Insan & Komuniti 19 May, 2025

Video| Pertemuan sebuah keluarga besar! Rindukan sahabat! Rindukan pejabat! Rindukan Suara Keramat!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> normalahamzah251@gmail.com

Share this

.


Jika namanya persahabatan murni dan ikhlas, ia akan tetap kekal sampai bila-bila. Walaupun terpisah jauh. Walaupun puluhan tahun. Jika diizinkan Allah akan berjumpa juga akhirnya. Hanya masa dan tempat menjadi penentu. 

Demikian aturan Allah yang diatur untuk kami bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad. Syarikat gergasi media suatu waktu dahulu. Pernah mencari rezeki di syarikat yang sama, berlainan jabatan dan tempat tetapi kami berteduh di bumbung yang sama. 

Biarpun meninggalkan Utusan dengan pelbagai sebab.  Ada yang pencen awal, pencen wajib, yang menyambung kontrak, ditawar VSS dan paling sadis ada yang diberhentikan 24 jam. 

Ada yang meninggalkan Utusan dengan senang hati. Ada yang makan hati dan ramai juga yang  bagai nafas terhenti. Memang dugaan untuk warga kerja Utusan sangat hebat. 

Namun seperti Utusan yang adakalanya dirujuk sebagai Suara Keramat, bekas kakitangannya juga kuat dan tabah menerima ujian dengan reda berlapang dada dan meneruskan hidup dengan melakukan banyak kerja untuk kelangsungan hidup. Benarlah rezeki Allah merata- rata. 

Dan pertemuan tidak dirancang oleh sekumpulan 8 orang petugas Utusan dari pelbagai jabatan yang menggelar diri mereka sebagai Cik Kiah (CK) Ke Kuala Terengganu baru baru ini mengimbau momen manis warga Utusan.




Terkejut dan terharu kebanyakan mereka yang ditemui melahirkan rasa terharu dengan kehadiran senior mereka grup CK yang bercuti sambil menziarah bekas petugas Utusan yang uzur. 

Kedatangan Grup CK yang terdiri dari Latifah Hamzah daripada Jabatan Korporat; Azipah, bekas PA arwah Tan Sri Zam (Zainuddin Maidin); Sharifah, bekas Setiuasaha bekas Pengurus Pengeluaran, Mat Saman; Khalijah, bekas Eksekutif Pemasaran; Stella daripada UMES (Utusan Media and Sales) dan Normala Hamzah, bekas pengarang kanan, ke bumi yang terkenal dengan julukan Darul Iman dan disambut mesra oleh wartawan tersohor di Terengganu Wan Zulkifli.

Rosmania, Rohani, Azman, Wadi, turut berada di halaman rumah Wan Zul untuk minum petang. Rumahnya yang tersergam cantik dengan pelbagai pokok bunga warna warni

Sebak dan terharu melihat menu atas meja. Laksa, sate, tart telur dan minuman serta buah buahan untuk meraikan tetamu.




Diminta memberi ucapan, Wan Zul hilang kata-kata. Jelas sekali rindunya pada Utusan dan kawan-kawan bekas keluarga Utusan. 

Hanya Catatan Malam beliau yang membuatkan mata kami masuk habuk. Catatan yang terlahir ditujukan khas untuk Grup Makcik Kiah Utusan. 

“Terima kasih kakak-kakak sudi singgah di  laman kami sebagai mengisi jadual kunjungan di  Kuala Terengganu. Tak terduga akan ketemu lagi - meskipun singkat  namun pastinya tetap berlama di hati kami.

"Melihat kak Normala Hamzah, Latifah Hamzah, Azipah Mat Ariffin, Khalijah Hashim, Stella Abdullah, Sharifah Munir adalah sebahagian daripada wajah yang mengimbau kenangan sepanjang lebih tiga dekad kerjaya di Utusan.

"Saya kehilangan kata untuk mengungkap rasa sedang ingin sekali bercerita bila diminta menyampaikan  aluan ketika minum petang sebelum mereka merehatkan lelah perjalanan  di rumah tamu Wan Sari. 

“Berdekad-dekad lamanya waktu menjarakkan sehinggalah kita ditakdirkan kesemuanya bertemu sebagai bekas petugas syarikat media yang suatu ketika dianggap institusi keramat.

