KISAH Aladdin dengan lampu ajaib sudah menjadi cerita zaman berzaman dari generasi ke generasi. Malah sudah dibuat banyak filem mengenainya. Ada yang dalam bentuk animasi, filem Hindi dan filem Inggeris. Bagi generasi kini, mereka menganggap cerita Aladdin dengan lampu ajaib hanya semata-mata mitos yang enak didengar, sama juga seperti kisah Mat Jenin, Lebai Malang atau Pak Pandir. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan penipuan:
https://kitareporters.com/search?search=penipuan
Namun ada juga yang boleh percaya dan terpedaya dengan lampu ajaib ini. Yang tertipu ini bukan orang tidak berpelajaran tetapi cerdik pandai.
Memetik laporan bbc.news, kisah ini terjadi di India di mana seorang doktor di Uttar Pradesh terlalu percaya dengan lampu Aladdin sehingga sanggup membelinya dengan harga mahal pada hal tidak ada apa-apa ajaibnya lampu itu. Laporan itu bagaimana pun tidak menamakan doktor tersebut.
LAMPU 'ALADDIN' yang kini dalam simpanan polis di Balai Polis Meerut, Uttar Pradesh sebagai bahan bukti kes penipuan dua lekaki ke atas seorang doktor. - Kredit foto: bbc.news
Kisah penipuan ini berlaku pada hujung Oktober 2020 apabila doktor tersebut bertemu dengan dua orang lelaki ketika merawat seorang wanita yang mereka dakwa emak mereka. Dia merawat dalam jangka waktu sebulan.
Ketika waktu rawatan inilah kedua-dua lelaki tersebut mula bercerita mengenai lampu berkenaan kepada dokot tersebut dan mengenai keajaibannya sehingga doktor tersebut percaya dan mahu membelinya.
Untuk meyakinkan doktor berkenaan, kedua orang lelaki itu menunjukkan kehadiran Aladdin di hadapan mereka sedangkan sebenarnya salah seorang daripada mereka yang berpakaian seperti Aladdin.
Mereka juga dikatakan bermain silap mata dengan menunjukkan seolah-olah benar keluar jin daripada lampu itu apabila digosok. Doktor itu percaya.
Terdapat andaian bahawa doktor itu sebenarnya telah disihir oleh kedua–dua lelaki berkenaan sehingga dia mudah percaya untuk membeli lampu berkenaan yang memang berbentuk seperti lampu Aladdin.
Dia terpengaruh dengan dakwaan kedua-dua lelaki itu bahawa lampu Aladdin akan memberikan kekayaan, kesihatan yang baik dan tuah dari segi material.
Pada mulanya mereka menawarkan harga RM830,000 untuk menjual lampu tersebut. Setelah ditawar, mereka bersetuju menjualnya kepada doktor berkenaan dengan bayaran pendahuluan RM173,000.
Dua lelaki didakwa menipu seorang doktor untuk membeli sebuah lampu Aladdin ditahan polis. - Fredit foto: globalvillagespace.com
Doktor tersebut sedar dia ditipu apabila mendapati lampu tersebut tidak ‘berfungsi’ seperti yang didakwa oleh penjualnya. Dia lalu membuat laporan polis di Balai Polis Meerut, di barat Uttar Pradesh pada awal November 2020.
Ekoran itu polis menjalankan siasatan segera terhadap penipuan atau scam itu dan berjaya menangkap dua orang lelaki yang disyaki menipu doktor tersebut. Seorang lagi suspek, seorang wanita, kini masih diburu.
Adalah dipercayai dua lelaki dan wanita tersebut memang merancang hendak menipu doktor berkenaan. Mereka berpura-pura sebagai adik beradik dan wanita itu emak mereka yang sakit dan memerlukan rawatan doktor berkenaan.
Menurut pegawai kanan polis Meerut, Amit Rai, kedua-dua lelaki dan wanita berkenaan juga telah memperdaya ramai orang lain menggunakan cara yang sama. Kali ini nasib tidak menyebelahi mereka.
Lampu yang dikatakan lampu Aladdin itu kini berada dalam simpanan balai polis Meerut sebagai bahan bukti. - KitaReporters