Insan & Komuniti 03 Jun, 2025

Video| Buat baik, dibalas baik! Cecep dijemput jadi tetamu Allah! Balasan kerja cuci tandas masjid!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

.



Dalam kalangan penduduk Sukabumi, Jawa Barat, anak muda bernama Muhamad Cecep Abdullah, 27, cukup dikenali. 

Ini kerana pemuda ini sudah lama melakukan tugas mulia membersihkan masjid terutama tandas dan tempat ambil wuduk sejak tahun 2012 ketika masih menjadi pelajar (santri) Pondok Pesantren At-Tibyan.

Cecep menjadi bahan bualan seluruh Indonesia sejak tahun 2024 setelah punya laman sosial dalam TikTok @cleanermasjid yang kini mempunyai lebih 2.5 juta pengikut. Laman sosial ini sentiasa memaparkan konten kegiatannya membersih masjid.


Kegiatan Cecep mencuci masjid termasuk mencuci tandas serta tempat ambil wuduk dan membaiki kerosakan kecil tular menyebabkan dia mendadak popular.

Justeru Cecep menerima tawaran mengerjakan umrah sebanyak tiga kali dari individu tertentu kerana kerja mulianya itu. Cecep bersyukur dengan tawaran dapat mengerjakan umrah sebanyak 3 kali itu. 

Namun walaupun sudah menjejakkan kaki ke bumi Makkah dan Madinah masih tidak cukup jika tidak menunaikan haji iaitu Rukun Islam ke-5.

Lalu ketika menunaikan umrah kali ketiga awal tahun 2025, Cecep berdoa di Raudhah, di dalam Masjid Nabawi. Madinah. Raudhah adalah tempat yang dikenali mustajab untuk berdoa.

Cecep ketika mengerjakan umrah pada awal tahun 2025

“Di sujud terakhir saya berdoa, ‘Ya Allah, berikan aku haji, bagaimanapun cara Engkau berikan.’ Saya menangis di sana, berharap penuh,” kata Cecep dalam laman sosialnya.

Ternyata doanya di Raudhah dimakbulkan.

Tidak lama selepas pulang ke Indonesia, Cecep menerima tujuh panggilan tidak dijawab melalui telefon bimbitnya.

Selepas menghubungi semula, ternyata panggilan itu daripada pengarah stesen televisyen nasional yang menyampaikan berita mengejutkan bahawa beliau telah dijemput untuk menunaikan haji oleh program khas kerajaan Arab Saudi.  

Cecep ditanya oleh pengarah stesen TV itu sama ada berminat untuk mengerjakan haji. Pada mulanya, dia ragu-ragu akan panggilan itu yang mungkin hanya satu penipuan atau scam. 


Muhamad Cecep Abdullah

Namun pada 14 Mei 2024, Cecep mendapat kepastian selepas namanya dimasukkan dalam sebuah grup WhatsApp bagi jemaah jemputan khas. Cecep merupakan wakil tunggal dari Sukabumi dalam tawaran itu. 

Cecep berkongsi khabar gembira itu dalam TikToknya.

Kerajaan Arab Saudi memberi tawaran mengerjakan haji secara percuma kepada sejumlah masyarakat luar negara yang memenuhi kriteria tertentu.

Bagi Cecep tawaran itu diberi atas sumbangan ikhlasnya membersih sejumlah masjid yang kurang terurus dengan baik di daerah Sukabumi dan tular dalam laman sosial.


Membersihkan tandas dan tempat mengambil air sembahyang adalah tugas rutinnya ketika mengunjungi mana-mana masjid

Terdapat satu jawatankuasa di Indonesia yang menyenaraikan nama kepada Kedutaan Arab Saudi untuk menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi bagi menunai ibadat haji.

Cecep bersama 20 orang tetamu khas Arab Saudi berlepas pada 29 Mei 2025 dengan penerbangan Saudi Air. Sekembali daripada menunai haji, Cecep akan meneruskan kerja kebajikannya mencuci masjid  yang kurang dirawat di sekitar Sukabumi.

Pernah berhenti menjalankan ketja amal ini ketika pandemik Covid-19 melanda, namun semangat Cecep tidak pernah pudar walaupun mengguna wang sendiri untuk membeli peralatan mencuci.

Cecep turut menjalankan kerja merenovasi masjid tertentu jika ada keperluan. - Kredit foto: Hidayatullah

Dia kini mengetuai satu komuniti seramai 20 orang ahli yang mampu membersihkan sehingga 12 buah masjid sehari. "Saya dulu cuma ajak orang ikut bersihkan masjid sebab tak mungkin saya mampu buat semua sendiri," katanya.

Buat baik pasti akan dibalas baik. Kisah ini benar-benar memberi inspirasi! Alhamdulillah dan syabas Cecep bakal bergelar haji muda! - KitaReporters


26
20
0
26
0
You will be interested