.
KATA orang di Malaysia, hari raya sebulan, seperti juga berpuasa sebulan! Kerana itu walau pun Syawal makin menghampiri penghujung, sambutan hari raya masih meriah diadakan di sana sini.
Ramai
mengadakan rumah terbuka. Ada rumah terbuka anjuran individu, pejabat,
persatuan, bank, pusat servis kereta dan pelbagai lagi. Tidak lain tujuannya
untuk meraikan saudara mara dan rakan, kakitangan atau pelanggan perniagaan.
Penduduk Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur tidak ketinggalan mengadakan sambutan Hari Raya 1446 Hijrah tahun 2025 pada Sabtu, 19 April 2025 untuk penduduk taman serta keluarga masing-masing.

Sebahagian penduduk Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur yang hadir pada sambutan hari raya di kabin padang permainan kanak-kanak pada Sabtu 19 April 2025. Walaupun hujan, ramai hadir dan menunggu sehingga majlis berakhir.
Di samping memeriahkan hari raya, matlamat majlis untuk mengeratkan hubungan ukhuwah sesama penduduk. Kehadiran ramai penduduk pelbagai kaum mencerminkan hubungan erat dalam kalangan mereka.
Majlis
diadakan di kabin padang permainan kanak-kanak bermula pukul 8 malam. Lokasi
ini merupakan pusat aktiviti penduduk di mana pelbagai aktiviti berkaitan
penduduk dan taman diadakan.
Majlis dianjurkan
Persatuan Penduduk Danau Kota. Walaupun hujan ketika majlis berlangsung, ia
tidak mematahkan semangat penduduk yang beramai-ramai hadir bersama keluarga.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan. Beliau turut mencabut nombor bertuah serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Zahir Hassan (tiga dari kiri) turut hadir menyerikan sambutan hari raya Taman Danau Kota. Beliau mencabut nombor bertuah dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Pelbagai juadah enak disediakan, dengan menu utama nasi beriani berlauk kambing kari hasil masakan penduduk, yang diketuai Cef Jamal dan Ramly. Selain itu ada nasi beriani lauk ayam masak merah sumbangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Juadah lain termasuk laksa, kuih jala dan kuih muih yang enak belaka. Ada juga 'aiskrim Malaysia' kesukaan kanak-kanak.
Memang berselera menikmati jamuan dalam keadaan sejuk persekitaran sambil mendengar nyanyian bertema 60-an daripada kugiran dan penyanyi jemputan.

Roti jala antara juadah pada sambutan hari raya Taman Danau Kota.

Laksa antara menu pilihan ramai pada sambutan hari raya Taman Danau Kota. Nampak banyak bersusun tetapi sekejap sahaja sudah habis!
Dentuman bunga api serta cahaya pancaran cahaya berwarna warni membelah malam menambah seri dan kemeriahan sambutan. Suasana padang yang diserikan dengan lampu tambah terbang benderang disimbah oleh cahaya bunga api.
Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun gembira apabila setiap seorang mendapat duit raya. Cabutan bertuah untuk hadirin pula menyediakan hadiah menarik termasuk kipas angin, kuali masak, cerek air, seterika dan blender. Hadiah utama pula sebuah basikal.

Sebahagian hadiah cabutan bertuah pada sambutan hari raya Taman Danau Kota, Setapak.
Walau pun hujan berterusan di sepanjang majlis, penduduk setia menunggu hingga majlis berakhir. Inilah masa bertemu dan berbual mesra kerana walau pun tinggal setaman, masing-masing kerap sibuk degan tugas atau urusan sendiri.
Kerana itu majlis meriah seperti sambutan hari raya adalah masa terbaik menambah erat hubungan persaudaraan dan kejiranan. Inilah harapan dan impian penduduk Danau Kota yang sentiasa menekankan hidup penuh harmoni dan bertoleransi. - KitaReporters

'Aiskrim Malaysia' kesukaan kanak-kanak turut disajikan pada sambutan haru raya Taman Danau Kota.