah dan tanggungjawab daripada Allah.
Tetapi kenapa ada antara kamu yang engkar?
Semoga secebis catatan saya ini membuka ruang hati kita untuk istiqamah dan membina kehidupan indah di sisi Allah SWT.
Bukan niat mengaibkan tetapi berkongsi cerita untuk sebuah kesinambungan kasih sayang dalam memikul amanah dan tanggungjawab daripada Allah SWT.
Jumpa lagi di catatan seterusnya.
Normala Hamzah boleh dihubungi melalui emel: normalahamzah251@gmail.com