.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud "Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari) menjadi dorongan kuat kepada Baba Affendi Isa untuk membuka sekolah pondok di Batu 10, Tanah Merah, Kelantan.
Sekolah pondok yang diberikan nama Al-Ulum Al-Qamariyyah itu dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh seorang penduduk supaya beliau dapat meneruskan pengajian agama kepada generasi hari ini dan mula beroperasi pada tahun 2018.

Permandangan Sekolah Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah di Batu 10, Tanah Merah, Kelantan yang memerlukan sumbangan dana.
Di samping sabda Nabi itu, beliau menganggap menyebarkan ilmu agama adalah umpama berjihad
ke jalan Allah SWT kerana ilmu yang bermanfaat diajarkan menjadi saham akhirat
apabila pahalanya mengalir kepada kita walaupun sudah mati.
“Ia juga bukan sahaja satu ibadah untuk melahirkan generasi
berilmu dan darjat orang mengajar ilmu agama itu tinggi di sisi Allah SWT serta
rezeki orang mengajar ilmu Allah SWT secara Ikhlas dijamin Allah SWT,” ujarnya yang
bertindak sebagai mudir ketika ditemui pada 4 April 2025.
Baba Affendi berkata, dia ingin berkongsi dan menyebarkan ilmu agama yang dipelajarinya sejak 1988 sehingga 2000 dengan masyarakat khusus generasi muda supaya mampu menjadi seorang berbudi pekerti mulia, memiliki ilmu agama tinggi yang akan disebarkan pula.

Baba Affendi Isa bersama Muhammad Bishrul Haafi menggunakan sebuah bilik kecil dalam masjid sebagai pejabat pentadbiran.
Ceritanya, selepas menamatkan alam persekolahan pada tingkatan tiga pada 1988 dia meneruskan pengajian agama di beberapa sekolah pondok di Kelantan dan Selatan Thailand sehingga tahun 1995 sebelum berangkat ke Mekah untuk mempelajari serta mendalami bidang agama selama lima tahun di sana.
Tambahnya, sekembali ke Kelantan pada tahun 2000 dia membuka
warung untuk menjual nasi berlauk dan pelbagai makanan sebagai sumber
pendapatan, manakala pada sebelah malam beliau dijemput memberi kuliah agama di
surau juga beberapa sekolah pondok.
“Beberapa tahun selepas itu saya menerima pelawaan seorang penduduk untuk membuka sekolah pondok di atas tanah di wakafkan supaya meneruskan kelas pengajian serta aktiviti agama di kampung berkenaan.
“Sehubungan itu juga saya mempelawa penduduk di kampung berkenaan untuk hadir serta mengikuti pengajian agama bersama-sama pelajar sekolah pondok yang datang dari seluruh negara,” ujarnya.

Baba Affendi melihat keadaan pondok pelajar yang perlu dibaik pulih untuk keselesaan.
Baba Affendi berkata, dia membina 23 pondok bagi mewujudkan suasana pembelajaran agama serupa sekolah pondok seperti pada zaman beliau belajar dahulu dan setiap pondok berukuran 10 kaki persegi didiami seorang pelajar.
Tambahnya, pelajar akan memasak sendiri makanan malah kaedah
itu mewujudkan hubungan erat antara mereka apabila berkongsi lauk yang dimasak,
jika kehabisan beras serta barangan keperluan asas lain saya akan menyediakan
bahan berkenaan hasil infak orang ramai.
Jelasnya, sekolah pondok itu beroperasi hasil sokongan dan kerjasama orang ramai serta penduduk kampung yang memberi sumbangan kewangan serta menginfak barangan keperluan harian bagi meringankan bebanan pelajar.
“Sekolah pondok saya tidak menerima sebarang bantuan khusus untuk beroperasi selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa agama negeri manakala pelajar hanya dikenakan bayaran RM20 sahaja setiap bulan untuk kos elekterik,” katanya yang kini masih meneruskan pengajian agama dalam bidang tasawuf di Sekolah Pondok Kampung Aur Cina, Pasir Mas.

Baba Affendi dan Muhammad Bishrul menunjukkan kelas pengajian yang mengalami kerosakan dan perlu dibaik pulih.
Sementara itu, Pembantu Mudir, Muhammad Bishrul Haafi, berkata selepas beroperasi lebih tujuh tahun banyak pondok yang didiami pelajar sudah buruk dan mereput kerana ia dibina daripada kayu dan papan playwood hasil sumbangan orang ramai.
Jelasnya, wakaf yang dibina serupa kelas pengajian sudah
tidak dapat digunakan lagi kerana papan lantai sudah tercabut dan semakin
mereput, disebabkan hal demikian masjid yang dibina beberapa tahun lalu
digunakan sebagai kelas pengajian agama setiap hari.
Tambahnya, sehubungan itu dia bersama Baba Affendi sedang berusaha mengumpul dana yang dianggarkan sebanyak RM150,000 untuk membaik pulih pondok berkenaan, kelas pengajian, masjid serta membina lima lagi pondok bagi menampung kemasukan pelajar baharu.
“Dana yang berjaya dikumpul nanti akan digunakan juga untuk membaiki kerosakan pada masjid yang menghadapi masalah atap bocor serta melengkapi kemudahan asas khusus seperti bekalan air untuk memudahkan pelajar berwuduk dan sebagainya.
“Walaupun berada dalam keadaan tidak begitu sempurna, mereka selalu menerima jemputan daripada masyarakat setempat untuk hadir pada majlis aktiviti agama, solat jenazah dan sebagainya,” katanya.

Baba Affendi dan Muhammad Bishrul melihat kandungan kitab untuk diajar kepada pelajar sekembali selepas bercuti menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kepada yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Baba Affendi menerusi nombor telefon bimbit 011-1493 7726 dan Bishrul (011-1797 7287).
Mereka yang ingin menyumbang dana boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam bernombor 030540 10034957 (Tetuan Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah) dan akaun Maybank 5530 10623251 (Madrasah Al Ulum Al Qomariyyah). - KitaReporters

Walaupun keadaan pondok yang semakin buruk, tetapi ia tidak mematahkan semangat pelajar untuk meneruskan pengajian agama dengan Baba Affendi.