Insan & Komuniti 04 May, 2020

Kisah tular tak betul! Bukan bangsal! Pondok persinggahan je

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

KISAH sekeluarga enam beranak yang tinggal di khemah atau bangsal uzur di Kampung Malan, Dangi, Johol di Negeri Sembilan yang tular dan mendapat perhatian ramai mulai Jumaat, 1 Mei lalu ada cerita di sebaliknya. Bangsal yang didiami sebenarnya hanya pondok persinggahan! : KitaReporters

Radzuan Ismail bersama isteri Nazariah Mat Dahin dan tiga orang anaknya di hadapan pondok persinggahan mereka di Kampung Malan, Dangi, Johol, Negeri Sembilan. Di kiri ialah adiknya Maznah Ismail. - Kredit foto: Bernama


Bangsal yang dibina oleh Radzuan Ismail, 52, di tanah peninggalan arwah ibu bapanya lima tahun lalu sebenarnya adalah pondok persinggahan beliau dan keluarga semasa mengusahakan kebun getah dan bercucuk tanam

Katanya, beliau bersama isteri dan tiga orang anaknya yang balik ke kampung halaman di Malan masa cuti persekolahan pada pertengahan Mac 2020 tetapi terkandas tidak dapat kembali ke kediaman mereka di Meru, Klang, Selangor bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 dan tidak dibenarkan perjalanan merentas antara negeri.

Maka, dia dan keluarga hendak tak hendak terpaksa tinggal di khemah tersebut.  

Media sosial FB Waghih Negeri Sembilan yang memaparkan penjelasan Radzuan melalui laporan Bernama pada Ahad, 3 Mei 2020 yang menyatakan beliau sebelum ini berulang alik bersendirian dari kediamannya di Meru, Klang untuk mengusahakan tanaman di kampung disebabkan masih bekerja di kilang kelapa sawit.

Maznah Ismail (kiri ) adik kandung Radzuan  yang sudah enam bulan tidak bertemu abang nya kerana mengikuti pengajian Ph.D Jurusan Kejuruteraan Awam di UTM Skudai sanggup balik ke kampung halamannya di Malan,Dangi setelah mengetahui beliau berada di situ. - Kredit foto: Bernama.


Radzuan membina khemah tersebut untuk berehat dan kadangkala tidur bersama keluarga memandangkan tidak mempunyai rumah di tanah miliknya sendiri yang diwarisi daripada arwah kedua-dua orang tuanya.

Beliau sebenarnya sebelum ini ada membuat permohonan membina rumah di atas tanah berkenaan melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang masih dalam proses.

Rumah pusaka milik keluarganya yang diwarisi telah terbakar pada 2015 menyebabkan Radzuan dan keluarga tidak mempunyai rumah di tanah miliknya itu.

Radzuan melalui laporan Bernama itu menyatakan isu yang tular adalah di luar pengetahuannya dan menafikan dakwaan beliau bersama keluarga merempat duduk di sebuah khemah yang didirikan di tanah peninggalan keluarganya.

Beginilah keadaan pondok persinggahan yang dibina oleh Radzuan Ismail di atas tanah peninggalan kedua-dua arwah orang tuanya di Kampung Malan, Dangi, Johol di Negeri Sembilan. - Kredit foto: FB Waghih Negeri Sembilan. 


Sementara itu, adik Radzuan, Maznah Ismail, 40, yang mengikuti pengajian Ph.D dalam Jurusan Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor tergerak hati untuk balik ke Kampung Malan, Johol setelah mengetahui abang kandung dan keluarganya berada di sana.

Menurut Maznah, bila kerajaan membenarkan pelajar universiti balik ke kediaman masing-masing beliau mengisi borang dan memilih untuk tinggal bersama abang.

"Bila saya tahu abang berada di kampung halaman, saya terus memilih untuk tinggal bersama abang kerana sudah enam bulan tidak bertemu dengannya," katanya.

Beliau juga terkejut bila kisah ini tular dan menafikan dakwaan keluarganya merempat serta tidak dapat bantuan daripada mana-mana pihak.

Di pondok persinggahan inilah Radzuan bersama isteri dan tiga orang anaknya terpaksa tinggal sejak 18 Mac lalu berikutan pelaksanaan PKP yang melarang setiap orang melakukan perjalanan rentas negeri. - Kredit foto: FB Waghih Negeri Sembilan.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Johol, Saiful Yazan Sulaiman yang turut melawat keluarga berkenaan ketika ditemui Bernama berkata, urusan pembinaan rumah keluarga Radzuan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Pihaknya juga akan membantu urusan perjalanan keluarga tersebut pulang ke Meru, Klang bagi memastikan dapat tinggal selesa dikediaman mereka.

Pada Jumaat, 1 Mei 2020 tular dalam media sosial mengenai kisah pelajar Ph.D UTM, Skudai pulang ke kampung halaman dan tinggal bersama abang kandung serta keluarga di sebuah khemah usang di Malan, Dangi, Johol.

Berita yang tular dan mengejutkan itu telah mendapat perhatian Undang Luak Johol, Dato' Muhammad Abdullah yang mahukan perkara melibat keluarga Radzuan disiasat dengan terperinci untuk penyelesaian. - KitaReporters


Pondok persinggahan milik Radzuan menjadi tular baru-baru ini berikutan berita yang memaparkan satu keluarga enam orang anak mendiami khemah usang sebagai tempat kediaman di Kampung Malan, Dangi, Johol. - Kredit foto: FB Waghih Negeri Sembilan

1
0
0
0
0
You will be interested