Insan & Komuniti 26 Jan, 2021

Inginku berjasa kepada mama, negara! Syafika Aqila mohon pekerjaan! Bidang pengurusan nuklear!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this

Kenangan... Belajar sudah, berjaya sudah... tunggu kerja saja. Semoga Fika dapat kerja yang boleh membanggakan mamanya. - Kredit gambar: FB Kalsom Jusoh.


"SAYA tetap tak berhenti berdoa untuk Syafika (Fika) agar dia dapat peluang kerja kerana sudah dua tahun menganggur walaupun memiliki master dalam bidang pengurusan bahan nuklear," demikian keluhan seorang ibu, Kalsom Jusoh kepada KitaReporters.

Itulah harapan dan doanya untuk anaknya, Syafika Aqila Khairol Low, 26, lulusan fizik dan nuklear dari sebuah universti tempatan yang terpaksa menghadapi pelbagai rintangan untuk mendapatkan kerja khususnya ketika wabak  Covid19 melanda negara sekarang yang turut menjejaskan ramai peluang anak muda.

Fika ketika ditemui bersama ibunya berkata, dia hanya mahu membahagiakan ibu dan ayahnya yang sudah lama bersusah payah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mengasuh anak-anak jiran dan membuat kuih muih bagi membiayai pengajian dia dan adik-adiknya.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan ibu:

Catatan hati seorang ibu, Kalsom Jusoh.


Fika menaruh harapan tinggi mahu `membalas` balik dengan memberi sumbangan kepada kerajaan atau swasta yang telah memberinya begitu banyak kemudahan belajar.

Kata Kalsom lagi, dia bukan cuba menarik simpati kerana anaknya sudah banyak kali berusaha termasuk beberapa kali menghadiri temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan bahagian tadbir diplomatik tetapi nampaknya rezeki belum menyebelahi Fika. 

Sekarang Fika sedang menunggu keputusan ujian peperiksaan menjadi tenaga pengajar di kolej pengajian Mara yang didudukinya baru-baru ini.

"Saya faham keadaan dia sekarang dan sedih tengok, takut saja dia berputus asa dan kecewa kerana sudah dua tahun dia cuba mencari kerja di sektor kerajaan dan swasta. Kasihan dia sangat tekun belajar dan sanggup berpisah dengan kami untuk belajar di asrama sejak dari tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara, Tengku Faiz Petra di Kelantan. 

"Dan bila dapat peluang melanjutkan pengajian di universiti di Pulau Pinang dan Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) Bangi, dia begitu tekad sambung belajar sehingga ke peringkat master. 

"Itulah yang saya sedih, usaha untuk mendapat segulung ijazah itu bukan ambil tempoh masa yang sekejap," kata ibu kepada empat anak, tiga perempuan dan seorang lelaki.



Sebagai ibu, katanya dia mahu melihat anaknya dapat merasa titik peluhnya belajar dan mencurahkan khidmat kepada negara agar tidak mensia-siakan ilmu yang diperolehinya. 

Bayangkan bukan calang-calang pelajar yang berpeluang menimba ilmu dalam bidang fizik dan pengurusan serta keselamatan bahan nuklear. Fika turut menjalani latihan praktikal di pusat nuklear negara.

Sebelum ini dia pernah bekerja sebagai ahli radiografi di sebuah klinik swasta dan kini sudah dua bulan dia berhenti kerana majikannya menyekat dia bersolat dengan memberi macam-macam alasan termasuk memaki hamun pekerja-pekerja lain yang menunaikan ibadat itu.

"Saya yang minta Fika berenti kerja di sebuah klinik swasta berdekatan dengan rumah kerana majikan tidak `membenarkan` dia solat. Malah ada pekerja lain yang `lari` sekejap daripada mesyuarat untuk bersolat pun teruk kena marah, sampai dia cakap pergi solatlah sampai mampus," katanya sedikit kesal.

"Ada sekali tu, anak saya minta untuk balik bersolat di rumah tak sampai pun lima minit dari klinik kerana `surau` yang dia gunakan adalah bilik memasang drip. 

"Fika hanya dibenarkan solat selepas semua pelanggan dah tiada. Bila setiap hari saya lihat dia terpaksa qadakan solatnya, saya minta dia berhentilah sebab majikan tidak menghormati waktu solat," katanya.


Tahniah dan selamat menempuh hidup berjaya Fika.


Anak kacukan Cina Muslim dan ibunya berasal dari Kelantan itu berharap sangat ada pihak dapat memberikan dia peluang bekerja. 

Kenapa tidak cuba di Google dan cari kerja di Amerika Syarikat?.... kerana jika di luar negara peluang pekerjaan untuk tenaga pakar dalam bidang nuklear ini sangat terbuka luas. Malah jika di negara Timur Tengah, mereka yang mahir  pengurusan dan keselamatan nuklear adalah `aset` negara yang penting.

"Belum terfikir lagi untuk berhijrah. Apapun saya fikir positif saja.  Mungkin juga Allah mahukan Fika habiskan masa bersama-sama kami dan  menjaga saya sementara menunggu peluang kerja," kata Kalsom. 

Sementara menunggu panggilan kerja Fika membantu ibunya membuat kuih muih. - KitaReporters 


0
1
1
0
0
You will be interested