Insan & Komuniti 16 Jul, 2020

Bantu kami! 3 warga NS hidapi penyakit serius perlu bantuan!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
TIGA warga Negeri Sembilan yang menghadapi masalah kesihatan serius perlu perhatian dan bantuan orang ramai dalam usaha mereka meneruskan kesinambungan hidup sementara sisa umur masih berbaki. Bagaimana pun buat masa ini ketiga-tiga individu berkenaan ada menerima bantuan dari Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBMalNS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). : KitaReporters

Abdul Salam Muhammad dalam keadaan berbaring setelah kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kencing manis kronik menerima kunjungan ziarah para PBMalNS MAINS di rumahnya di Taman Seri Melor, Senawang, Seremban. - Kredit foto Abu Aaesya.


Dalam konteks ini, orang ramai atau sesiapa sahaja yang ingin berbakti dan membantu ketiga-tiga mereka sama ada badan-badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan berbentuk sukarela, golongan korporat dan orang perseorangan boleh menyalurkan bantuan tersebut kepada:
PBMalNS d/a Kompleks Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, Taman Tasek Seremban 70100 Seremban, Negeri Sembilan. 

Juga boleh dihubungi melalui email [email protected], talian hotline 1-800-88-777-1/ 06-765 1402  atau melalui talian 06-765 1407.

Sepanjang minggu pertama dan kedua bulan Julai 2020, para pegawai perbadanan baitulmal negeri turun padang menyantuni ketiga-tiga individu berkenaan yang antara mereka khususnya golongan asnaf menghadapi masalah kesihatan terutama dalam kategori serius.

Abdul Salam menerima bantuan segera wang tunai untuk perbelanjaan harian daripada para pegawai PBMalNS semasa kunjung ziarah ke kediaman beliau.


Ketiga-tiga insan terlibat ialah Abdul Salam Muhammad, 42, menghidap penyakit kencing manis kronik hingga terpaksa dipotong kaki bahagian sebelah kanan

Bagi seorang bekas petugas hospital, Mardiyana Mat Rasit, 31, disahkan menghidap kanser tulang sejak setahun lalu dan warga emas, Mohamed Asip Mohammed, 69, yang disahkan terkena jangkitan paru-paru.

Penderitaan yang dialami ketiga-tiga warga negeri beradat ini tular dalam media sosial PBMalNS, MAINS berikutan usaha para pegawainya turun padang menyantuni individu yang diberi perhatian khususnya golongan asnaf selain ingin mengetahui perkembangan mutakhir kehidupan harian mereka melalui program kunjung ziarah.

Turut diberikan kepada Abdul Salam termasuklah barangan keperluan harian seperti beras,gula,susu dan sebagainya.

Abdul Salam Muhammad yang tinggal seorang diri di rumah sewanya di Taman Seri Melor, Senawang di Seremban tidak pernah berkahwin, sebelum ini menjalankan kerja sebagai penjual makanan sejuk beku. 

Disebabkan prosedur perubatan memaksa kaki kanannya dipotong dua minggu lalu

Kini kerjaya tersebut terpaksa beliau tinggalkan kerana tidak mampu menjalankan aktiviti bagi proses penyediaan dan penghantaran bahan-bahan niaga itu yang memerlukan banyak pergerakan.

Dalam tempoh selepas kakinya dipotong, ramai kalangan rakan, sahabat handai dan jiran-jiran datang membantu untuk urusan harian termasuklah memasak untuk beliau.

Berdasarkan rekod di PBMaINS MAINS modal perniagaan yang dijalankan Abdul Salam adalah bantuan sumbangan perbadanan tersebut antaranya dua unit peti sejuk beku saiz besar, selain bantuan tunggakan sewa rumah berjumlah RM1,800.00, bantuan perubatan RM2,000.00 dan bantuan wang tunai.
Team Mobile PBMaINS MAINS yang turun menyantuni Abdul Salam turut menyampaikan beberapa jenis bantuan segera ini bergerak bersama para pegawai Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Klinik Kesihatan Senawang dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Melor. 

Hadir sama pada kunjungan ziarah itu termasuk juga ADUN Paroi, Dato' Mohamad Taufek Abd. Ghani; Pegawai Klinik Kesihatan Senawang, Dr Harith Fadzillah Hamidan; Pengerusi KRT Taman Melor, Baharuddin Mohamed; dan Pegawai Agihan Kawasan Senawang, Mohd Suhaimi Mohd. Aziz.

Dua pegawai PBMaINS MAINS mendapatkan laporan terkini mengenai penyakit kanser tulang yang ditanggung oleh Mardiyana Mat Rasit  sejak setahun lalu. - Kredit foto: Haziq Naim.


Bagi Mardiyana Mat Rasit yang pernah bertugas di Hospital Pakar Salam, Senawang, Seremban disahkan menghidap kanser tulang sejak setahun lalu dan kini pada tahap 4 setelah tiga kali menjalani rawatan kemoterapi di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya, Wilayah Persekutuan.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Nana sebelum ini mendapat rawatan awal di Hospital Pakar Salam, Senawang, Seremban sebelum dipindahkan ke IKN.

Bantuan wang tunai dan pek lampin pakai buang turut diberikan kepada Mardiyana semasa kunjung ziarah para pegawai PBMaINS MAINS.

Akibat hilang kerja dan tiada daya upaya disebabkan kanser, Mardiyana memperolehi bantuan RM200.00 sebulan selama enam bulan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan pencen elat dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) RM900 sebulan.
PBMaINS MAINS  yang diwakili Pegawai Agihan Menara MAINS, Nur Fairusha Remli dan Eksekutif Unit Khidmat Kesihatan, Noor Fathihah Osman yang menziarahi Nana menyampaikan bantuan wang tunai dan pek lampin pakai buang.
Bantuan susulan juga akan disalurkan oleh pihak PBMaINS MAINS kepada pesakit ini dalam masa terdekat. 

Juga difahamkan beberapa pertubuhan NGO sebelum ini hadir membantu beliau antaranya Hospis Malaysia dan Maktabah Zakariyaya.

Dua para pegawai PBMaINS MAINS merekodkan laporan mengenai perkembangan mutakhir kesihatan Mardiyana semasa kunjung ziarah yang dilakukan.

Sementara itu, di Jelebu, seorang warga emas, Mohamed Asip Mohammed yang disahkan terkena jangkitan paru-paru disantuni para pegawai PBMaINS MAINS yang melakukan ziarah pada kunjungan mesra.
Beliau yang kini menjalani rawatan di Hospital Jelebu diberikan bantuan mesin oksigen bernilai RM4,200 yang disampaikan oleh Pegawai Agihan Daerah Jelebu Amir Syukri Abdul Jalil

Turut sama pada penyampaian itu Pengurus Bahau Pharmacy Kuala Klawang, Dr Alias Abdul Rashid. - KitaReporters

Pegawai Agihan Daerah Jelebu, Amir Syukri Abdul Jalil bersama Pengurus Bahau Pharmacy Kuala Klawang, Dr Alias Abdul Rashid (Kanan) meneliti cara pengguna mesin oksigen yang diserahkan kepada Mohamed Asip Mohammed di Hospital Jelebu, Negeri Sembilan.-  Kredit foto: PBMaINS MAINS


Mohamed Asip (dua daripada kanan) bersama Amir Syukri dan Dr Alias di Hospital Jelebu selepas penyerahan mesin oksigen.

0
0
0
0
0
You will be interested