Insan & Komuniti 19 Apr, 2022

Kita mungkin tak temu dah! Saya nak gi jauh! Ucapan terakhir Cikgu Zugani pada anak-anak didiknya!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

ALLAHYARHAM ZUGANI YASIN 


ALLAHYARHAM Cikgu Zugani Yasin, 51, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buluh, Setiu, Terengganu yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di muara Sungai Setiu pada malam 15 April 2022 sebelum mayatnya ditemukan pada pukul 12.22 pagi 17 April 2022 dikatakan sempat memberi pesan kepada anak-anak muridnya sebagai petanda bahawa dia akan pergi untuk selama-lamanya.

Kita mungkin tidak temu (bertemu) lagi, saya nak gi (pergi) jauh,” kata Zugani kepada anak-anak didiknya sebaik sahaja selesai kelas tuisyen Matematik Tambahan (Add Maths) di SK Kampung Rahmat pada kira-kira pukul 12 tengah hari pada 15 April 2022 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan seorang cikgu

ROHAYA JUSOH


Ucapan terakhir Zugani itu diberitahu oleh isteri mangsa, Rohaya Jusoh, 51, berdasarkan cerita yang disampaikan oleh  ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang belajar di kelas tuisyen tersebut semasa mereka datang menziarah jenazah Allahyarham Zugani di rumahnya pada 17 April 2022.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahgia, Setiu, Rohaya menjelaskan arwah suaminya berkata sebegitu yang mengambarkan bahawa dia akan 'pergi jauh' semasa berada di kelas tuisyen dan perkara itu diceritakan semula oleh pelajar-pelajar terbabit kepada ibu bapa mereka selepas dikhabarkan mengenai kejadian malang yang menimpa Zugani.


ANGGOTA bomba dan polis mengusung mayat Zugani selepas ditemukan di Sungai Setiu pada pukul 12.22 pagi, 17 April 2022. - Kredit foto: Media Sosial


Menurutnya, sambil tersenyum Zugani mengucapkan perkataan itu dan anak-anak muridnya tidak berkata apa-apa kerana mereka menganggap ucapan itu sebagai guruan sahaja.

Perangai arwah suka bergurau memyebabkan anak-anak muridnya  tidak menduga apa yang dia cakap itu akan mengundang  perkara yang tidak baik pada arwah suami saya.

“Namun, apa yang dinyatakan dia itu memang benar terjadi kerana kejadian yang menimpa pada dirinya waktu malam 15 April lalu telah terbukti bahawa dia akan pergi jauh untuk selama-lamanya meninggalkan saya dan anak-anak,’’ ujarnya yang mempunyai lima orang anak ketika ditemui pada petang 18 April 2022.


ROHAYA Jusoh bersama dua  orang anaknya iaitu Muhammad Najmi Zugani,13, (kanan) dan Najma Hayani Zugani,13, (kiri) dirumahnya di Kampung Bahgia, Setiu, Terengganu.


Rohaya yang juga seorang guru bertugas di SK Permaisuri, Bandar Permaisuri berkata, sebelum kejadian itu berlaku, Zugani tidak menunjukkan sebarang perubahan ke atas dirinya sebaliknya perangainya seperti biasa dan tiada pekara yang ganjil kepada dirinya. 

Rohaya berkata, arwah memberitahunya pada kira-kira pukul 8 malam 15 April 2022 bahawa dia hendak pergi menangkap ikan bersama rakannya di muara Sungai Setiu.

“Ketika itu, saya lihat tidak ada sebarang perubahan tentang dirinya semasa dia turun dari rumah atau petanda lain yang tidak baik akan berlaku ke atas dirinya semasa dia pergi menangkap ikan itu,’’ katanya.


MAYAT Zugani dibawa ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat. - Kredit foto : Media Sosial


Guru Penolong Kanan Kokurikulum itu bersama 14 rakannya dikatakan bertolak pada pukul 9 malam 15 April 2022 dengan menaiki bot dari Kampung Fikri ke muara berkenaan bagi menangkap ikan.

Bagaimanapun, semasa dia bersama rakannya sedang mengharungi air sungai yang cetek untuk memasang pukat secara tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam lubang air yang sedang berpusar.

Zugani tidak sempat diselamatkan oleh rakannya menyebabkan mangsa tenggelam di lokasi air berpusar sebelum dibawa arus sungai.

Mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian  pada 12.22 pagi 17 April 2022 dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

“Walaupun  saya tetap reda dengan kejadian itu kerana itu semua  ketentuan Allah tetapi sehingga hari ini, saya seolah-olah masih tidak percaya bahawa dia sudah meninggal dan kematiannya amat mengejutkan kami sekeluarga.

‘’Saya masih terbayang lagi, ketika kakinya melangkah turun dari rumah dengan tersenyum dia memberitahu saya untuk pergi tangkap ikan di sungai dan tidak sangka pula selepas itu kira-kira pukul 1 pagi saya mendapat berita duka daripada seorang Ketua Kampung yang mengatakan bahawa dia sudah tiada lagi (hilang dibawa arus),’ ’katanya yang mengakhiri perbualan kami. - KitaReporters


Cikgu Zugani Yasin dalam kenangan sedang menaiki bot ketika SK Kampung Buluh, Setiu dilanda banjir pada akhir 2021. - Kredit foto: Media Sosial

12
16
5
15
3
You will be interested