Selalunya pakaian lama termasuklah cadar, tuala, langsir atau beg yang sudah tidak digunakan akan dibuang begitu sahaja.

Bagi sesetengah orang ia mengotorkan dan menyakitkan mata memandang, apalagi sekiranya ia terbiar begitu sahaja disudut kamar.
Namun begitu lain pula bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Mereka mengambil inisiatif bagi memanfaatkan pakaian dan tekstil tersebut dengan cara tersendiri.
Tong kitar semula fabrik berwarna merah jambu khas untuk mengumpul bahan berasaskan tekstil seperti pakaian, tuala, kain perca dan fabrik terpakai disediakan.

Walau bagaimanapun fabrik dan tekstil yang ingin menggunakan tong merah jambu ini haruslah dalam keadaan baik dan boleh digunakan semula.
Kasut, topi, pakaian dalam, permainan dan tuala turut diterima sedangkan barangan, fabrik dan tekstil yang koyak dan basah tidak diterima.
Inisiatif yang diambil MBPP sebagai salah satu usaha positif untuk mengurangkan sisa tekstil dan menyokong agenda Pulau Pinang ke arah negeri hijau dan mampan.

Ayuh sama-sama berganding bahu menjayakan usaha ini kerana setiap helaian kain yang dikitar semula mampu membawa perubahan positif kepada alam sekitar. - KitaReporters