Insan & Komuniti 01 Sep, 2023

Erti kemerdekaan? Bebas hasilkan kuih-muih dan makanan tradisi masyarakat Malaysia! - Lily Azhary

@rahanamd
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

Kuih Puteri Mandi

Tahun ini, Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan terpilih sebagai tema sambutan ulang tahun Kemerdekaan negara yang ke-66 diraikan dengan penuh muhibah, saling bertoleransi dan semangat cintakan tanah air sesuai dengan kepelbagaian kaum yang menjadi tonggak keharmonian.

Apakah erti kemerdekaan kepada kalian?

Kemerdekaan kepada Fazidatul Laily Sokeman, 40, atau lebih dikenali dengan panggilan Lily Azhary apabila minat dan kecederungannya menghasilkan kuih-muih dan makanan tradisi masyarakat Malaysia yang bebas dipersembah dengan sempurna.


Lily Azhary menzahirkan semangat patriotik melalui kuih-muih bertemakan sambutan hari merdeka.


“Ops!, saya hanya bergurau kerana erti kemerdekaan ialah apabila pemikiran sikap dan jiwa kita bebas daripada apa jua jenis penjajahan. Kita bebas membuat pilihan tetapi dalam masa yang sama tidak lari daripada ketetapan yang di landasi hukum agama, peraturan kehidupan yang baik berasaskan prinsip Rukun Negara.  

“Besar harapan saya kepada Malaysia, sempena sambutan hari merdeka tahun ini melihat keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan etnik dengan pelbagai adat budaya terus maju jaya tanpa sifat perkauman. Hormat menghormati antara satu sama lain dan menjaga sensitiviti kaum atau agama lain. 

"Saya  membesar dalam kalangan masyarakat majmuk yang aman damai, mahu keadaan itu kekal begitu sampai bila-bila,” katanya.


Roti Kerca  


Berbalik kepada minatnya menghasilkan kuih-muih dan makanan tradisi yang diubah kepada bentuk moden atau mempunyai tema, anak kelahiran Sungai Sumun, Bagan Datuk Perak ini mewarisi kepandaian tersebut daripada ibunya yang berjualan kuih untuk sarapan.

“Itu kisah saya semasa kecil dan tinggal di kampung, melihat emak membuat kuih untuk berjualan. Macam-macam jenis yang biasanya dalam bentuk tradisi seperti kuih kiswi, kuih nagasari, apam beras, kuih peria, ondeh-ondeh, koci dan macam-macam lagi.


Bubur Cha-Cha


“Satu persatu saya perhatikan setiap bahannya, ada tepung, santan, gula dan campuran beberapa tambahan bahan lain yang  rasanya sangat sangat enak dan setiap satu bentuknya berbeza. 

“Apabila sudah berkahwin dan tinggal di Muar, sejak tahun 2020 semasa negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) angkara Covid-19, saya mempraktikkan apa yang dipelajari daripada emak tetapi bentuknya saya ubah. Rasanya kekal sebab bahan asasnya masih sama,” katanya.

Menjelang sambutan hari kemerdekaan yang ke-66 tahun ini, Lily menyediakan pelbagai jenis kuih-muih tradisi bertemakan Jalur Gemilang. 


Apam beras Jalur Gemilang

“Kita sangat bersyukur kerana dilahirkan di negara Malaysia yang aman damai dan kita hidup harmoni pelbilang kaum dan menikmati pembangunannya yang pesat. Ramai yang melahirkan rasa cinta kepada negara mengikut kreativiti masing-masing.   

“Saya pula cenderung bereksperimen dengan bakat membuat kuih tradisi dan sebagai  generasi yang hidup selepas negara mencapai kemerdekaan, tahun ni saya melahirkan semangat patriotisme ke atas karya persembahan makanan bertemakan sambutan merdeka,” katanya. 

Berbekalkan bakat dalam fotografi, wanita ini juga menzahirkan rasa kagumnya pada lensa kamera melalui keindahan Jalur Gemilang yang sering menjadi salah satu lambang kemakmuran sesebuah negara. - KitaReporters


Apam nasi Jalur Gemilang

12
11
0
9
0
You will be interested