"TIADA banyak perbezaan program korban di Al-Ukhuwah dengan surau-surau lain dan kami hanya menyembelih 10 lembu dan seekor kambing tapi kemeriahan dan sambutan di sini memang luar biasa.
"Buktinya agihan untuk asnaf habis sebelum zuhur berikutan sambutan baik warga asing dari Pakistan, India, Bangladesh dan Indonesia. Malah, golongan wanita warga asing yang hadir tahun ni pun ramai, di luar dugaan."Selain itu, semangat ukhwah ahli kariah juga mantap, ramai hadir untuk membantu menyembelih, melapah, membungkus dan mengagih-agihkan daging qurban," kata Pengarah Program Korban Surau Al-Ukhwah, Bandar Baru Bangi, Selangor, Kamarulbahrin Hashim.Kerja-kerja melapah dan memotong daging korban dilakukan ahli kariah secara rewang dan gotong royong.
Beliau mengakui, suasana program korban tahun ini seperti kenduri kahwin, orang ramai seolah-olah menunggu surau untuk membuat korban, mungkin surau beri layanan baik kepada jemaah, makanan yang disediakan sedap dan setiap yang hadir mendapat sebungkus daging qurban.
"Kami pun buat program ini ikhlas kerana Allah, bukan untuk faedah diri sendiri atau cari populariti. Saya atau AJK lain tidak penting sebaliknya saya berterima kasih kepada Pengerusi Surau Al-Ukhwah, Che Akhma Ismail kerana melantik saya untuk menjalankan amanah ini."Program ini adalah satu ibadah, jika kita ikhlas kerana Allah, Dia akan buka jalan. Begitu juga dengan makanan, minuman yang surau sediakan, ia daripada wang yang diinfaq jemaah, kita pulangkan semula kepada mereka, bukan untuk disimpan dalam peti besi semata-mata."Saya percaya jika kita tidak menyekat wang infak dan menggunakan untuk program agama termasuk kelas fardu ain dan korban, ia tidak akan berkurangan kerana rezeki itu milik Allah. Apabila kita guna wang infak, pemberi dapat pahala dan Allah akan beri jalan supaya lebih ramai ahli kariah memberi infak," katanya.
Kamarulbahrin Hashim
Beliau yang juga mantan Pengerusi Surau Al-Ukhwah mengambil alih tugas mengepalai program itu selepas pengarah yang dilantik sebelum ini terpaksa menarik diri disebabkan ada urusan yang tidak dapat dielakkan.
"Saya pernah beberapa kali mengetuai program ini tapi apa yang berlaku saya anggap ada hikmah dan "it was a task given to me by Allah". Jadi, saya ambil cabaran ini untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan apa yang dirancang dipermudah dan berjalan lancar."Saya ada senarai semak bukan sekadar bercakap kosong atau memberi arahan saja tapi kerja yang dilakukan itu hasil perbincangan selama beberapa minggu. Walaupun kecil dan nampak mudah tapi perlu ada perancangan khusus dan teliti. Dan, yang penting kerjasama ahli kejiranan serta kariah, inilah formula untuk berjaya.
"Keseluruhan, saya amat berpuas hati, persiapan terbaik dan sambutan di luar dugaan. Tahun lalu (2023) pun ramai tapi tahun ni (2024) seperti gelombang besar, memang ramai dan luar biasa," katanya lagi.
Kerja-kerja membungkus daging korban dilakukan secara gotong royong dalam suasana harmoni dan muafakat.
Daging korban yang siap dibungkus disusun untuk diagihkan kepada golongan asnaf, peserta korban dan kejiranan.
Beliau berkata, seramai 65 peserta mengambil bahagian tahun ini, alhamdulillah pembekal memberikan seekor lembu untuk dijadikan juadah makan tengah hari kepada jemaah yang hadir.
"Ini kali kedua selepas PKP penyembelihan dilakukan di sini. Sebelum ini, lembu disembelih di tempat pembekal tapi ia mengambil masa yang lama sehingga malam baru selesai proses agihan daging.
"Jadi, sejak tahun lepas (2023), semua haiwan korban disembelih di sini kerana ahli kariah ada memiliki sijil penyembelihan, justeru tidak timbul sebarang masalah untuk melakukan proses dari mula sehingga pengagihan daging korban," katanya.
Perancangan dan pengurusan yang baik membolehkan kerja-kerja pembungkusan dan mengagihkan daging korban dapat dilakukan dengan lancar.
Kamarul berkata, konsep korban di surau itu terbuka kepada semua, sesiapa boleh datang, tiada had atau ditentukan jumlah sukarelawan malah tiada baju-T disediakan untuk petugas. Jika tiada pisau untuk memotong, pihak surau akan sediakan.
Menurutnya, ahli kariah boleh datang membawa ahli keluarga untuk gotong royong, ada yang tidak kenal sebelum ini, malah ramai yang menjalin hubungan ukhuwah di sini, sambil melapah atau memotong daging, mereka bermesra serta bergurau senda.
"Surau tidak menyekat sesiapa nak hadir, kami cuma uar-uarkan melalui grup WhatsApp surau tapi yang datang bukan dari kariah ini saja, ramai juga jemaah luar, mungkin mereka seronok buat korban di sini. Ramai "rider" food panda dan grab food pun singgah.
"Konsep rewang dan gotong royong yang semakin dilupakan kami terapkan di sini, hasilnya kerja-kerja penyembelihan, melapah, memotong dan pengagihan daging korban berjalan lancar, sebelum zuhur dah selesai dan selepas solat, ada acara makan-makan, sup tulang dan daging masak kicap.
"Ramai jemaah yang hadir memuji masakan jemaah ahli kariah Muslimat sedap, itulah kelebihannya apabila makanan dimasak dengan kasih sayang, hasilnya pun memuaskan," katanya lagi.
Imam II Surau Al-Ukhuwah, Mohd Tarmizi Othman (bertopi) menyampaikan daging korban kepada golongan asnaf warga asing.
Kehadiran ramai asnaf warga asing termasuk golongan wanita memeriahkan program korban Surau Al-Ukhuwah.
Kamarul mengakui, ahli kariah tidak mendapat upah walaupun satu sen, semuanya secara sukarela dan melihat kemeriahan jemaah melakukan tugas dengan penuh keriangan, beliau hilang rasa penat malah semakin bersemangat untuk memastikan program di surau itu terus diingati untuk tempoh yang lama.
"Tahun ini (2024) agihan daging korban untuk golongan asnaf habis kerana jumlah yang hadir melebihi jangkaan malah mereka datang awal, bukan semata-mata untuk mendapatkan daging tapi membantu kerja-kerja menyembelih, melapah, memotong dan membungkus," jelasnya.Ditanya penambaikan jika program itu dilakukan tahun depan (2025), beliau mencadangkan dibina kawasan tambatan lembu, bukan diikat di pokok. Jika ada tempat khas, mudah untuk memberi makan atau menguruskan lembu yang datang lebih awal. Tapi, untuk mengadakan tempat penyembelihan, mungkin memerlukan kos yang tinggi. "Saya juga berharap jika program ini diadakan tahun depan, peserta dapat mengesahkan penyertaan mereka lebih awal untuk memudahkan pihak surau menguruskan dan membuat perancangan jumlah lembu korban," katanya lagi. - KitaReportersJemaah Muslimat terbabit khusus menyediakan makanan dan minuman sepanjang program korban Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor.