Insan & Komuniti 07 Mar, 2021

Pak Sood, peniaga air kelapa 80 tahun dikagumi! Tolak bantuan LZS alasan ada lebih memerlukan!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Pak Sood memberikan air kelapa muda yang dipesan oleh salah seorang pembeli di tepi jalan berhampiran Bandar Puteri, Klang, Selangor. - Kredit foto-foto : Lembaga Zakat Selangor dan Video MN TV. 


KERANA merasakan ada insan lain lebih memerlukan, seorang warga emas peniaga air kelapa muda di tepi jalan yang lanjut usia sanggup menolak dengan baik tawaran bantuan oleh pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang ingin membantunya.

Malahan beliau juga beranggapan bahawa setakat ini dia masih mampu berusaha mencari rezeki sebagai penjual air kelapa bagi mendapatkan pendapatan untuk menampung kehidupan dirinya dan keluarga.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan lembaga Zakat Selangor:

https://kitareporters.com/search?search=zakat+selangor


Apa nak jadi? Warga emas berkerusi roda, kudung sebelah kaki ditinggalkan anak di tepi jalan!

Kerja-kerja mengeluarkan air kelapa muda daripada buahnya dilakukan dengan teliti oleh Pak Sood supaya mereka yang membelinya puas hati.


Bagi Mohamad Sood @ Mohd Masod sekalipun umurnya sudah menjangkau 80 tahun, dia terus gigih berniaga air kelapa muda di pinggir jalan berhampiran simpang keluar Bandar Puteri, Klang, Selangor antara jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.

Malahan bekas imam di sebuah masjid sebelum ini menjalankan perniagaan menyewa kanopi tetapi terpaksa dihentikan sejak pandemik COVID-19 kerana tidak ada pelanggan dan sejak itu, beliau beralih menjual air kelapa di tepi jalan.



Untuk mencari rezeki termasuk menyara isteri, kakak ipar yang uzur dan anak-anak sudah berkahwin tetapi ada yang tinggal bersama, beliau terpaksa mencari alternatif lain dengan berniaga air kelapa selain untuk menampung perbelanjaan lain termasuk pembayaran bil elektrik, air dan sebagainya.

Pihak LZS Daerah Klang yang mendapat maklumat orang awam mengenai lelaki usia lanjut yang lebih mesra dengan panggilan Pak Sood telah menjejaki beliau untuk tujuan menyalurkan bantuan kepadanya.

Pada Ahad 28 Februari 2021 sekitar jam 3.00 petang, Skuad Saidina Umar yang melakukan penjejakan itu akhirnya menemui Pak Sood di tempat dia berniaga berhampiran Bandar Puteri, Klang.



Bagaimanapun dalam pertemuan itu, beliau dengan cara baik menolak tawaran dikemukakan oleh anggota skuad berkenaan dengan alasan bahawa ada orang lain yang lebih layak menerima bantuan tersebut selain menyifatkan dirinya masih mampu mencari sumber rezeki keluarga.

"Kami sangat kagum dengan semangat beliau yang gigih berusaha mencari rezeki dalam keadaan usia yang sudah lanjut demi untuk menyara keluarga.

"Malahan dalam pertemuan itu, belum sempat kami mengutarakan sebarang cadangan bantuan,terlebih dahulu beliau menolak tawaran tersebut dengan baik," ujar salah seorang anggota Skuad Saidina Umar LZS yang tercacat pada media sosial FB agensi berkenaan pada Ahad 28 Februari 2021.


Salah seorang anggota Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor Daerah Klang berbincang dengan Pak Sood mengenai tawaran bantuan untuk beliau.


Namun demikian anggota skuad berkenaan tetap memaklumkan kepada Pak Sood supaya berhubung terus dengan Amil Kariah jika dia memerlukan sebarang bantuan.

Semoga semangat dan kegigihan beliau memberi inspirasi kepada generasi muda masa kini dan didoakan agar kesihatan dirinya sentiasa terpelihara. 

Sebelum ini, kisah kehidupan Pak Sood yang sudah lanjut usia tetapi gigih berniaga air kelapa di tepi jalan itu menjadi tular dalam media sosial atau laman TikTok. 

Malahan media Malaysia News TV telah merakamkannya dalam bentuk video dan tersebar dalam YouTube.



Malahan berikutan keadaan itu terdapat anggota masyarakat menghulurkan sumbangan kepada beliau melalui individu tertentu.

Pak Sood yang menggunakan lori tiga tan berniaga memandu sendiri kenderaan itu dan mengambil bekalan kelapa muda daripada peraih di Kampung Teluk Gadung, Klang.

Beliau yang baru berniaga di kawasan sekarang pada Januari 2021 lalu mendapat sambutan menggalakkan kerana buah kelapa muda yang dijual bersaiz agak besar. Dia juga terlebih dahulu akan menapis air kelapa sebelum diserahkan kepada pelanggan selain disukai kerana sikap keramahannya.


Kegigihan Pak Sood berniaga air kelapa muda di tepi jalan dalam usia yang sudah lanjut boleh dijadikan motivasi kepada sesiapa sahaja terutama golongan muda masa kini.


Mohamad Sood yang tidak menghidap penyakit kronik kecuali prostat mempunyai rahsia tersendiri dengan mengamalkan makan minyak ikan dan maajum ketika muda selain tidak merokok itulah antara punca kesihatannya tetap cergas sekalipun dalam usia sudah lanjut.

Malahan beliau juga mengamalkan minum air kosong dalam kehidupan harian dan sekarang tidak lagi minum teh, kopi dan lain-lain.

Selain itu, tidak mensia-siakan kesihatan yang diberikan oleh Allah dengan memanfaatkannya dengan kerja-kerja bermanfaat termasuklah berniaga. - KitaReporters  


Air kelapa muda yang dijual Pak Sood ditapis terlebih dahulu supaya kebersihannya terjaga dengan baik sebelum diserahkan kepada pembeli.

2
3
0
0
0
You will be interested