Insan & Komuniti 07 Jul, 2020

Surat terbuka Dai Luqman bagi Safiey: Jangan tinggal solat!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

PENDAKWAH bebas yang juga bekas peserta Da’i Pendakwah Melenia musim ke-3, Luqmanul Hakim Joohari atau lebih dikenali sebagai Dai Luqman melalui laman Instagramnya berkongsi surat terbuka yang ditujukan kepada usahawan dan pengasas produk kecantikan, Safiey Illias atau nama sebenarnya Saifuddin Illias. : KitaReporters

Safiey mengalami kecelaruan identiti sejak di bangku persekolahan lagi.


Safiey merupakan usahawan kosmetik yang dikenali ramai gara-gara isu kekeliruan identiti yang dialaminya

Dia pernah cuba untuk kembali kepada fitrah kejadian iaitu lelaki, namun tidak bertahan lama apabila mengambil keputusan untuk kembali menjadi transgender atau mak nyah.

Tingkah lakunya yang sekejap menjadi ‘perempuan’ dan sekejap ‘lelaki’ menyebabkan netizen menganggapnya mempermainkan agama dan cuma mahu melariskan produk yang dijual.

Sebelum ini, sudah ramai pendakwah yang menasihatinya termasuk Ustaz Ebit Lew, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, PU Syed Bakri dan ramai lagi. 

Namun, ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Terbaru usahawan ini dikatakan kembali menjadi ‘perempuan’ setelah beberapa lama mendiamkan diri daripada aktif dalam media sosial

Daripada status yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya, Safiey dilihat sedang berhadapan dengan masalah kemurungan (depresi).

Dakwanya, dia tertekan akibat desakan dan cemuhan yang dilemparkan oleh netizen dan orang di sekelilingnya

Kini dia bergantung pada ubat yang diberikan doktor untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Kini Safiey berdepan dengan masalah kemurungan sehingga memaksanya mengambil ubat.


Justeru, atas dasar kasih sayang sesama muslim, Dai Luqman terbuka hati untuk menasihati Safiey yang dilihat semakin jauh dari landasan yang benar.

Menurut Da’i Luqman, dia berharap orang ramai terutama netizen mendoakan yang baik-baik untuk Safiey ini kerana depresi adalah sesuatu yang serius. 

Berikut adalah surat terbuka Dai Luqman buat Safiey :

“Sejak seminggu ni chaq (saya) tergerak untuk melihat post-post saudara Safiey. Bukan untuk cari salah, tapi untuk melihat perkhabaran saudara chaq ni.

“Alhamdulillah, chaq lihat Safiey masih diberikan pelbagai nikmat oleh Allah. Namun di sebalik nikmat-nikmat tu chaq juga dapat lihat yang saudara sekarang sedang diuji dan berjuang dengan ujian depresi oleh Allah SWT.

“Pertamanya, chaq harap sangat dekat sahabat-sahabat chaq di luar sana agar doakan kebaikan buat saudara kita Safiey dan bagi dia sokongan moral sebab depresi bukan suatu perkara yng boleh dibuat main. Ia adalah suatu penyakit tak lain dan tak bukan ada hikmah daripada Allah di sebaliknya.

“Kedua, ini nasihat chaq buat saudara Safiey dalam tempoh diuji ini. Allah uji, tanda Allah masih memerhati saudara Safiey. Allah masih sayang Safiey. Ada beberapa saranan daripada chaq untuk saudaraku.

“Jangan tinggal solat. Ini kunci utama kebahagiaan dunia dan akhirat. Jangan digunakan tagline atau hashtag yang menyebut perkataan (gila).

“Setiap apa yang dituturkan oleh seseorang akan menjadi doa. Bayangkan 10,000 orang yang membaca perkataan tersebut, bermaksud 10,000 orang yang mendoakan keburukan buat saudara.

“Usaha untuk kembali kepada fitrah sedikit demi sedikit sehingga berjaya. Jangan pernah putus asa. Setiap usaha kita akan dihitung ganjarannya di sisi Allah SWT. Istiqamah dengan perubahan, pasti Allah tunjukkan jalan.

“Akhir tulisan ini, chaq doakan agar Allah berikan kesembuhan dan sentiasa memberikan kebaikan dan taufiq buat saudaraku, Safiuddin Illias. Allahumma Amiin Yaa Rabbal 'Alamiin,” tulis Dai Luqman yang memanggil dirinya dengan nama Chaq.


Pesanan dan nasihat yang diberikan itu nampaknya menerima respons positif daripada Safiey sendiri yang turut meengucapkan terima kasih dalam ruangan komen.

Sementara itu, rata-rata netizen setuju dengan saranan dan nasihat yang diberikan oleh Dai Luqman. Mereka berharap orang ramai terus berdoa agar Allah SWT memberi hidayah kepada Safiey.


Bagi yang belum mengetahui apa itu depresi, ia adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan rasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. 

Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu. 

Penyakit ini boleh dihidapi sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. : KitaReporters

1
1
2
1
0
You will be interested