"KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa." Pengorbanan mereka terlalu besar. Apabila mereka tua, tanggungjawab anak-anak pula menjaga ibu bapa dan itu yang dilakukan oleh Norasiah Ismail, 43, dari Kampung Pulau Kudat, Hulu Terengganu yang setia menjaga ibunya terlantar sejak enam tahun lalu. : KitaReporters
Rosol Wahid (dua dari kanan) menziarah ibu Norasiah Ismail (kiri), Gayah Embung di Kampung Pulau Kudat, Hulu Terengganu sempena Program Ziarah Kasih (Penduduk Sakit Terlantar) baru-baru ini.
Lagi cerita-cerita dari Hulu Terengganu:
https://kitareporters.com/search?search=hulu+terengganu
Meskipun sering dihambat kekangan masa antara tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu lima cahaya mata dan tugas sebagai pengawal keselamatan, namun Norasiah tidak pernah melupakan kewajipan sebagai seorang anak untuk menjaga ibunya, Gayah Embung, 92.
Baginya, kini masanya berbakti kepada insan yang telah banyak berkorban menjaganya 10 adik beradik serta menggalas peranan sebagai ketua keluarga bagi mencari rezeki selepas ayahnya meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.
Menurut Norasiah, ibunya terlantar sejak enam tahun lalu setelah diserang demam panas dan perlu diuruskan sepenuhnya oleh dia dengan bantuan suami, Abdul Manan Abdullah, 52.
“Sebelum terlantar, ibu alami masalah sakit lutut sehinggakan dia tidak dapat berjalan dan hanya mengensot sahaja dalam rumah lebih kurang lima tahun. Setelah demam panas segalanya berubah sehingga terlantar begini sahaja.
“Ibu juga terpaksa memakai lampin pakai buang selain minum susu khas disarankan pihak hospital. Dia masih boleh makan cuma bukanlah makanan yang keras-keras dan biasanya ibu akan bunyi seperti merenggek jika ingin diminta tukar posisi.
“Saya berkerja secara syif, jika tiada di rumah suami dan anak-anak akan bantu tengokkan ibu. Tidak susah uruskan ibu cuma apabila ingin mandikannya saya perlukan bantuan suami untuk angkatnya ke bilik mandi,” katanya kepada KitaReporters.
Terdahulu, kediaman Norasiah dikunjungi Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang menziarahi Gayah sempena Program Ziarah Kasih (Penduduk Sakit Terlantar).
Rosol (kanan) turut menziarahi warga emas terlantar di Kampung Tok Bintang, Hulu Terengganu.
Tambah Norasiah, sebagai anak dia belum pernah merasakan semua itu beban, sebaliknya cukup bertuah kerana tidak semua berpeluang menjaga ibu atau bapa yang terlantar terutama disebabkan faktor usia.
Katanya lagi, ibunya tidak pernah berkahwin sejak kematian ayahnya, sebaliknya hanya sibuk mencari rezeki bagi besarkan anak-anak dan kini peluangnya pula menjaga insan melahirkannya itu sebaik mungkin.
“Syukur ibu masih dipanjangkan umur. Semua penduduk yang sebaya ibu telahpun meninggal dan ibu penduduk paling tua di kampung ini masih diizinkan-NYA bernafas di bumi ini,” ujarnya yang punyai anak berusia di antara lima tahun hingga 23 tahun. - KitaReporters