“HAMPIR menjelang Aidilfitri ini, saya terlalu merindui panggilan ‘Ayah’ daripada dua anak yang saya tidak mendengar sahutan itu lebih tiga tahun selepas berpisah. Pilu dan sebak hati mengenangkan kembali masa lalu," kata bekas tentera Mustafa Zulkapli, 58, yang berasal daripada Bahau, Negeri Sembilan. : KitaReporters
Mustafa Zulkapli merindui panggilan 'Ayah' daripada anaknya yang terpisah.
Menurutnya, kalau dulu panggilan itu sering terdengar setiap hari, kadang-kadang menjadi penghibur hati selepas penat pulang dari kerja, tapi kini tidak lagi.
Beliau
berkata, kerana masalah kesihatan dia terpaksa berpisah dengan isteri dan
terlantar lebih setahun di Hospital Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi
mendapatkan rawatan sakit kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan buah
pinggang sejak tiga tahun lalu.
Katanya, kerana penyakit itu juga kaki kirinya terpaksa dipotong di bawah paras lutut, hilang penglihatan dan terpaksa cuci buah pinggang tiga kali seminggu di sebuah pusat rawatan di Kajang, Selangor.
Mustafa Zulkapli kini terpaksa menggunakan kaki palsu untuk mudah bergerak.
Bagaimanapun
katanya, dia sentiasa berusaha menghubungi dua anaknya dan menghantar pesanan
menerusi aplikasi WhatsApp dengan bantuan rakan, namun langsung tidak mendapat
apa-apa jawapan, walaupun mesej-mesej berkesan sudah dibaca.
“Saya tidak faham mengapa dua anak saya itu, Muhammad Alif Ashraf, 23, dan Muhammad Alif Aiman, 20, enggan bercakap dengan saya.
"Saya rasa amat sedih,” kata Mustafa sambil menitis air mata ketika ditemui di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, di Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor.
Mustafa terlalu merindui dua anaknya yang sudah lebih tiga tahun tidak berjumpa.
Mustafa berkata, dia terlalu merindui anak-anaknya terutama menjelang sambutan Aidiftri setiap tahun dan memberi peluang serta kesempatan untuk mereka bermaaf-maafan.
Menurutnya, dia tidak menyimpan sebarang dendam kepada bekas isteri dan keluarganya apatah lagi dua anaknya itu.
"Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf jika pernah membuat salah terhadap mereka.
“Datanglah menjenguh saya di sini walaupun hanya seketika saat saja. Saya terlalu merindui sahutan ‘Ayah’ daripada anak.
"Saya tidak akan menuntut apa apa daripada mereka mungkin cuma secebis kasih sayang.
Masalah kesihatan tidak mengizinkan Mustafa untuk berpuasa.
“Setiap
hari terlantar di atas katil ini saya sentiasa memasang telinga untuk
mendengarkan panggilan ‘Ayah’ yang mungkin saya tidak sedar dengan kehadiran
dua anak saya itu,” kata Mustafa yang tunduk sugul dan percaya dua anaknya itu
menetap bersama bekas isterinya di Gombak, Selangor.
Pengerusi
pusat jagaan itu, Azmi Md Zain, berkata, Mustafa dihantar oleh pihak Hospital Kuala Pilah kira-kira sembilan bulan lalu kerana tidak mempunyai
tempat untuk berteduh selain bagi mendapatkan rawatan susulan.
Azmi menunjukkan kebun sayur yang menjadi tempat terapi minda penghuni pusat itu termasuk Mustafa.
Menurutnya, nasib Mustafa itu hampir menyemai kisah kira-kira 70 penghuni lain pusat itu yang rata-rata warga emas yang uzur, orang kelainan upaya (OKU), tiada waris dan tidak dipedulikan ahli keluarga.
Beliau
berkata, sebagai mengubati hati mereka pusat itu menjalankan aktiviti terapi
minda seperti berkebun, menternak ikan, ayam serta kambing yang diselia bimbing
kakitangan yang bertugas supaya mereka tidak terlalu bersedih.
Ternakan kambing turut menjadi tempat penghuni pusat itu melakukan aktiviti bagi menghilangkan rasa bosan dan sedih.
Katanya,
untuk sambutan Aidilfitri tidak berapa lama lagi, pusat itu tetap membuka pintu
untuk dikunjungi ahli keluarga penghuni, tetapi kali ini terpaksa mematuhi SOP
dan jarak sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 yang
ditetapkan oleh kerajaan.
“Mereka
tidak perlu risau kerana semua penghuni sudah menjalani pemeriksaan Covid-19
baru-baru ini dan didapati bebas daripada wabak itu.
“Sesiapa sahaja boleh menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat lanjut pusat itu atau sebagainya menerusi nombor telefon 016-3355960 atau telefon pejabat 03-87330715,” katanya. - KitaReporters
Azmi menunjukkan sebahagian kuih raya sumbangan orang ramai yang diterima saban hari bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri di pusat itu nanti.