KEHIDUPAN akrab pasangan kembar tidak boleh dipertikaikan, ke mana sahaja pasti akan berdua, maklumlah mereka berdua sentiasa bersama sejak di dalam rahim lagi.
Malah ada yang dilihat tidak keruan apabila salah seorang daripada mereka tidak bersama kerana selama ini semua aktiviti dilakukan bersama sejak kecil hingga dewasa.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pasangan kembar
Namun siapalah kita untuk menidakkan takdir Allah apabila sudah tertulis ajalnya yang dijemput terlebih awal, walaupun dilahirkan sebagai pasangan kembar.
Itu juga yang berlaku kepada pasangan kembar dari Seberang Prai, Pulau Pinang yang tular TikTok milik @lisasuhaimi yang terus kukuh ingatan kepada kakak kembarnya pada hari bahagianya walaupun insan tersayang tersebut telah setahun meninggalkannya.
Menerusi perkongsian dalam media sosial pada 26 November 2022 lalu, Nurlisa Suhaimi sanggup bergegas ke tanah perkuburan berhampiran dengan rumahnya selepas selesai majlis akad nikah berlangsung sebagai tanda berkongsi rasa gembira dengan pasangan kembarnya, Nurlis Suhaimi, yang telah kembali ke rahmatullah.
Tindakan pengantin baharu berusia 23 tahun yang anggun mengenakan pakaian serba putih pengantin itu dilihat tenang menyiram air air ke pusara kakaknya seolah-olah mahu berkongsi kegembiraan yang dilalui.
“Saya datang (ziarah) kerana ingin memberitahu berita baik walaupun kamu (kakak kembar) hanya melihat dari jauh.
“Semoga tenang di sana, kembarku,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen dalam aplikasi TikTok miliknya.
Kesungguhannya yang melawat tanah perkuburan kakak kembarnya itu mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen sebelum tular dalam media sosial sehingga ditonton lebih 2 juta kali.
Menerusi perkongsian dalam media sosial berkenaan, Lisa memberitahu kakak kembarnya meninggal dunia 21 November 2021 selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta lain dalam keadaan jalan yang basah di Sungai Bakap.
Terbukti walaupun setahun terpisah ingatan dan keutamaan tetap disandarkan kepada kakak kembarnya.
Dan terbukti apabila Lisa kelihatan bergegas menziarahi kakaknya yang selama ini membesar dan berkongsi kehidupan yang sama.
Sementara itu, melihat ruangan komen rata-rata netizen menzahirkan rasa kagum dengan Lisa yang setia berkongsi momen indah walaupun berbeza alam.
“Al-Fatihah, sudah setahun berlalu. Semoga anda terus diberikan kekuatan,” kata seorang pengguna TikTok.
Malah ada yang menyifatkan wanita tersebut individu yang tabah kerana kuat melalui fasa hebat tersebut.
Ternyata walaupun setahun berpisah di dunia namun ingatan terhadap pasangan kembar masih membara, hanya Lisa yang mengetahui rasa rindu tersebut.
Al-Fatihah untuk Lis dan selamat pengantin baharu kepada Lisa dan suami daripada kami di team KitaReporter. - KitaReporters