Insan & Komuniti 20 Dec, 2025

Wira tak didendang! Sukarelawan hospital terus berbakti dan berkhidmat! Bantu staf dan orang ramai!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Individu yang menjadi sukarelawan di hospital termasuk dalam satu pasukan yang diwujudkan boleh diibaratkan sebagai wira tak didendang kerana jasa mereka tidak dihebahkan atau tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya.


Sebahagian ibu dan ahli kelab sukarelawan membimbing kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna.


Sukarelawan itu biasanya menawarkan masa dan tenaga untuk membantu pesakit, keluarga serta kakitangan hospital dalam pelbagai tugas seperti sokongan emosi, aktiviti program perpustakaan bergerak di samping mengiringi pesakit untuk masuk ke wad atau ke bilik doktor mendapatkan rawatan.

Mereka juga akan membantu bagi meringankan pesakit untuk ke pusat dialisis, ke bilik rawatan fisioterapi selain menjadi penyambut pelawat ke hospital dengan bertanya tujuan kedatangan di samping menunjukkan arah tempat yang hendak dituju.


Badut dan ahli kelab sukarelawan menghiburkan kanak-kanak.


Mengambil pendekatan itu, Kelab Sukarelawan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang, Selangor, akan membuat penambahbaikan semula dengan lebih baik bagi membolehkan sukarelawannya memberi perkhidmatan sokongan pada setiap masa diperlukan.

Pengerusinya, Rosile Saat, berkata walaupun sesetengah sukarelawan itu mempunyai tugasan hakiki lain, namun kelab akan memastikan mereka boleh memberi khidmat sukarela apabila diperlukan terutama apabila diminta pihak pengurusan hospital.

Tambahnya, paling penting kelab akan sentiasa memberi nasihat dan panduan kepada sukarelawan bidang tugasan mereka yang wajar dilakukan supaya tidak menganggu kakitangan hospital melaksanakan tanggungjawab terhadap pesakit menerima rawatan.  

Jelasnya, sukarelawan akan digerakkan dengan lebih aktif untuk menjadi tenaga sokongan atau memberi bantuan kepada kakitangan hospital itu bagi melancarkan urusan mereka seperti membimbing pesakit ke bilik rawatan atau menunggu untuk mendapatkan rawatan. 


Dr Ferwahn Fairis Abd Karim menyampaikan ucapan ringkas merasmikan program berkenaan.


“Kelab juga akan turut membantu hospital menjayakan pelbagai program untuk pesakit atau komuniti dan jika perlu sukarelawan sendiri mengadakan aktiviti bagi menghilangkan rasa stres mereka yang menerima rawatan.

“Di samping itu sukarelawan juga akan memainkan peranan menyebarkan maklumat terkini mengenai kemudahan yang sediakan, bilik untuk mendapatkan rawatan, peraturan atau prosedur perlu dipatuhi seseorang apabila berada di hospital,” ujarnya ketika ditemui pada Program Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa hospital berkenaan pada 15 Disember 2025. 

Majlis yang diadakan di Wad 8A dan 8B itu dianjurkan kelab sukarelawan hospital berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Perubatan) 1, Dr Ferwahn Fairis Abd Karim. 

Turut hadir Setiausaha Kelab Sukarelawan, Muhammad Syafiq Mohiadin, kakitangan wad berkenaan dan ahli kelab sukarelawan terbabit.


Dr Ferwahn Fairis (tiga dari kiri) dan Rosile Saat memotong kek Hari Sukarelawan Antarabangsa.


Sempena program itu Rosile bersama sukarelawan menyantuni kanak-kanak dan ibu yang menemani anak mereka di wad berkenaan di samping diadakan pertandingan mewarna, persembahan badut, agihan cenderamata serta memotong kek Hari Sukarelawan Antarabangsa.

Ketika berucap merasmikan program itu, Dr Ferwahn Fairis, berkata hospital berkenaan masih memerlukan kerjasama tenaga sukarelawan dalam melancarkan urusan memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Tambahnya, begitu juga dalam program yang dianjurkan bantuan sukarelawan amat diperlukan supaya aktiviti khususnya untuk orang ramai dapat berjalan lancar supaya menepati sasaran ia diadakan terutama memberi manfaat dari segi pembinaan kesejahteraan kesihatan.

“Kerjasama yang baik dan berterusan hospital dengan sukarelawan sudah pasti akan mendorong kepada kewujudan perkhidmatan terbaik serta selesa kepada orang ramai sama ada datang untuk mendapatkan rawatan atau menziarahi ahli keluarga serta rakan sedang menerima rawatan,” katanya. - KitaReporters


Rosile (bersongkok) merakamkan kenangan bersama ahli Kelab Sukarelawan dan kakitangan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang, Selangor. 

11
19
1
15
1
You will be interested