Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Hari Terbuka Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) 2025 di Kompleks Kejiranan Presint 11, bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada 2 dan 3 Ogos 2025. PPK direka sebagai kemudahan awam untuk membina masyarakat berilmu dan bermaklumat. Ia berfungsi sebagai ruang interaksi sosial, pencarian maklumat serta pembelajaran komuniti . - KitaReporters
PUSAT Pembelajaran Kejiranan (PPK) Putrajaya direka sebagai kemudahan awam untuk membina masyarakat berilmu dan bermaklumat. Ia berfungsi sebagai ruang interaksi sosial, pencarian maklumat serta pembelajaran komuniti .
Sehubungan itu, PPK Putrajaya adalah pusat pendidikan informal yang komprehensif, bukan sahaja sebagai perpustakaan tetapi agen pembangunan kemahiran, kreatif dan sosial dalam komuniti setempat. Ia sangat sesuai untuk pelajar, ibu bapa, warga OKU, dan sesiapa sahaja yang ingin memperkaya ilmu sambil membina jaringan sosial positif.
Terdapat empat cawangan PPK yang beroperasi di Putrajaya iaitu di Presint 8, 9, 11 dan Presint 16.


Nik Shukri Nik Soh (dua dari kiri) bersama komuniti Putrajaya mengibarkan Jalur Gemilang di Dewan Utama Kompleks Kejiranan Presint 11 sempena Hari Terbuka PPK 2025.
Bagi memberi inspirasi semangat dan memperkukuh hubungan komuniti setempat, Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Hari Terbuka PPK 2025 di Kompleks Kejiranan Presint 11, bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada 2 dan 3 Ogos 2025.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata, acara tahunan yang memasuki edisi ke-18 itu adalah kemuncak kepada usaha PPj merapatkan hubungan dengan komuniti tempatan selain memperkenal pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di PPK.

Pameran ular awetan mendapat sambutan ibu bapa dan kanak-kanak.
Beliau berkata, dengan konsep mesra pelanggan, Hari Terbuka PPK 2025 bertujuan mengukuhkan interaksi sosial, memupuk semangat kejiranan dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan penduduk Putrajaya.
"Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari penganjuran Hari Terbuka PPK 2025 bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat antaranya Putrajaya Book Fun Run, Pertandingan Push Bike, karom beregu komuniti Putrajaya, pertandingan melukis, mewarna dan Doodie untuk kanak-kanak.
"Selain itu, pengunjung juga boleh menyertai Pertandingan Jigsaw Puzzle, Program IRead, aktiviti seni dan kraf tangan, demo masakan sihat, sesi penjagaan wajah bersama WonderLab dan kelas tarian tradisional.


Pertandingan karom beregu mendapat sambutan komuniti Putrajaya sempena Hari Terbuka PPK 2025.
"Tidak ketinggalan peminat permainan video boleh menyertai Pertandingan Esport FIFA 25 manakala peserta muda berpeluang menunjukkan bakat dalam Pertandingan Bercerita," katanya ketika merasmikan Hari Terbuka PPK 2025 dan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan 2025 di Dewan Utama Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.
Beliau telah diwakili Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya, Nik Shukri Nik Soh.

Perbadanan Putrajaya turut menyediakan kaunter khidmat pelanggan sempena Hari Terbuka PPK 2025.
Nik Shukri turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada setiap ketua blok dan wakil komuniti dengan harapan dikibarkan sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2025 nanti, sekali gus mengukuh semangat patriotisme dalam kalangan warga pusat pentadbiran negara itu.
Katanya, sepanjang program itu, turut diadakan kaunter perkhidmatan pelanggan, ekspo jualan buku dan pameran pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Ada juga aktiviti interaktif Teka Muka Buku Surat dan pelbagai pengisian yang menyeronokkan.

Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan menempatkan reruai bagi membolehkan pengunjung mendapatkan pelbagai info terkini.

Jualan buku akademik, novel dan majalah dengan harga borong mendapat sambutan pengunjung.
"Menariknya, program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut diberikan ruang melalui penyertaan dalam pelbagai pertandingan dan aktiviti khas.
"Sebagai menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Fadlun turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil komuniti.
"Majlis ini menandakan permulaan rasmi Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Ia berlangsung sepanjang Ogos hingga 16 September 2025," katanya. - KitaReporters

Warga emas dan OKU turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sempena Hari Terbuka PPK 2025.