Insan & Komuniti 14 Dec, 2022

Tahniah SKPJSS19! Dapat pejabat pentadbiran baharu! Hasil kerjasama pentadbir, guru-guru, ibu bapa!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


HASIL perancangan dan kerjasama terbaik warga pendidik kini pejabat pentadbiran Sekolah Kebangsaan Perdana Jaya SS19 (SKPJSS19), Subang Jaya, Selangor, berpindah ke blok D selepas 28 tahun beroperasi di blok A.

Sebelum ini, pejabat baharu itu adalah pejabat Pusat Kegiatan Guru (PKG) yang mengalami proses perpindahan selama lebih lapan bulan bermula permohonan ke Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana (PPDPP) dan kemudiannya diluluskan pada awal April 2022, manakala proses pengubahsuaian bermula pada September hingga Oktober 2022. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah-sekolah

Azman Mashuri memotong riben merasmikan pejabat baharu SKPJ SS19 sambil diperhatikan oleh Rafeah Alwi pada 8 Disember 2022.


Kejayaan pembukaan pejabat baharu SKPJSS19 itu mendapat pujian daripada Pegawai PPDPP, Azman Mashuri apabila diberi penghormatan melakukan perasmian pejabat berkenaan pada 8 Disember 2022 pada majlis perasmian yang turut dihadiri Timbalan PPDPP, Musa Ismail; Guru Besar SKPJSS19, Rafeah Alwi; guru besar dari sekolah berdekatan serta Pengerusi Majlis  Guru Besar PPDPP.

Berucap pada majlis itu, Azman mengucapkan tahniah kepada semua warga pendidik SKPJSS19 sambil menyifatkan pejabat baharu itu sebagai lambang kemodenan dalam pengurusan sekolah yang akan merealisasikan aspirasi pendidikan negara.

“Syabas saya ucapkan kepada pentadbir sekolah, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai sokongan utama sekolah kerana telah berjaya merancang dan melaksanakan pembaharuan pejabat baharu ini,” katanya.

Azman berkata, langkah berkenaan juga selaras dengan konsep Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) sebagai satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran pembelajaran menyeronokkan, penglibatan pembelajaran murid yang aktif lagi bermakna.

Perkara itu pula kata beliau, disokong kepimpinan berkualiti serta berwawasan, guru yang kompeten, beraspirasi tinggi serta komitmen komuniti padu demi kecemerlangan dan kemajuan pendidikan negara.


Azman (duduk kiri) dan Rafeah bersama-sama tetamu termasuk guru besar dari sekolah berdekatan sebagai tanda sokongan.


Jelasnya, program TS25 merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti dengan mengaplikasikan amalan terbaik.

Tambahnya, semua itu berada dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurutnya, faktor kejayaan ialah budaya kerja cemerlang serta usaha gigih dan berterusan setiap warga sekolah. Profesionalisme setiap warganya perlu terus dipupuk dan diperkukuh, didorong secara positif serta bijaksana oleh setiap lapisan kepimpinan.


Azman Mashuri dan Rafeah merakam kenangan bersama-sama tetamu dan guru SKPJ SS19 dalam bilik PPKISD yang diubah suai dari pejabat lama sekolah.


“Tingkatkanlah usaha dan bekerjalah dalam satu pasukan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan perguruan demi masa depan negara. Jadikanlah usaha ini sebagai agenda penting pembangunan modal insan negara yang kita cintai. 

"Semangat juang dan komitmen sebeginilah yang perlu ada dalam diri setiap warga pendidik kita.

“Saya juga kagum dengan semangat serta kejayaan SKPJSS19 apabila dapat melaksanakan pelbagai aktiviti terutama dalam meningkatkan kemenjadian murid walaupun bajet sedikit seperti persembahan tarian sempena majlis perasmian ini pula mengabungkan murid pelbagai kaum dalam satu persembahan bercirikan perpaduan,” katanya.


Rafeah menyampaikan cenderahati kepada Azman sambil diperhatikan oleh sebahagian guru besar yang hadir.


Sementara itu Rafeah melahirkan rasa gembira apabila mendapat kerjasama semua pihak dari peringkat sekolah sehinggalah PDPP dalam usaha merealisasikan hasrat membuka pejabat baharu berkenaan. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua terbabit kerana tanpa sokongan serta kerjasama mereka sudah pasti usaha ini akan terbantut sedangkan ianya sebahagian kemudahan penting dalam memacu kecemerlangan serta pencapaian pendidikan SKPJSS19,” ujarnya.

Sempena majlis perasmian berkenaan, Azman dibawa melawat ke kelas Program Pendidikan Khas Integrasi Spesifik Disleksia (PPKISD) terletak pejabat lama dan diubah suai menjadi kelas, Pusat Sumber Sekolah yang berpindah dari tingkat tiga ke tingkat satu serta diberi nafas dan nama baharu iaitu Perpustakaan Ibnu Sina yang turut dilengkapi Book Cafe.

Azman bersama-sama tetamu yang hadir pada majlis berkenaan turut dibawa melawat  bilik bimbingan dan kaunseling dilengkapi ruangan spa untuk ‘release tension’. - KitaReporters


Rafeah dan Azman ditemani guru-guru berada dalam Ruangan Spa bilik kaunseling yang diwujudkan untuk ‘release tension’.

33
14
1
14
0
You will be interested