Insan & Komuniti 20 May, 2025

Rezeki tak salah alamat! Reka cipta jari halus Carolyn bawa laba! Miliki saham Nike bernilai RM13j!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Carolyn Davidson bangga berdiri berlatar belakang logo 'Nike' ciptaannya. Nike ialah jenama kasut, pakaian dan peralatan sukan terkenal seluruh dunia.


Carolyn kini menumpukan masa memenuhi hobi di samping giat dalam pelbagai kerja kebajikan.


SEBUT nama Carolyn Davidson tidak ramai kenal. Tetapi sebut Nike, ramai tahu ia adalah jenama kasut, pakaian serta peralatan sukan terkenal dan terbesar di dunia. Di Malaysia, gedung Nike terdapat di seluruh negara.


Kasut sukan Nike jenama terkenal dan diminati di seluruh dunia.


Baju sukan antara produk pilihan ramai keluaran syarikat Nike. 


Carolyn, 82, mempunyai kaitan peribadi dengan Nike. Ini kerana dia yang mencipta logo Nike, dikenali sebagai ‘Nike Swoosh’, atau ringkasnya Nike. ‘Swoosh’ ialah satu bentuk lengkung (curve) yang melambangkan pergerakan dan kelajuan.


Lakaran logo asal Nike berbentuk 'Swoosh' dengan tulisan 'nike' yang direka cipta oleh Carolyn pada 1971.


Sejak 1971, karya cipta Carolyn terpampang pada setiap produk Nike. Jenama Nike berada di persada tinggi yang sukar ditandingi.

Melihat kepada carta kejayaan bisnes Nike, ia bermula pada 1964 dengan nama Blue Ribbon Sports Inc. (BRS), diasaskan oleh Phil Knight, 87, (lahir 24 Februari 1938) dan Bill Bowerman (lahir 19 Februari 1911) meninggal 24 Disember 1999).


Phil Knight, pengasas bersama Nike yang kemudiannya jadi Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Nike.


Bill Bowerman, pengasas bersama dan rakan kongsi syarikat Nike.


Tahun pertama beroperasi perolehan BRS hanya AS$8,000 (RM34,400 kadar masa kini). Pada tahun 70-an, nilanya hanya RM20,000. Hari ini hasil AS$8,000 itu diperoleh setiap enam saat!

Nike, yang beribu pejabat di Beaverton, Oregon, Amerika, mempunyai 83,700 pekerja di seluruh dunia pada 2024.

Pada tahun kewangan 2022, ia mencatat pendapatan lebih AS$46 bilion (RM197.8 bilion). Phil jadi billionaire tetapi tetap pemurah, menyumbang kepada universiti tempat belajar dan pertubuhan kebajikan.   


Pemandangan indah ibu pejabat Nike di Beaverton, Oregon.


Tentunya sedikit sebanyak Carolyn menyumbang kepada kejayaan ini. Dia mencipta logo Nike yang ringkas tetapi sangat unik dan mudah meresap dalam minda ramai. 

Semua bermula pada 1971 sewaktu Carolyn pelajar grafik di Portland State University, Oregon. Pengkhususan asalnya kewartawanan, tetapi berubah kepada seni lukis dan seni reka. Dia lulus ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik pada tahun 1971.

Carolyn menghadapi masalah kewangan untuk membeli keperluan kerja seninya. Phil yang ketika itu pensyarah perakaunan di universiti tersebut menawarkan untuk membantu. Phil ialah lulusan Universiti Oregon dan Stanford, juga bekas pelari pecut Universiti Oregon.

Rakan kongsinya dalam BRS, Bowerman, juga lulusan Universiti Oregon. Dia kemudian jadi jurulatih pecut di unversiti itu, juga jurulatih kepada Phil. Bowerman pernah melatih 31 orang atlet Olimpik Amerika.

Phil meminta Carolyn membuat kerja untuk syarikat BRS. Dia diminta menyediakan carta dan graf untuk pertemuan Phil dengan seorang eksekutif kasut dari Jepun.


Wajah Carolyn pada tahun 1983.


Kerana kebolehan Carolyn melaksanakan kerja, dia seterusnya diberi kepercayaan mereka cipta poster, iklan dan flyer untuk syarikat.

Pada Mei 1971, Phil dan Bowerman menukar nama syarikat BRS kepada Nike. Nama Nike diambil sempena ‘Nike’, dewi kejayaan bagi masyarakat Greek. Phil akhirnya jadi Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Nike.

Pada tahun 1971 itu juga, Nike perlukan logo untuk digunakan bagi jenama kasut sukan yang bakal diperkenal. Carolyn diminta mencipta satu logo ‘stripe’ yang ada kena mengena dengan pergerakan atau movement.

Hasilnya lahirlah ‘Swoosh’. Ini merupakan satu daripada lima reka bentuk ciptaan Carolyn. ‘Swoosh’ kelihatan seperti sayap dengan tulisan ‘nike’ pada logo. Sekali pandang macam sabit pun ada! Phil memilih ‘Swoosh’.

Untuk ciptannya, Carolyn dibayar AS$35 (RM151). Pada tahun 70-an, nilainya hanya RM81. Dia terus bekerja dengan syarikat tersebut tetapi perkembangan syarikat tidak mengizinkan Carolyn bekerja berseorangan.

Oleh itu pada 1976, Nike melantik agensi pengiklanan luar, John Brown and Partners, sementara Carolyn membuat tugasan lain. Bisnes Nike semakin berkembang luas merentasi seluruh benua. Nike kemudian disenarai awam.  


Cincin emas bertatah berlian dalam bentuk logo Nike tersarung di jari Carolyn sejak 1983.


Pada September 1983, hampir tiga tahun selepas penyenaraian, Phil menjemput Carloyn menghadiri majlis jamuan syarikat. Pada majlis ini, Phil menghadiahkan cederamata berupa cincin emas bertatah berlian yang diukir dalam bentuk logo Swoosh Nike.

Dia juga diberi 500 unit saham Nike, bernilai 17 sen AS setiap satu, menjadikan jumlah nilainya AS$85 (RM366). Pada tahun 70-an nilainya RM213. Carolyn menyimpan saham itu sehingga kini dan nilainya sudah mencecah AS$3 juta (RM13 juta).


Logo asal Nike ciptaan Carolyn diguna pakai dari 1971 hingga 1978.

Logo Nike melalui perubahan tetapi hanya pada tulisan. Tulisan asal nipis Nike gubahan Caroyln pada 1971 diguna hingga 1978. Kemudian ia diganti dengan tulisan tebal pada 1978 hingga 1995, tanpa mengubah logo.

Pada tahun 1995, tulisan Nike dalam logo dibuang terus, tinggal simbol tunggal ‘Swoosh’ sahaja kekal hingga kini.


Logo Nike diubah suai dan digunakan dari tahun 1978 hingga 1995.


Logo Nike kini yag diguna sejak tahun 1995.


Carolyn bersara pada 2000. Kini dia banyak menghabiskan masa memenuhi hobi serta kerja sukarela. Ini termasuk tugas mingguan di Ronald McDonald House di Pusat Kesihatan dan Legacy Emanuel Hospital di Oregon.

Yang pasti logo cipatannya kekal abadi di setiap produk keluaran Nike. Kejayaan Nike mencipta nama di seluruh dunia adalah juga kejayaan Carolyn. - KitaReporters

13
16
0
12
0
You will be interested