Insan & Komuniti 20 May, 2025

Tolong kami! Bantu Sarina! Cari bapa! Berpisah sejak berusia 2 tahun! Bakal menikah pada Julai 2025!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sarina Mohamed Abdul Kader


Seorang kakitangan perkhidmatan awam, Sarina Mohamed Abdul Kader, 43 tahun, masih berusaha untuk mencari keberadaan bapanya yang berpisah sejak beliau berusia dua tahun.

Sarina, yang merupakan anak tunggal hasil perkahwinan bapa beliau, Mohamed Abdul Kader Shaik Mydin dengan arwah ibunya, Latifah Bahador yang meninggal dunia pada 2008, tetap gigih mengesan bapanya walaupun gagal hingga ke hari ini.

Beliau yang dihubungi berkata, arwah ibunya turut meninggalkan pesanan supaya terus berusaha mencari bapanya yang menghilangkan diri selepas berlaku berselisihan faham mengenai masalah rumah tangga pada tahun 1984.

Menurutnya, perselisihan faham berkenaan tidak membawa kepada penceraian kedua-dua ibu bapanya itu, tetapi bapa dia mengambil pendirian untuk meninggalkan ibunya seolah-olah merajuk dan tidak pernah berhubung sehinggalah ibunya meninggal dunia.

Tambahnya, dia sendiri tidak mempunyai banyak maklumat mengenai bapanya itu termasuklah tidak menyimpan surat beranak atau kad pengenalan serta dokumen lain yang beliau boleh gunakan sebagai bahan rujukan.

“Daripada temu bual sanak saudara sebelum ini mereka hanya mengetahui bapa saya berasal dari Negeri Sembilan dan juga tidak mengetahui pekerjaan sebenar beliau. Dalam simpanan saya hanya memiliki sijil lahir sendiri serta sijil pernikahan mereka sahaja,” ujarnya.


Sarina menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya.


Sarina yang menetap di Setapak, Kuala Lumpur, berkata dia amat perlu untuk berjumpa dengan bapanya itu kerana kebetulan akan mendirikan rumah tangga dengan Munim Faruk yang dijangka akan berlangsung pada 15 Julai 2025.

Jelasnya, dalam usaha terbaharu pada awal Januari 2025 dia berkunjung ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan maklumat mengenai bapanya itu, manakala hasil semakan dibuat status keberadaan bapanya masih aktif namun tiada maklumat lain.

Menurutnya, daripada maklumat JPN berkenaan, dia membuat andaian bapanya masih hidup dan berusia sekitar 80-an justeru amat berharap orang ramai membantu mengesan bapanya disamping dapat menjadi wali pernikahannya itu selain mengeratkan kembali silaturahim.

“Saya juga sudah membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju pada 18 Mei 2025 serta berharap bapa dapat menghubungi saya segera dan kepada mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi menerusi nombor telefon bimbit 012-617 7459,” ujarnya. - KitaReporters

11
14
0
17
0
You will be interested