Insan & Komuniti 27 Oct, 2022

Ramai abai aspek kesihatan mental! Klinik Jiwadamai ditubuh bagi bantu beri kesedaran, perkhidmatan!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Klinik Jiwa Damai Seksyen 7 Shah Alam


BUKAN mudah untuk membina sebuah institusi kesihatan mental bagi masyarakat Melayu, kerana persepsi masyarakat Melayu mengenai nilai dan kesejahteraan mental lebih bersifat negatif dan kurang penting. 

Mereka jarang memikirkan kesejahteraan mental sebagai satu yang sangat penting dalam kesejahteraan hidup. Pendapat dan pengalaman ini dikongsi oleh seorang pemilik klinik kesihatan mental di Shah Alam, Selangor yang telah berjaya membina klinik kesihatan mental milik bumiputera yang pertama di Shah Alam.

Terlalu banyak cabaran dan kekangan yang dihadapi Dr Mohd Hasnor Safwan Mohamed Hasnan sebelum klinik kesihatan mental itu dapat dikenali di sekitar Shah Alam dan kawasan sekitarnya. Lima tahun memperjuangkan klinik yang dikenalisebagai Klinik Jiwadamai ini, dengan pelbagai rintangan dan cabaran, bukanlah sesuatu yang mudah. 

Namun dengan semangat dan kecekalan yang tak pernah mengenal erti penat dan lelah, pihak klinik ini dapat terus beroperasi  untuk membantu mereka yang memerlukan kaunseling dan terapi bagi kanak kanak yang lewat perkembangan. 

Akhirnya klinik ini mula dikenali di Shah Alam dan masih mampu bertahan.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan isu kesihatan mental

Dr Mohd Hasnor Safwan Mohamed Hasnan

Ditanya apa yang mendorong beliau menubuhkan Klinik Jiwadamai ini, beliau memberitahu, ia bermula 8 tahun lalu apabila beberapa kenalan rapat beliau diuji dengan tekanan hidup yang dahsyat.  

"Ketika itu saya sedang bekerja di hospital kerajaan dan sangat sibuk. Saya tidak sempat meluangkan masa yang banyak untuk bersama mereka. Saya cuba bawa mereka ke hospital kerajaan, mereka tidak mahu " katanya 

"Pada masa yang sama, atas pilihan mereka, kami cuba mencari pusat kesihatan mental swasta yang dikendali doktor atau terapis (ahli terapi) Melayu yang berdekatan dengan mereka ketika itu. 

"Malangnya mereka tidak menjumpai klinik kesihatan mental swasta milik orang Melayu.  Akhirnya mereka berterusan hidup dalam tekanan" kata Dr Mohd Husnor Safwan lagi. 

Menurut beliau lagi, beberapa bulan kemudian, akibat tekanan yang teruk salah seorang kenalan rapat beliau hampir hilang kewarasan dan telah dimasukkan ke wad psikiatri. Emosinya terlalu tidak stabil dan memerlukan ubat penenang. 

Peristiwa ini telah memberinya satu idea untuk membina klinik kesihatan mental yang boleh membantu ramai masyarakat Melayu mendapat bantuan kaunseling dan sokongan motivasi

Bertitik tolak dari situ, beberapa tahun kemudian, ketika memikirkan laluan kerjaya sendiri, beliau telah membuat keputusan untuk berbakti kepada masyarakat melalui pembinaan sebuah institusi kesihatan mental bagi masyarakat Melayu.



Menurut Dr Mohd Hasnor Safwan lagi, beberapa tahun lalu, klinik kesihatan mental dan pusat pusat kaunseling tidak ramai dimiliki orang Melayu, ramai masyarakat Melayu tidak sedar nilai sebuah kesejahteraan mental, nilai kepada diri sendiri, keluarga dan warga kerja serta masyarakat amnya. 

Orang Melayu menurutnya lagi lebih suka berjumpa ahli agama bagi isu-isu kekeluargaan dan peribadi, tiada yang sanggup bayar untuk jumpa ahli profesional jika mereka ada masalah.  

