Namun sejak tiga bulan lalu, dia menghadapi dugaan, tidak boleh menyanyi dengan baik lagi lalu menyebabkan dia hilang pendapatan di samping terpaksa mengeluarkan kos rawatan.
Selain hilang suara, Ibnor turut mengalami masalah leher membengkak, kencing manis, darah tinggi, migrain, buasir dan tahap kolesterol tinggi. Tapi dia tetap bersyukur tidak mengalami masalah jantung dan buah pinggang.
Menurut Ibnor, ketika berjumpa dengan doktor pakar dua minggu lalu, dia diberitahu bahawa ada sel mati yang membentuk nanah di dalam lehernya.
Ibnor pada mulanya ingin melakukan pembedahan pada bahagian lehernya, tetapi selepas melakukan ujian darah, doktor mendapati dia mengalami tekanan darah tinggi, kencing manis, migrain dan kolesterol tinggi.
Tambah Ibnor, dia tidak mengalami batuk atau sakit tekak tetapi misterinya suaranya seperti bunyi itik.
Perkara ini membuat semangatnya makin merudum kerana dia adalah ketua keluarga selain terpaksa menggunakan kos agak besar untuk rawatan.
Dia turut mengharapkan sumbangan mereka yang bersimpati untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu kewangannya.
Sementara itu, penderitaan Ibnor turut dikongsi pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa sebagai Ogy itu dalam media sosialnya.
Ogy dengan rendah hati memohon kepada semua agar mendoakan yang terbaik buat Ibnor. Dia turut menyertakan nombor akaun bank miik Ibnor iaitu 114478024958 (Maybank) sekiranya ada yang mahu menghulurkan bantuan.
Ibnor Riza penyanyi yang memiliki ‘suara lelaki’ yang diperkenal oleh komposer dan penerbit Adnan Abu Hassan dan menjadi artis rakaman CBR Records pada pertengahan 1980-an.
Bakatnya dicungkil setelah menyertai pertandingan Bintang RTM 1984.
Selama 23 tahun, Ibnor berjaya menghasilkan 12 album. Antara lagunya yang masih popular ialah ‘Meneka Dalam Kesamaran’, ‘Mimpi Yang Tak Sudah’, ‘Berdiri Seorang Perindu’,‘Rindu Selamanya’ dan ‘Mengimbau Impian Antara Kita’. - KitaReporters