Kebahagiaan seringkali digambarkan sebagai rasa senang, tenteram dan bebas daripada segala macam yang merunsingkan hati, namun persoalannya berapa ramaikah antara kita benar-benar bernasib baik dapat hidup dalam suasana sebegitu.

Kluang RailCoffee antara lokasi tumpuan terutama pelancong luar yang berkunjung ke Kluang. - Kredit foto: Maisinggah/Syahrol Sapri.

Gunung Lambak antara tempat menarik yang terdapat di kluang, Johor bagi mereka yang cinta kepada alam semula jadi. - Kredit foto:Maisinggah/Khadezajamal
Bagi rakyat Malaysia, nikmat hidup dalam negara yang aman bebas daripada rusuhan atau peperangan sudah cukup menjadi asas kebahagiaan dalam sebuah negara yang harmoni walaupun hidup dalam suasana berbilang bangsa, agama dan budaya sejak sekian lama.
Tetapi bagi penduduk Kluang, Johor, mereka mempunyai satu sebab tambahan untuk tersenyum lebar kerana daerah itu diumumkan sebagai tempat paling bahagia di Malaysia.
Pengiktirafan ini berdasarkan laporan Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 12 September 2025 lalu di mana Kluang mencatat skor tertinggi iaitu 9.83, meninggalkan Raub, Pahang (9.62) dan Mersing, Johor (9.50).

Terdapat pelbagai lukisan mural dan 3D di '"Art Street" Kluang, Johor. - Kredit foto: Maisinggah/jessyap.
Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, laporan MHI tahun 2024 buat pertama kali diterbitkan secara terperinci mencakupi peringkat negeri dan daerah, sekali gus membolehkan penilaian kebahagiaan dibuat lebih bersasar mengikut realiti setempat.
“MHI 2024 dibangunkan berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama iaitu fizikal, sosial, emosi dan spiritual.
Sebanyak 94 indikator dirangkumkan dalam 13 komponen kebahagiaan menjadikan indeks ini alat statistik sosial yang komprehensif dan berimpak tinggi dalam menilai kualiti hidup rakyat,” katanya.
Keindahan Raub, Pahang antara faktor menjadikannya tempat kedua paling bahagia dalam MHI 2024. - Kredit foto: Melancong.my/Logeswaran
Raub terkenal dengan kawasan pengeluaran durian Musang King. Gambar Hiasan- Kredit foto : Facebook Penduduk Raub.
Daripada 156 kawasan pentadbiran yang dinilai, sebanyak 36 daerah dikategorikan berada pada tahap sangat bahagia dengan skor antara 8.02 hingga 9.83, turut tersenarai dalam kelompok teratas selain Kluang, Raub dan Mersing ialah Marang, Terengganu (9.49), Lipis, Pahang (9.36), Ranau, Sabah (9.13), Setiu, Terengganu (9.06), Kuala Nerus, Kedah (9.03), Kunak, Sabah (8.97) dan Kemaman, Terengganu (8.79).
Menurutnya, bagi pecahan negeri pula, Terengganu mendahului senarai dengan skor 8.64, diikuti Johor (8.08) dan Negeri Sembilan (8.01) sementara Negeri lain turut kekal dalam tahap “sangat bahagia” dengan skor antara 7.00 hingga 7.92.
Laporan tersebut juga turut mendedahkan wanita adalah lebih bahagia berbanding lelaki dengan skor 7.62 berbanding 7.57, sementara dalam lapan komponen pula, wanita mencatatkan skor lebih tinggi, khususnya aspek agama dan kerohanian (8.72) serta keluarga (8.66).

Mersing terkenal dengan pantai yang bersih dan jernih sebagai daya tarikan pelancongan. - Kredit foto: My weekendplan.asia.

Salah satu mercu tanda bandar Mersing yang menarik perhatian pengunjung. - Kredit foto: Wikipedia/Mersing.
Dari segi umur pula, remaja berusia 15 hingga 19 tahun dinilai paling bahagia (7.79), manakala warga emas berusia 65 tahun ke atas mencatat skor 7.54, namun masih dalam kategori bahagia.
Menariknya, penduduk bandar dilihat lebih bahagia (7.61) berbanding mereka di luar bandar (7.56).
Secara keseluruhan, skor MHI 2024 berada pada tahap bahagia dengan purata 7.60, dengan analisis komponen menunjukkan dua aspek dinilai pada tahap amat bahagia iaitu agama dan kerohanian (8.69) serta keluarga (8.64), manakala budaya mencatatkan skor paling rendah iaitu 6.22.
Indeks ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan kesejahteraan rakyat, sekurang-kurangnya bagi warga Kluang laporan tersebut mengesahkan apa yang mungkin mereka sudah rasakan selama ini. - KitaReporters

Wanita dikatakan lebih bahagia berbanding lelaki mengikut laporan MHI 2024 yang dikeluarkan oleh DOSC. - Kredit foto : MBJB.