Jika dilihat lebih 5 tahun dahulu sangat sukar mencari pusat psikologi Melayu kerana waktu itu stigma kesihatan mental ini masih menebal. Tidak ramai masyarakat Melayu yang sanggup mendapatkan rawatan kesihatan mental walaupun mereka betul-betul memerlukannya.  

Oleh sebab itu, cadangan untuk membuka sebuah pusat psikologi untuk masyarakat Melayu digambarkan akan diakhiri dengan kegagalan dan kerugian yang pasti.  

Menurut beliau lagi, sebelum membuka Klinik Jiwadamai ini, beliau telah meminta pendapat daripada ahli-ahli dalam bidang kesihatan mental dan juga ahli perniagaan, rata-rata mengatakan perkara yang sama, iaitu beliau akan menanggung kerugian kerana bisnes seumpama itu tidak boleh bertahan lama. 

Berbekalkan semangat yang tinggi serta niat mahu membantu mereka yang memerlukan kaunseling, beliau meneruskan usaha berkenaan.

Bagi Dr Mohd Hasnor Safwan cabaran paling utama pada awal penubuhan Klinik Jiwadamai adalah dari segi dana. 

Beliau membuka pusat itu dengan seorang sahabat dengan menggunakan duit simpanan mereka yang tidak banyak.  

Pada awal penubuhannya, Klinik Jiwadamai mengalami kerugian, dan beliau terpaksa menjalankan dua hingga tiga jenis pekerjaan bagi menampong kos Klinik dan memastikan syarikat terus mempunyai dana yang cukup untuk terus beroperasi.


Sesi Kaunseling

"Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus menghidupkan klinik ini, saya mendapat pertolongan daripada ramai yang ingin membantu saya. 

"Walaupun kurang dana namun saya banyak dibantu oleh pakar-pakar dalam bidang mereka. Bahkan ramai individu yang sanggup membantu secara percuma untuk menjayakan misi ini.  

"Awal-awal dahulu memang sambutan kurang memberangsangkan. Namun dengan pelbagai program kesedaran masyarakat,  yang kami dan pelbagai pihak lakukan, semakin ramai sanggup tampil untuk menerima rawatan. 

"Alhamdulillah kini Jiwadamai makin berkembang setiap tahun dan nama Klinik Jiwadamai ini, sudah tidak asing lagi dalam kalangan komuniti yang cakna dengan kesihatan mental," katanya

"Apa yang membanggakan ialah kini sudah ramai individu yang ada kesedaran untuk membantu ahli keluarga mereka bila dilanda dengan pelbagai masalah kemurungan dan kehidupan.

"Syarikat-syarikat juga menawarkan pihak kami membantu pekerja-pekerja mereka mendapat kaunseling yang betul supaya dapat bekerja dengan jiwa yang tenang. Malahan Jiwadamai mendapat tawaran berkerjasama dengan beberapa syarikat gergasi untuk membantu pekerja mereka dan juga beberapa universiti bagi melatih pelajar mereka dalam bidang kesihatan mental," katanya lagi. 

Akhir sekali Dr Mohd Hasnor Safwan memberitahu jika dibandingkan 5 tahun lalu, kini reaksi masyarakat jauh lebih positif terhadap rawatan kesihatan mental. 

Kesedaran terhadap pentingnya kesihatan mental dalam kalangan ahli keluarga dan pekerja semakin diterima umum dan masyarakat mulai sedar bahawa kesihatan mental sangat penting untuk membina keharmonian hidup. 

Bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan di Klinik Jiwadamai antara perkhidmatannya termasuk kaunseling kesihatan mental dewasa, terapi bagi kanak-kanak lewat perkembangan serta perkhidmatan kaunseling dan motivasi dalam penjagaan mental pekerja mereka. - KitaReporters



Tempat menunggu yang selesa.

10
10
0
11
0
You will be interested