
PARA peserta dan pegawai SPRM menggayakan isyarat telapak tangan menolak amalan rasuah dalam Program Kesedaran Antirasuah dan Pemantapan Tadbir Urus Dana Bersama Pemimpin Masyarakat Zon Tengah di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong. - Kredit foto: KRT Admiral 1
SETIAP pemimpin masyarakat atau persatuan penduduk perumahan bertanggungjawab memastikan dana yang diperoleh, digunakan untuk kebaikan masyarakat setempat dengan telus dan berintegriti.
Sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang seperti penyelewengan dana untuk kepentingan peribadi, pasti tidak terlepas daripada tindakan tegas pihak penguat kuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ingatan ini ditegaskan Ahli Majlis Zon Putra Perdana, Naharanuar Ayob ketika sesi dialog sempena Program Kesedaran Antirasuah dan Pemantapan Tadbir Urus Dana Bersama Pemimpin Masyarakat Zon Tengah di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong, Selangor pada 14 Jun 2025.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Ropidah Mohammad dan Penceramah atau Pempengaruh Media Sosial SPRM, Penolong Penguasa Kanan Kesavan Rathakrishnan serta hampir 100 wakil penduduk sekitar Taman Putra Perdana.

PARA peserta dan pegawai SPRM melaungkan slogan, 'Rasuah Dihina, Maruah Dibina' dalam Program Kesedaran Antirasuah dan Pemantapan Tadbir Urus Dana Bersama Pemimpin Masyarakat Zon Tengah di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong. - Kredit foto: KRT Admiral 1
Naharanuar dalam ucapan perasmiannya terdahulu berkata, “tahap kesedaran dan komitmen antirasuah yang tinggi daripada pemimpin, pasti akan diteladani dan dapat memupuk sokongan dan kepercayaan kukuh daripada orang ramai.”
Kata Kesavan pula, pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan penting bagi mendidik anak-anak buahnya dalam menguruskan dana awam bagi memastikan penggunaannya dijalankan secara beretika dan menepati objektif sebenar.
“Sentiasalah berikan pendedahan mengenai amalan baik untuk mengelakkan percanggahan kepentingan peribadi ketika menjalankan tugas sebagai pemimpin masyarakat.
“Jangan juga budayakan atau biasakan anak-anak buah anda dalam menghulurkan ‘duit kopi’ apabila ditahan oleh pihak penguat kuasa dan supaya mudah melepaskan diri daripada tindakan kerana amalan ini memang salah,” katanya.
Empat perbuatan yang ditakrif sebagai kesalahan menurut Akta SPRM 2009 ialah meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk suapan.
Rasuah juga bukan sekadar berbentuk wang bahkan membabitkan hadiah, bonus, upah, jawatan, perkhidmatan dan diskaun.
Terdapat aneka istilah atau ganti nama atau simpulan bahasa bagi perbuatan merasuah di Malaysia seperti makan suap, tumbuk rusuk, bunga emas, duit kopi, pelincir, duit minyak, kaw tim dan duit bawah meja atau kaunter.

KESAVAN Rathakrishnan turut berkongsi beberapa contoh kes amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepanjang pengalamannya dalam siasatan. - Kredit foto: SPRM
Program pendidikan mengenai bahaya rasuah pada peringkat sekolah atau ‘Wira Anti Rasuah (WAR) turut telah diperkenalkan pada 2014 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Harcroft, Puchong.
Program WAR dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan ini bertujuan membudayakan nilai-nilai amanah, jujur dan tidak mengambil hak orang lain dalam kehidupan harian para pelajar.
Pengamalan nilai-nilai positif ini akan melahirkan generasi yang tinggi tahap integritinya sekali gus menyedarkan mereka tentang bahaya dan keburukan jenayah rasuah.
Pelaksanaan program WAR turut dimuatkan dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 4 yang mula digunakan pada 2020. - KitaReporters

NAHARANUAR Ayob (kanan) menyampaikan penjelasan mengenai bahaya amalan rasuah dan penyelewengan dana masyarakat manakala di tengah ialah Ropidah Mohammad. - Kredit foto: SPRM

ANTARA hampir 100 hadirin Program Kesedaran Antirasuah dan Pemantapan Tadbir Urus Dana Bersama Pemimpin Masyarakat Zon Tengah di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong. - Kredit foto: SPRM