Insan & Komuniti 15 Oct, 2020

Ringankan keperitan hidup! Baitulmal NS bantu empat penduduk

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
KEADAAN hidup seseorang mempunyai kaitan qadak dan qadar Allah Subhanawataala (S.W.T.). Oleh itu setiap antara kita wajar mensyukuri segala apa yang ada kerana itulah 'hadiah' daripada pencipta. Juga jika ditimpa musibah tidak kira bencana alam, kemalangan, penyakit, kematian dan lain-lainnya perlulah bersabar dan tabah menghadapinya. Ia merupakan antara ujian yang terpaksa dilalui. : KitaReporters

Sabri Razali terbaring di atas katil dan tilam angin sumbangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan sambil diperhatikan oleh Mohd Taufek Abdul Ghani (tiga daripada kanan). - Kredit Foto-Foto: Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan.


Lagi cerita-cerita berkaitan Negeri Sembilan:

https://kitareporters.com/search?search=negeri+sembilan


Dalam konteks ini empat individu yang kurang bernasib baik di Negeri Sembilan terpaksa menjalani kehidupan dengan menempuh ranjau keperitan dan derita serba berliku lagi mencabar telah dikenal pasti wajar dibantu serta diberikan pertolongan sebagai langkah memudah ringankan beban yang mereka tanggung. 

Atas keprihatinan dan tanggungjawab ini pihak Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan antara agensi di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) baru-baru ini turun ke lapangan menyantuni dan menghulurkan bantuan yang sesuai kepada individu berkenaan melalui peruntukan hasil sebahagian para pembayar zakat.

Bagi Sabri Razali, 41, yang kini menghidap pelbagai komplikasi penyakit antaranya kencing manis, darah tinggi dan demam denggi terlantar di rumah di Senawang, Seremban sejak Julai 2020 lalu.

Malahan yang menjadikan hidupnya lebih perit dan derita bila mana sebahagian usus besarnya terpaksa diletakkan di luar perut dengan menggunakan beg stoma. Keadaan ini menjadikan dirinya rimas dan tidak selesa.
Juga beliau menghadapi komplikasi pada bahagian punggung akibat rawatan-rawatan penyakit dihidapinya sebelum ini semasa dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.
Sepanjang tempoh empat bulan terlantar di rumah, isterinya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga dan menguruskannya sepenuh masa.
Keluarga tiga anak yang masih bersekolah merupakan penerima bantuan am kebajikan,persekolahn dan perubatan daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan sejak 2015.
Dalam usaha memberikan keselesaan kepada Sabri, pihak Perbadanan Baitulmal negeri melalui Bahagian Agihan Senawang menyumbang bantuan katil, berserta seunit tilam angin, bantal dan mesin tekanan darah yang disampaikan oleh Exco Negeri Sembilan bagi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani.

Mohd Azeem Abu Bakar (tiga daripada kanan) bertanyakan sesuatu kepada Rizan Mokhtar yang terpaksa meniarap sepanjang masa akibat daripada kemalangan jalan raya dialaminya sejak berumur 22 tahun.
Rizan Mokhtar, 49, dari Kampung Kundur Tengah, Rembau pula terpaksa menjalani kehidupan hariannya dalam keadaan meniarap berpunca daripada kemalangan motosikal sewaktu usianya 22 tahun.
Keadaan ini terpaksa beliau tanggung sejak empat tahun lalu bila mana pergerakannya sedikit demi sedikit merosot dan terbatas sehingga hari ini hanya mampu makan dan minum secara sendiri. Jika hendak bergerak perlu bantuan keluarga.
Malahan yang lebih menyedihkan beliau terpaksa buang air besar atau kencing secara meniarap dengan bantuan ahli keluarga yang tinggal bersamanya.
Sekarang Rizan semakin sukar untuk bergerak kerana separuh badannya lumpuh puncanya disebabkan bisul yang timbul pada permukaan punggung kesan daripada kemalangan yang dialaminya.
Unit Bahagian Agihan Wilayah Selatan Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan bersama ketuanya, Mohd Azeem Abu Bakar serta Ketua Kampung, Zaili Ujang dan Imam Masjid Kampung Kuala Tengah, Hafid Alias mengunjungi beliau dan mendapatkan maklumat bagi tindakan lanjut pihak perbadanan.

Norsham Mohamad (kanan) menerangkan mengenai keadaan penyakitnya akibat daripada kemalangan jalan raya kepada Suhaimi Mohd Aziz semasa mengunjungi beliau. Disebabkan keadaan itu beliau terpaksa bersara awal.


Sementara itu, Norsham Mohamad, 50, yang tinggal di Rumah Rakyat, Panchor, Seremban terpaksa bersara awal dari RISDA kerana terlantar dirumah akibat kemalangan jalan raya.
Menurut laporan perubatan beliau menghadapi masalah tersebut akibat urat pada bahagian tulang belakang tidak stabil selepas menjalani prosedur pembedahan sejak 2013.

Bantuan awal disampaikan oleh Pegawai Unit Bahagian Agihan Seremban Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan, Mohd Suhaimi Mohd Aziz semasa menziarainya, di samping mengambil maklumut keperluan semasa bagi menyalurkan bantuan-bantuan yang diperlukan.

Mamat Deris (kanan) bersama isterinya dirumah mereka di Kampung Simpang Durian,Jelebu.
Dalam pada itu, di Daerah Jelebu, seorang warga emas, Mamat Deris, 86, mengalami kejadian tidak diduga bila mana rumah kediaman bersama keluarga di Kampung Simpang Durian, Jelebu terbakar.
Bantuan wang tunai RM500 yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim Abdul Aziz kepada Mamat merupakan sumbangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan. Pegawai Unit Agihan Jelebu perbadanan itu Amir Syukri Abdul Jalil turut menyantuni beliau.
Dalam program ziarah yang sama beliau turut menerima bantuan RM1,000 daripada ADUN Chennah yang disampaikan oleh wakilnya, Loke Siew Fook. - KitaReporters

Abdul Rahim Abdul Aziz (dua daripada kiri) menyerahkan sumbangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan kepada Mamat Deris.

Amir Syukri Abdul Jalil meninjau kesan kebakaran yang berlaku ke atas rumah Mamat Deris di Kampung Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan.

0
0
0
0
0
You will be interested