.

PERPADUAN bukan setakat ungkapan. Ia perlu diterjemahkan selari dengan kata-kata!
Inilah mesej yang mahu disampaikan oleh Seri Gombak Joggers Club (SGJC) apabila menganjurkan majlis 'Joggers Terlajak Raya' di Taman Tasik Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Khamis, 1 Mei, 2025 lalu.
Walaupun
berkonsepkan 'rumah terbuka' bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri namun di
sebalik penganjuran itu, terselit matlamat yang lebih luas iaitu memupuk
perpaduan dalam komuniti terutama dalam kalangan kaki jogging di taman
riadah berkenaan.
Melihat kepada kehadiran, ternyata program 'serampang dua mata' itu menepati sasaran apabila ia dihadiri pelbagai kaum.
Jelas terpamer kemesraan dalam kalangan mereka tanpa mengira kaum, menepati hasrat kerajaan Madani yang mahu melihat keharmonian rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

MAJLIS 'Joggers Terlajak Raya' meriah dengan kehadiran pelbagai kaum.
Penaja utama majlis itu, Syed Zainul Abidin Syed Hussain berkata beliau sentiasa menyokong apa saja bentuk program yang bermatlamat memupuk perpaduan kerana menyedari betapa pentingnya sikap saling menghormati, bekerjasama dan bersepakat walaupun berbeza warna ras dan agama.
"Saya sentiasa menyokong program sebegini. Walaupun bulan raya sudah berlalu namun majlis ini bukan sekadar untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri sebaliknya bertujuan memupuk perpaduan.
"Malah, ini bukanlah pertama kali dianjurkan. SGJG walaupun bukan kelab berdaftar namun ia adalah antara kelab yang aktif menganjurkan program sebegini terutama dalam meraikan hari raya, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, tahun baharu dan lain-lain.
"Setiap kali penganjuran, sambutan sangat luar biasa apatah kami nengamalkan konsep buka pintu, sesiapa saja yang datang berjogging pada hari itu, dijemput mengambil bahagian walaupun mereka bukan jogger regular," katanya.

VELLU (kiri) gembira dapat hadir ke majlis anjuran SGJC.
Turut
diundang adalah pemimpin komuniti setempat seperti wakil rakyat, ahli
jawatankuasa masjid dan surau.
Selain Syed Zainul Abidin sebagai penaja utama, majlis itu turut mendapat sokongan berbentuk kewangan serta tajaan makanan dan minuman daripada ahli-ahli lain.
"Boleh dikatakan semua ahli memberi komitmen. Kami tidak menetapkan jumlah sumbangan wang atau makanan, terpulang atas keikhlasan dan kemampuan masing-masing," katanya.
Sementara itu R Vellu yang tidak pernah ketinggalan menyertai majlis anjuran SGJC berkata dia gembira dapat turut bersama rakan-rakan pelbagai bangsa.
"Majlis ini benar-benar muhibah, ada Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kami macam adik-beradik. Saya ucapkan tahniah kepada penganjur," ujar Veluu.

PERPADUAN dapat dipupuk menerusi majlis ini.

KEMESRAAN merentasi kaum dan agama bukti perpaduan rakyat Malaysia.
Bagi seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Soo, layanan tanpa mengira kaum dalam kalangan kaki jogging di tasik itu membuatkan berasa selesa untuk beriadah.
"Bila ada majlis sebegini, mereka menjemput semua kaum walaupun ia sambutan hari raya. Ia sangat bagus.
"Kami merancang mengadakan majlis serupa untuk Tahun Baharu Cina nanti. Bagi memastikan hidangan disediakan halal, kami akan meminta joggers beragama Islam menguruskan penganjuran bagi pihak kami," kata Ah Soo.

WALAUPUN bertongkat namun Abdul Wahap Nor (kiri) dan Shuaib Hanafi tetap hadir ke majlis 'Joggers Terlajak Raya'.
Sementara itu, keterujaan untuk berjumpa rakan-rakan mendorong Abdul Wahap Nor dan Shuaib Hanafi turut hadir walaupun dalam kondisi kesihatan yang terjejas.
"Berjumpa kawan-kawan terutama dalam majlis sebegini adalah terapi. Atas sebab saya berusaha datang walaupun terpaksa bertongkat. ," kata Abdul Wahap yang mengalami strok sejak dua tahun lalu..
Shuaib pula yang mengalami masalah kesihatan sehingga membataskan pergerakannya berkata kedatangannya untuk melepaskan rindu pada kawan-kawan.
"Dulu, setiap hari saya berjogging tapi sejak beberapa bulan lalu saya tidak melakukannya. Rindu pada kawan-kawan. Saya harap suatu hari nanti, saya akan dapat kembali berjogging," ujar Shuaib.

PELBAGAI makanan dihidangkan.
Pengunjung majlis itu disajikan nasi beriani kambing sebagai menu utama di samping sate, rojak, pulut kuning, kuih-muih, minuman dan buah-buahan.
Bagi memeriahkan majlis, turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan RM600.
Apa yang dilakukan oleh SGJC adalah satu contoh bagaimana perpaduan kaum dapat disuburkan dalam kalangan rakyat negara ini.
Jadi ayuh! Mulakan dengan skala kecil di komuniti anda!. - KitaReporters

MAJLIS 'Joggers Terlajak Raya' diraikan dengan meriah.