SEMANGAT kebersamaan dan tanggungjawab komuniti jelas terpancar menerusi "Program Gotong-Royong Perdana" anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Seri Seroja dengan kerjasama Apartmen Mahligai Barokah di Pekarangan Blok C, Bukit Beruntung, Selangor pada 18 Januari 2026.


Pembahagian tugas dalam kalangan penduduk sebelum kerja-kerja gotong royong dijalankan.
Ahli Majlis Zon 20, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Murugan Veerapandian memuji usaha luar biasa JMB Apartmen Seri Seroja dan Mahligai Barokah yang tampil penuh keyakinan menganjurkan program gotong-royong membabitkan penduduk tempatan walaupun baru mengambil alih pengurusan pangsapuri berkenaan.
Beliau berkata, meskipun berdepan beberapa kekangan terutama proses penyerahan pengurusan daripada pihak ejen kepada JMB, keupayaan dan komitmen ditunjukkan pihak pengurusan baharu itu disifatkan sebagai sesuatu yang membanggakan.


Penduduk dan pasukan RELA berganding bahu membersihkan kawasan sekitar Apartmen Seri Seroja pada 18 Januari 2026.
“Mereka baru mengambil alih pengurusan pangsapuri tapi sudah membuktikan kemampuan,ini saya anggap luar biasa. Syabas kepada JMB Apartment Seri Seroja dan Mahligai Barokah atas usaha murni ini.
"Apabila Pengurus Bangunan JMB, Nor Hafizah Taslim dan Pengerusi JMB, Azila Alias berkongsi hasrat serta perancangan mereka bagi merealisasikan program gotong-royong itu, saya terus bersetuju untuk membantu dari segi kewangan.
"Hasilnya, kira-kira 100 penduduk hadir secara sukarela bagi membersihkan kawasan pangsapuri termasuk memotong beberapa pokok besar yang sudah berusia dan berbahaya, yang kebiasaannya memerlukan kos upah yang tinggi," katanya.

Murugan Veerapandian
Beliau menyifatkan kehadiran penduduk dalam jumlah besar pada hari minggu sebagai satu petanda positif, memandangkan kebanyakan mereka sanggup mengorbankan masa rehat selepas seminggu bekerja demi memastikan persekitaran kediaman mereka bersih dan selamat.
“Penduduk bukan sahaja hadir, malah membawa peralatan sendiri dan bergotong-royong membersihkan kawasan penempatan mereka dengan penuh semangat.
"Lebih membanggakan, saya dimaklumkan persiapan program termasuk pemasangan khemah, rewang dan memasak dilakukan sehari lebih awal, menunjukkan tahap komitmen tinggi dalam kalangan penduduk," katanya.

Menurutnya, suasana pada hari program amat meriah seperti kenduri besar, dengan semangat kekeluargaan jelas dirasai apabila penduduk turut membawa juadah untuk dikongsi bersama jiran tetangga.
“Ada juga yang sanggup menawarkan diri menebang pokok besar, kerja yang sepatutnya dilakukan dengan upah mahal. Ini satu pengorbanan yang sangat bermakna.
"Saya kagum dengan usaha JMB dan penduduk yang menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai langkah proaktif menjaga keselamatan dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini di kawasan pangsapuri itu.


Kanak-kanak turut mengambil bahagian dalam program gotong royong Apartmen Seri Seroja.
"Sebagai Ahli Majlis Zon 20, saya memberi jaminan akan melakukan apa yang termampu dan berbincang dengan pihak berkaitan bagi menceriakan serta mengindahkan Apartment Seri Seroja agar menjadi lebih selesa dan kondusif," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penyelaras DUN Batang Kali, MPHS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), RELA serta KRT Seri Seroja atas sokongan dan kerjasama menjayakan program berkenaan.
“Saya gembira dapat memberi sedikit bantuan kewangan bagi melancarkan program ini. Terima kasih kepada semua penduduk dan agensi yang tidak jemu berusaha memastikan persekitaran kediaman di sini bersih, selamat dan selesa,” katanya.


Status warga emas tidak menghalang wanita ini untuk mengambil bahagian bagi membersihkan Kawasan kediamannya.
Dalam perkembangan sama, Murugan memaklumkan satu lagi program gotong-royong berskala lebih besar dirancang pada Februari 2026 dengan memberi fokus kepada pembasmian Aedes dan pencegahan denggi, yang akan ditaja sepenuhnya oleh Ahli Majlis Zon 20.
"Program berkenaan akan disertai beberapa jabatan berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, MPHS dan Bomba, selain menampilkan pelbagai aktiviti sampingan berkaitan kempen membanteras denggi," katanya.
Mengulas isu lain, Murugan mengakui kewujudan rumah terbengkalai di sekitar Bukit Beruntung sedikit mencacatkan pemandangan, namun proses mengesan pemiliknya mengambil masa kerana perlu menyemak rekod lama.

Kerjasama berpasukan memudahkan kerja-kerja gotong royong termasuk menumbangkan pokok yang besar.

Inilah hasilnya dari semangat gotong royong.
Beliau berkata, isu lampu jalan turut diberi perhatian bagi memastikan kawasan tidak gelap dan berisiko kepada kemalangan serta kegiatan jenayah, dengan perancangan jangka panjang termasuk pemasangan lampu solar yang dilaksanakan secara berperingkat.
Dalam pada itu, Murugan memaklumkan terdapat pelaburan dari luar negara berminat melabur di Lembah Beringin, sekali gus berpotensi mengubah landskap kawasan itu serta menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Azila Alias

Kerja-kerja gotong royong seperti merewang membolehkan kos menyediakan makanan dapat dijimatkan dan hasilnya lebih sedap.
Sementara itu, Azila merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penduduk yang bersama-sama menjayakan "Program Gotong-Royong Perdana Apartmen Seri Seroja", Bukit Beruntung, Selangor.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada KRT serta semua pihak yang menyumbangkan tenaga, masa, idea, juadah, rewang dan sumbangan kewangan, sambil berharap semangat muafakat ini terus diperkukuh demi mewujudkan persekitaran Apartment Seri Seroja yang bersih, selamat, harmoni dan diberkati.
"Semoga segala kebaikan dan pengorbanan yang dicurahkan dibalas Allah dengan ganjaran sebaik-baiknya di dunia dan akhirat.
"Sebaik mengambil alih tampuk JMB, saya memasang impian supaya kita terus bersatu hati, saling bermuafakat, bantu-membantu serta mengeratkan hubungan kejiranan demi mewujudkan persekitaran Apartmen Seri Seroja yang bersih, selamat, harmoni dan diberkati," katanya. - KitaReporters

Sebahagian penduduk yang mengambil bahagian dalam gotong royong bergambar kenangan bersama Murugan Veerapandian.