DALAM rezeki kita ada rezeki orang. Jika rezeki kita dikongsi dalam sedekah jariah, janji Allah ia akan tambahkan lagi rezeki kita kerana Allah SWT menjadikan kita sebagai saluran orang lain mendapat rezeki. Wallahualam!
Namun, begitulah nampaknya yang ditunaikan oleh personaliti Youtuber, Syahmi Sazli apabila menghadiahkan motosikal Y15 kepada rakan Yoe Parey dan Bedol, kedua-dua pelakon di bawah arahan filem pertamanya ‘Mael Totey The Movie’.
Untuk rekod filem “Mael Totey The Movie’ merupakan satu-satu filem yang pecah rekod tertinggi dalam sejarah tayangan filem di saluran ‘pawagam rumah anda’ iaitu di Astro First dengan kutipan RM7 juta.
Lagi kisah-kisah menarik berkaita Mael Totey The Movie:
https://kitareporters.com/search?search=mael+totey
Melalui perkongsian yang dimuat naik dalam laman sosial Instagram dan Facebooknya, Syahmi dilihat menyerahkan motosikal berkenaan kepada mereka berdua dengan kapsyen ringkas, “Hadiah Y15 untuk Yoe & Bedol’.
Sementara itu, menjengah pula ke laman sosial kedua-dua pelakon terbabit dilihat Yoe Parey mahu pun Bedol turut menghantar posting yang sama sambil melahirkan ucapan terima kasih kepada Syahmi yang digelar mereka sebagai ‘Boss Mi’.
Yoe Parey atau nama sebenarnya, Muhammad Ashrul Hakim Lukman, 22, mahu pun rakannya Bedol atau Samsol Mat Yasin, kedua-duanya membalas penerimaan hadiah itu dengan ucapan semoga ‘Boss Mi’ dimurahkan rezeki.
Selain mereka, rakan artis termasuk Saiful Apek mahu pun Faizal Tahir dan rata-rata netizen yang membanjiri ruang komen Syahmi tidak ketinggalan memberikan pujian dan mendoakan semoga beliau dilimpahkan rezeki berlipat kali ganda termasuklah jutawan kosmetik 'abang terlajak laris', Datuk Aliff Syukri yang menulis 'Terbaik'.
Terdahulu, pada 9 Februari 2021 lalu, Syahmi juga dilihat menghadiahkan sebuah basikal baharu kepada seorang penduduk tertua, Haji Mukhtar Muhammad atau mesra dikenali sebagai Pok Tar.
Pok Tar yang khabarnya merupakan mangsa penjajahan Jepun di Kelantan sekitar tahun 1941, berusia 102 menjadi ‘pelakon’ video pendek Syahmi bertajuk, 'Kisah Penjajahan Jepun di Kelantan', di mana Pak Tar yang mempunyai ingatan yang masih kuat mampu melakonkan semula babak-babak yang dialaminya.
Dan terbaharu pula, melalui postingnya juga, Syahmi dilihat memuat naik gambar teaser drama spontan terbaharunya di bawah produksi Syahmi Sazli Production, ‘Orang Minyak’ tiga hari lalu, sambil berkata ‘Insya-Allah beberapa hari lagi.’ - KitaReporters