.
Tahniah kepada Pasukan Masakan Kebangsaan Malaysia yang mana hasil tangan mereka telah dinobatkan “Best Cuisine" (Kuisin atau Masakan Terbaik) pada "Worldchefs National Cuisine Challenge 2025” (Cabaran Masakan Kebangsaan Cef Dunia 2025) di Dubai.
Tarikh 23 Mei 2025 menjadi saksi Malaysia menjulang gelaran Juara Masakan Tradisional melalui menu nasi kerabu, rendang ayam, otak-otak, sambal udang, cendol, kuih keria dan kuih Puteri Dua Sebilik.

Nasi Kerabu, Rendang Ayam, Otak-Otak, Sambal Udang di samping kuih Keria, Puteri Dua Sebilik dan Cendol terpilih “Best Cuisine" di "Worldchefs National Cuisine Challenge 2025”. Kredit gambar - Video .
Menu tujuh jenis itu dipilih terbaik, sekali gus pasukan negara Malaysia telah berjaya membolot Pingat Emas dalam pertandingan yang diadakan di UAE.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kita tujukan kepada mereka yang dianggotai Ketua Pasukan dan Pengurus @ Jurulatih (Cef Rene Johari, Cef Syafiq Shahrom dan Cef Azlee Zainon) serta ahli pasukan (Muhammad Azzam Omar, Muhd Nabil Eman, Raihana Adawiyah Khairil Anwar dan Muhammad Yusri Yuzani).
Kejayaan global itu membuktikan keunikan cita rasa tradisi kita kini mendonia lagi, menjadi perhatian pada peringkat antarabangsa, bukan hanya disukai daripada kalangan orang biasa, malah pada cita rasa pakar @ juri dan hakim masakan antarabangsa.

Dalam pertandingan itu, pasukan Malaysia telah mengalahkan sembilan negara lain termasuk Syria (Naib Juara) dan Perancis (ketiga). Negara Top Ten lain ialah Itali, China, India, Indonesia, Sri Lanka, Nepal, Thailand dan Afrika Selatan. Ia disertai banyak lagi negara lain.
Sesungguhnya ini adalah kemenangan untuk kita semua, lambang gabungan warisan, semangat, dan perpaduan melalui hidangan rakyat Malaysia!

Peserta yang menjulang nama negara Malaysia bersama sijil kemenangan mereka. - Kredit gambar: Tangkap layar daripada video.
Dipetik dari laman myresipi.com, antara individu penting di sebalik kejayaan ini adalah Cef Syafiq Shahrom, yang bertugas di Grand Hyatt Dubai. Mula terlibat dalam dunia kulinari selepas tamat persekolahan dan menyambung pengajian dalam seni kulinari serta pengurusan hotel di KLMUC (Kuala Lumpur Metropolitan University College), kerjaya beliau bermula di Kuala Lumpur.
Sehingga kini beliau telah bekerja di beberapa negara asing termasuk Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, Bahamas dan kini di Dubai, UAE.
Salah seorang pengurus pasukan, beliau berkongsi bahawa perjalanan untuk menang pada kejohanan ini tidak mudah, melalui proses latihan sejak tiga bulan lalu.
Setiap hidangan diinspirasikan oleh negeri asal ahli pasukan dan resipi warisan yang dipelajari sejak kecil daripada ibu dan nenek masing-masing.
Tujuan utama mereka adalah untuk membawa rasa makanan tradisional negara ke peringkat dunia. - KitaReporters

Kumpulan peserta Malaysia memegang bendera kebanggaan negara, bersama kenamaan yang hadir. - Kredit video: FB Kisah Dunia.