Antara barang-barang peribadi paling penting buat seseorang ialah kad pengenalan atau Kad Akuan Diri Malaysia (MyKAD). Sebagai rakyat Malaysia, anda wajib bawa ia ke mana-mana dan menjaganya seperti diri sendiri.
Seandainya anda didapati tidak membawa kad pengenalan ketika diminta pihak berkuasa, maka boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Kalau kad pengenalan anda hilang disebabkan kecuaian atau kecurian, anda wajib membuat laporan polis dan seterusnya memohon yang baharu di Jabatan Pendaftran Negara (JPN).
Bagi kecuaian bayaran yang dikenakan untuk kali pertama ialah RM100. Kehilangan kali kedua pula dikenakan bayaran sebanyak RM300 dan kali ketiga RM1,000. Setiap permohonan baharu pula dicaj sebanyak RM10.
Justeru, jagalah baik-baik dan sentiasa bawa kad pengenalan ke mana sahaja anda pergi.
Jangan kerana kecuaian anda, melayang wang ringgit. Bayangkan, sejumlah wang tersebut kalau digunakan untuk membeli barang keperluan rumah lagi baik.
Apa yang terjadi kepada seorang lelaki, Azri Wan Ramli, boleh dijadikan pengajaran.
Menurutnya dia sudah dua kali kehilangan kad pengenalan. Dia sendiri hairan ke mana dokumen penting itu hilang tanpa dikesan. Akhirnya misteri dan persoalan selama ini terjawab.
Hal tersebut dikongsinya dalam TikTok agar menjadi pengajaran buat semua. “Eloklah dah buat IC baharu kali kedua kena RM300. Hilang lagi sekali mahu RM1,000 denda,” tulisnya.
Rupa-rupanya kehilangan dokumen penting itu angkara anak kecilnya. Tanpa disedari, anaknya telah mengeluarkan kad pengenalannya di dalam dompet lalu diselitkan ke dalam pintu kereta.
Lebih mengejutkan, bukan sahaja kad pengenalan tetapi juga kad bank dan lain-lain turut dijumpai.
Menurutnya, hal
itu terbongkar setelah isterinya kebetulan melihat perbuatan anaknya itu. Nak tak
nak, akhirnya dia terpaksa membuka pintu kereta dan benar k semua dokumen
penting yang didapati hilang itu ada di situ.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Malah video yang dikongsi itu mendapat sebanyak 1.6 juta tontonan.
Ada juga yang mempersoal tindakannya membenarkan anak kecil bermain dengan dokumen penting seperti itu. “Soalan aku macam mana anak boleh main segala jenis kad yang penting tu?’ tanya salah seorang netizen.
Lebih mengejutkan ada netizen yang berkongsi cerita bahawa dirinya sudah lima bulan tidak mempunyai kad pengenalan kerana tidak mampu membayar denda RM1,000 untuk permohanan kali ketiga. Semoga saudara ini diberikan rezeki untuk membuat kad pengenalan baharu.
“Sudah lima bulan aku tak ber-IC sebab dah sampai denda RM1,000,” tulisnya ringkas. - KitaReporters