
Daniel Gooi Zi Sen (dua kiri) menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang kategori lelaki kepada Janarthanan a/l Vellaiathum.
Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pulau Pinang ketegori individu lelaki dimenangi, Janarthanan a/l Vellaiathum daripada Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Negeri Pulau Pinang.
Sharran a/l Loganadzan dari Kelab Bell Belia Tamil (KBBT) Pulau Pinang pula muncul pemenang kedua dan ketiga,Tiew Felix dari Kelab Belia Cergas Permatang Tinggi, Bukit Mertajam.
Manakala kategori individu wanita pula dimenangi, Nur Athirah Sahira Ariza daripada Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Pulau Pinang.
Kedua diraih oleh Nuriffah Atiqah Ismail daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang dan ketiga, Cristine Choowan Teng daripada Junior Chamber International Pulau Pinang.
Sementara itu, Kelab Belia Cergas Permatang Tinggi, Bukit Mertajam diumumkan sebagai johan Ketogori Pertubuhan Belia, naib johan, Gerakan Belia 4B Kawasan Tasek Gelugor dan ketiga, Junior Chamber International Bayan Baru.

Daniel Gooi Zi Sen menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang kategori wanita kepada Nur Athirah Sahira Ariza.
Majlis menyampaikan anugerah APBN itu sempena sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen dan berlangsung di Hin Bus Depot, George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong berkata, berpegang kepada slogan “Dari Belia Untuk Belia”, serta seiring dengan tema Hari Belia Negara 2025 “Yakin Boleh”, sambutan kali ini telah direalisasikan dengan jayanya oleh Majlis Belia Negeri (MBN) Pulau Pinang serta gabungan pertubuhan di bawahnya.
Katanya, kejayaan diperolehi itu membuktikan bahawa belia masa kini berupaya menggalas tanggungjawab besar dan mendukung aspirasi Malaysia MADANI ke arah pembinaan negara bangsa yang lebih progresif dan inklusif.
"Sambutan Hari Belia Negara 2025 peringkat negeri ini bukan sahaja menjadi medan meraikan belia, malah turut memperkukuh peranan mereka sebagai ejen perubahan dalam masyarakat demi masa depan negara yang lebih gemilang," katanya.

Menurutnya, sambutan penuh warna warni itu memberi ruang kepada para belia untuk menonjolkan bakat, menyuarakan pandangan dan mencipta impak melalui pelbagai segmen menarik seperti FunWalk, persembahan busker, reruai usahawan muda serta pameran interaktif.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiusaha Strategik Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Chan Hong Jin; Presiden Majlis Belia (MBN) Pulau Pinang, Vincent Tan Chor Lim; dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua. - KitaReporters