Insan & Komuniti 06 Sep, 2025

Aduan Rakyat| Tolong baiki jalan tanah berlekuk, berlumpur! Jalan utama bawa keluar hasil kebun!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Umpama peribahasa ‘ombaknya kedengaran, pasirnya tidak kelihatan’. Itulah gambaran nasib yang boleh dilalui beberapa penduduk di Lot 2146 dan Lot 328, Kampung Lubuk Ghancung serta Kampung Esok, Jelebu, Negeri Sembilan, yang dibelenggu masalah jalan berlumpur.


Jalan tanah iaitu laluan utama ke kebun dan kolam ternakan ikan penduduk kampung berlopak dan berlekuk digenangi air hujan.


Kenderaan pacuan empat roda tersadai di tepi jalan kerana tayar terbenam dalam lekuk lumpur.


Beberapa pihak sudah disuarakan supaya membantu menyelesaikan masalah penduduk terbabit untuk membaik pulih jalan sepanjang satu kilometer lebih itu, malangnya sehingga negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-68 baru-baru ini usaha berkenaan bagaikan ‘Khabar telah didengar, namun buktinya belum ada’. 

Jalan berkenaan merupakan laluan utama penduduk untuk ke kebun atau ke kolam ternakan ikan mereka setiap hari sebaliknya akan menimbulkan masalah apabila jalan tanah serta berselut itu sukar dilalui selepas digenangi air hujan.


Kenderaan penumpang juga tidak dapat melalui jalan berkenaan apabila lumpur tebal menenggelamkan tayar.


Seorang penduduk, Sha’ari Shamsudin, berkata masalah jalan bertanah merah itu sudah lama berlaku dan membebankan penduduk seperti dia untuk mengeluarkan hasil dari kebunnya kerana tayar motosikal atau kenderaan pacuan empat roda mudah tenggelam dalam selut. 

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan kenderaan ringan seperti motosikal dan pacuan empat tersangkut pada pertengahan jalan apabila tayar tenggelam dalam selut menyebabkan terpaksa meminta bantuan kenderaan lain untuk menunda dibawa keluar.

“Keadaan saya yang sudah lanjut usia serta menghidap penyakit kencing manis amat sukar untuk melalui jalan itu selepas hujan kerana tidak berupaya untuk menunggang motosikal dengan beban hasil tanaman di belakang meredah lopak serta lekuk berselut tebal,” ujarnya.


Sha’ari Shamsuddin


Seorang lagi penduduk, Kamarudin Ibrahim, berkata kalau jalan itu dapat diturap batu kerikil dan dimampatkan dengan pasir sebagai alternatif sudah memadai untuk sementara bagi membolehkan penduduk melaluinya bagi memantau keadaan kebun buah-buahan atau kolam ternakan ikan.

Tambahnya, dengan cara itu juga dapat meratakan lopak atau lekuk yang menakung air hujan, sekali gus mengurangkan tayar kenderaan terbenam apabila melaluinya bagi melancarkan urusan mengangkut hasil kebun seperti durian dan sebagainya.

Menurutnya, sebelum ini ada pihak pengurusan ladang terbabit memulihkan jalan berkenaan dengan mengarahkan pekerja mereka meratakan tanah yang berlopak atau berlekuk supaya tidak menakung air bagi mengelakkan tayar kenderaan orang kampung terbenam.

“Jika perkara ini pernah sampai kepada pengetahuan pihak berwajib saya dan rakan penduduk kampung berharap mereka dapat turun ke lapangan untuk membuat tinjauan yang mungkin ada cara lain bagi mengatasi masalah itu,” katanya. - KitaReporters


Kamarudin Ibrahim tidak dapat ke kebun apabila jalan tanah itu berlopak dan berlekuk dipenuhi lumpur.

19
11
1
10
0
You will be interested