Insan & Komuniti 26 Sep, 2023

32 kakitangan kesihatan ikuti Kursus Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas! Bersemuka penghuni Mahmudah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Pegawai dan kakitangan PKDP mendengar taklimat berkaitan PKWE.


SERAMAI 32 kakitangan kesihatan membabitkan pegawai serta penolong pegawai perubatan, jururawat, kaunselor dan pegawai kerja sosial perubatan mengambil bahagian dalam Kursus Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas (PKWE), Peringkat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.

Kursus PKWE itu dianjurkan bersama Unit Kerja Sosial Perubatan, Klinik Kesihatan Putrajaya dan Unit Kesihatan Primer, Pejabat Kesihatan Putrajaya yang berlangsung sehari suntuk di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 19 September 2023.

Pendedahan di lapangan itu akan menepati objektif umum serta khusus PKWE untuk meningkatkan taraf kesihatan yang optimum bagi mencapai kehidupan yang berkualiti dalam kalangan warga emas. 

Selain itu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif merangkumi penjagaan, pencegahan, rawatan dan rehabilitasi kepada warga emas.  

Ia juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran komuniti terhadap masalah kesihatan dan penjagaan warga emas, mempertingkat pengetahuan serta kemahiran anggota kesihatan dalam penjagaan kesihatan warga emas. 


Warga emas di PJMM turut terbabit dalam membantu menjayakan kursus PKWE.


Pegawai Kerja Sosial Perubatan, Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18, Siti Nur Hafizah Shaharuddin, berkata pelaksanaan kursus PKWE berkenaan dirancang menggunakan kaedah ceramah, aktiviti berkumpulan dan sesi soal jawab serta dijalankan secara pertemuan fizikal.

Menurutnya, pemilihan PJMM sebagai tempat kursus lapangan adalah bagi memberi peluang serta pendedahan kepada peserta supaya dapat mengaplikasikan informasi terus kepada penghuni iaitu warga emas di pusat jagaan berkenaan.

Tambahnya, di samping itu untuk membuat amal kebajikan dengan menyumbangkan kewangan hasil kutipan dalam kalangan kakitangan PKDP kepada PJMM selain mengadakan saringan kesihatan percuma kepada warga emas dan petugas.

“Saringan ini berkaitan nutrisi pemakanan daripada Pegawai Dietatik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) antara aktiviti dalam kursus PKWE,” ujarnya. 


Pegawai dari Unit Dietatik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terbabit dalam Kursus Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas (PKWE), di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 19 September 2023. 


Siti Nur Hafizah, berkata PJMM mempunyai banyak prasarana bersesuaian untuk warga emas, bersih serta sentiasa bersedia menerima tetamu bagi mengadakan pelbagai aktiviti amal serta kebajikan yang sebagaimana dikehendaki dalam kursus PKWE dan mungkin diteruskan pada masa depan.

Sehubungai itu juga, kursus PKWE akan diteruskan secara berkala pada setiap tahun dengan menjadikan pusat jagaan warga emas ini sebagai lokasi kerana ia secara langsung memberi peluang kepada kakitangan kesihatan untuk membuat amal kebajikan.

Jelas beliau, kursus PKWE itu sebahagian misi tanggungjawab bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan dan sokongan yang mencukupi untuk warga emas melalui peningkatan kesedaran, pengetahuan, kemahiran serta kerjasama antara agensi dengan masyarakat dalam perancangan disamping pelaksanaan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh.

“Pada akhir kursus ini diharapkan boleh meningkatkan lagi profesionalisme dan pengetahuan peserta serta menyampaikan perkhidmatan terutama yang membabitkan tugas di Kesihatan Primer bersesuaian dengan objektif yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Antara sesi sepanjang kursus PKWE itu antaranya termasuklah mengenai perkhidmatan kesihatan warga emas (pengenalan, masalah umum, mental), peranan dietetik, farmasi, fisioterapi dan terapi cara kerja yang dikendalikan oleh mereka yang pakar serta pegawai berpengalaman dalam bidang masing-masing. - KitaReporters


Pengerusi PJMM, Azman Rasman menerima sumbangan derma hasil kutipan bersama kakitangan PKDP sambil diperhatikan Siti Nur Hafizah (kiri).


Dari kiri, Pengerusi PJMM, Azman Rasman dan Setiausaha PJMM, Muhammad Shafiq Mohiadin merakamkan kenangan bersama pegawai dari PKDP dan Siti Nur Hafizah (dua dari kanan).

21
19
0
12
0
You will be interested