“Benarlah kata orang, ketika melewati usia tua, yang membawa kebahagiaan di hujung perjalanan ini bukan sekadar bersandarkan siapa yang memiliki segala.

“Tetapi yang masih mempunyai hati dan jiwa untuk terus menyentuh dan mengingati kawan-kawan lama dengan momen yang menggembirakan sebelum kita bergilir pergi.

“Dan itu lebih bererti kerana tika tua tidak banyak sahabat kita miliki, apatah lagi sahabat sejati. Wajah Grup Makcik Kiah Utusan memperlihatkan.” Tulisnya dari hati paling dalam. 

Terima kasih Wan Zul atas karya yang berharga ini. 



Sementara itu Homestay Wan Sari menjadi saksi persahabatan warga Utusan  Kuala Terengganu (Gong Badak) dan Kuala Lumpur (Chan Sow Lin) . 

Mohd Jusoh yang paling tua tidak berapa sihat. Baru discaj dari hospital. Namun gagah melangkah menghadirkan diri pada malam BBQ 

ziarah kasih di homestay Wan Sari. 

“Kita sama-sama bernaung di bawah Utusan. Banyak kenangan dilalui. Yang manis, pahit semua adalah kenangan dan pengalaman berharga. 

“Terima kasih untuk majlis ini. Semua dengan izin Allah. Keluarga

Utusan sangat harmoni dan mesra bagai adik beradik. Moga persahabatan ini kekal," kata Mohd Jusoh dalam ucapannya. 

Rosmaniar Agus Rosli menyifatkan pertemuan ini sebagai tempat jatuh lagi dikenang. Mana tidaknya Utusan  tempat mencari rezeki dan menjalinkan silaturrahim. 

“Kunjungan yang mengejutkan kami staff Utusan Gong Badak, Kuala Terengganu. Bayangkan kakak-kakak yang dikenali pada zaman muda tiba-tiba ada depan mata setelah puluhan tahun berpisah.

“Puisi yang dibacakan oleh Kak Normala Hamzah  menyesak hati saya. Sedih dan pilu teringatkan kawan-kawan seusia senja menanti bilakah fajarkan menjelang menjemput kami pulang…” ujat Rosmaniar sayu. 

Tengku Lijah yang aktif bolajaring juga berpendapat yang sama. 

“Setelah lebih 30 tahun tak jumpa mereka muncul depan mata. Masih sihat dan ceria seperti dahulu. Kemesraan tetap sama. 

"Terima kasih kakak-kakak yang masih ingatkan kami,” Kata Ku Lijah yang sedang membina nama sebagai tauke katering. 

Rohani Jusoh pula buat kerja sendiri dan menjual kuih tart telur yang sangat sedap. Memang sedap sungguh dan terkenal di Kuala Terengganu. 

”Saya terharu dengan kehadiran kakak senior Utusan yang menziarah kami dan menganjurkan majlis BBQ ini. 

“Saya terkejut tengok meja penuh makanan… bihun goreng, ketupat rendang, nasi impit, kuah kacang  dan kuih muih serta biskut. 

“Insya-Allah jika diizinkan Allah tahun depan (2026) kami pula jadi penganjur. Kakak semua mesti datang,“ katanya.  




Latifah Hamzah mewakili Grup CK merakamkan ucapan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir. 

“Kami daripada pelbagai jabatan di Utusan Melayu. Tetapi telah kenal hampir 40 tahun. Malah ada yang telah berkawan sejak zaman anak dara lagi sehingga kini. 

“Siapa yang masih ada hati dan jiwa untuk terus mengingat kawan lama pasti akan menghargai  momen gembira bersama mereka sebelum dijemput pulang.

“Itu juga bermakna bila kita tua kita tidak punya ramai kawan. Keseorangan melalui usia yang masih  berbaki. Kami Mak Cik Kiah sedang melaluinya,” kata Latifah. 

Sesekali berjumpa sahabat sekerja yang lama tak jumpa tentu sangat membahagiakan. Apapun majlis makan malam ringkas daripada grup CK nyata menepati hajat. 

Semoga ukhwah warga Utusan di mana sahaja terus kukuh, sehingga ke Jannah. 

"Rindukan sahabat. Rindu kepada pejabat dan rindukan Suara Keramat. 

"Semoga kita semua diberi keafiatan untuk terus bersilaturrahim dengan perancangan Allah SWT." - KitaReporters


12
10
0
15
0
You will be interested