Insan & Komuniti 25 Sep, 2023

Bulan Malaysia Sihat Sejahtera peringkat Selangor! Ada Cabaran 100 Langkah dan saringan kesihatan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this


SEPTEMBER 2023 diisytiharkan sebagai Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) sebagai memenuhi aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) selain melahirkan rakyat Malaysia yang ampuh.

Sambutan ini turut mengambil pendekatan 'whole of nation' bagi meningkatkan literasi, dalam pembudayaan amalan hidup sihat.

Bagi peringkat negeri Selangor, ia diadakan di Taman Tasek Cempaka, Bandar Baru Bangi, pada 23 September 2023. 

Ia telah dirasmikan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan. Turut hadir, Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Negeri (JKN) Selangor, Dr Wan Noraini Wan Mohamed Noor.


Shahredzan Johan dan Dr Wan Noraini Wan Mohamed Noor melepaskan belon sebagai tanda perasmian BMSS peringkat Negeri Selangor 2023.


Seawal jam 7 pagi, orang ramai memenuhi Taman Tasek Cempaka untuk memeriahkan sambutan BMSS. Sementara menunggu program dimula, ada yang memanaskan badan dengan melakukan “work-out”, berjalan dan joging.

Syahredzan berkata, untuk memastikan pembangunan negara secara dominan dan berterusan, kerajaan memerlukan rakyat yang sihat.

Beliau berkata, BMSS sebahagian usaha bagi memastikan rakyat menjadikan aspek kesihatan sebagai budaya dan cara hidup.

“Saya amat bersetuju program ini diadakan di Taman Tasek Cempaka kerana ia adalah kawasan riadah utama bagi penduduk Bangi untuk mengeluarkan peluh  bersama keluarga.

“Jadikan amalan sihat seperti berjalan, joging dan mengambil makanan yang sihat sebagai budaya dan rutin kehidupan kita.

“Pelbagai kemudahan seperti klinik kesihatan memudahkan orang ramai untuk membuat pemeriksaan berkala selain saringan kesihatan untuk memastikan mereka sihat,” katanya.


Pengunjung mendaftar untuk program Cabaran Berjalan 100 Langkah.


Saringan kesihatan mendapat sambutan baik pengunjung sempena BMSS, baru-baru ini.


Sempena BMSS peringkat Negeri Selangor, beliau turut melancarkan Program Komuniti Bijak Sihat 1.0 bertujuan melahirkan komuniti yang bijak menentukan aktiviti yang selamat dan sesuai dengan kondisi kesihatan masing-masing.

“Melalui program komuniti itu, antara aktiviti yang dirancang ialah pengurusan berat badan, panduan pemakanan sihat, pengurusan stress dan kemurungan serta bimbingan kepada perokok dan penagih,” katanya.


Shahredzan melayan pengunjung untuk berselfie di program BMSS, baru-baru ini.


Sementara itu, Dr Wan Noraini berkata, sempena BMSS peringkat negeri, pelbagai aktiviti diadakan oleh JKN Selangor termasuk pemeriksaan darah, gigi, tip pemakanan sihat, permainan untuk merangsang minda dan cabaran 100 Langkah.

Beliau gembira dengan sambutan orang ramai yang membanjiri lokasi itu sejak awal pagi lagi. Ini membuktikan mereka prihatin dengan hal-hal berkaitan kesihatan termasuk mengambil bahagian dalam aktiviti diadakan dan saringan kesihatan. 

“Saringan kesihatan memberi peluang pengujung menjalani saringan asas kesihatan dalam memantau kesejahteraan kesihatan kendiri.

“Bagi memeriahkan sambutan, penganjur mengadakan cabutan bertuah dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak,” katanya. - KitaReporters


Pertandingan mellukis kanak-kanak paling mendapat sambutan. 

21
11
0
13
0
You will be interested