Omar dan bapanya Mohamed Al-Fayed yang semakin uzur. - Kredit gambar: Mail UK.
KETIKA Puteri Diana dan kekasihnya, Dodi Al-Fayed terbunuh dalam nahas jalan raya di Paris lebih 20 tahun lalu detik hitam itu juga menjadi titik kehancuran empayar billioner, Mohamed Al-Fayed dan hubungan kekeluargaan terutama anak-anak yang retak akibat pertikaian mahkamah.
Dalam usia menjangkau 92 tahun, bekas pemilik pusat beli-belah terkemuka di London, Harrod itu kini ditimpa dengan kemurungan akibat kesihatannya yang semakin merosot .
Malah dikatakan sedang berusaha untuk merapatkan kembali ikatan anak-anaknya, khususnya anak bongsunya Omar, 33 tahun dan kakaknya, Camilla, 36 tahun.
Dua anaknya kini dikatakan berdepan kes mahkamah, apabila Omar menyaman malu terhadap kakak kandungnya sendiri.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Lady Diana
Cinta sampai ke liang lahad bersama, Diana dan Dodi
Mohamed yang sebelum ini mendapat kebenaran khas pihak diraja Britain untuk mengendalikan gedung beli belah Harrod berkenaan yang turut membekalkan manisan kepada istana dan antara pembuat pastri yang sangat enak.
Malah ketika Diana menjadi isteri kepada Putera Charles, Mohamed akan menutup perniagaan Harrods semata-mata untuk Lady Diana menghabiskan masa membeli belah di gedung berkenaan.
Sebaik Diana bercerai, Mohamed tetap 'sayang' kepada puteri kesayangan rakyat itu dengan mahu menempatkan puteri itu sebagai Ratu Rakyat Britain dengan meminta anak sulungnya, Dodi, memikat dan berkasih-kasihan dengan dengan Diana.
Hubungan cinta itu dikatakan baru hendak bermula dengan Dodi telahpun menempah cincin pertunangan tetapi belum sempat melamar Diana.
Namunlah itulah takdir yang tertulis, hubungan mereka 'ditamatkan' dalam satu nahas ngeri di sebuah terowong cinta di Paris.
Kematian itu sekali gus menamatkan empayar Mohamed Al-Fayed kerana istana dilaporkan menarik balik pertitahan kebenaran dan akhirnya Harrods dijual kepada Qatar Holding dengan jumlah RM8.4 bilion (£1.5 bilion) pada 2010.
Mohamed sebelum itu turut memiliki Kelab Bola Sepak Fulham.
Walaupun banyak perniagaan dijual, Mohamed masih lagi memiliki Hotel Paris Ritz yang menjadi tempat makan terakhir Diana dan Dodi makan malam, sebelum mereka ditimpa kemalangan itu.
Dalam laporan The Daily Mail pada Ogos 2021 lalu menyebut, Mohamed Al Fayed yang semakin uzur itu tidak mengetahui dua anaknya bergaduh sehingga kes itu dikemukakan ke Mahkamah Tinggi kerana Omar mahu pampasan ganti rugi saman malu RM800k (£100,000) daripada kakaknya, Camilla.
Malah perkara itu turut diakui Heini Wathen, isteri Mohamed Al-Fayed, manakala keluarga terdekat ketika ditemui berkata, jika kekalutan dua anak itu diketahui bapa mereka, sudah tentu akan melukakan hati orang tua itu.
Difahamkan mahkamah turut meminta kes itu diteruskan dengan perbincangan di luar mahkamah supaya kes dapat diselesaikan secara baik.
Keluarga Mohamed Al-Fayed
Mohamed Al-Fayed pernah mendakwa ada dalang yang merancang kematian itu dan pasukan penyiasat Britain turut ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan.
Ada laporan dikatakan Diana "dihapuskan" kerana akan menjadi pengaruh ke atas orang bukan Islam jika dia berkahwin dengan Dodi.
Selain itu, Diana juga berdepan dengan konflik diraja kerana anak sulungnya, William tersenarai akan menaiki takhta. Diana dikatakan akan membawa anak sulungnya berhijrah ke Amerika Syarikat selepas bercerai dengan Charles.
Malah Dodi yang pernah melabur untuk menerbitkan filem dikatakan sedang bersiap untuk menerbitkan filem mengenai Diana.
Kini anak kedua Diana, Putera Harry meneruskan jejak langkah ibunya, berkahwin dengan pelakon Hollywood, Meghan Markle dan bermaustatin di California selepas melepaskan jawatan sebagai keluarga diraja bekerja untuk berdikari. Sebelum ini Harry menjalankan tugasan dibiayai dengan duit cukai rakyat Britain.
Sementara itu, keretakan hubungan dua anak Mohamed Al-Fayed itu bertambah teruk pada Julai 2021, selepas Omar mengemukakan saman itu di Mahkamah Tinggi dan menuntut pampasaan RM800k (£100,000).
Omar menuduh kakak dan abang iparnya, Mohamed Esreb menghantar pengawal untuk mengiringinya ketika melawat estet kediaman bapa mereka.
Manakala Camilla yang menjadi pengusaha restoran sayuran (vegeterian) pula dalam tindakan balas saman itu berkata, dia percaya Omar ketika itu "di bawah pengaruh dadah".
Kebanggaan Mohamed Al Fayed, Gedung Harrods di London yang menjadi lokasi kegemaran mendiang Puteri Diana.
Sejak itu, Omar berhenti menziarahi ayahnya yang dilaporkan pernah dalam keadaan "nazak" akibat pergaduhan berkenaan sehingga mendorong dia menyaman kakaknya.
Manakala abang sulung mereka, Dodi adalah anak pertama Mohamed Al-Fayed dengan isteri pertamanya, Samira Khashoggi sebelum mereka bercerai. Mohamed kemudian menikahi seorang model, Heini Wathen dan mendapat Omar, Camilla, Karim dan Jasmine.
Sebelum itu, Omar kemudian turut menyindir majalah Punch dengan memberitahu Daily Mail itu, dia bukan penagih dadah.
Alasan tidak melawat bapanya kerana perintah kawalan pergerakan selepas wabak COVID-19 yang memakan masa hampir dua tahun yang melanda seluruh dunia.
"Saya sayangkan kakak saya sangat-sangat. Dia pun tahu. Tapi fahamlah, akibat wabak ini kita terpaksa menerima kenyataan tidak semua dapat melawat satu sama lain, khususnya bapa.
"Sebelum ini pun, saya, kakak Camilla dan suaminya sangat rapat. Kami pun tinggal serumah di estet ayah kami dan dikelilingi oleh rakan rakan taulan, " katanya. - KitaReporters