Insan & Komuniti 06 Feb, 2021

Video| Penggiat ekopelancongan Taman Negara Kuala Tahan tak diabaikan! Terima bantuan COVID-19

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

Bot penambang 'tersadai' sementara berikutan ketiadaan pengunjung ke Taman Negara dalam tempoh penguatkuasaan PKP sejak 22 Januari 2021 dan bermakna pengusaha di situ kehilangan pendapatan. - Kredit foto: Penduduk Kuala Tahan


BUKAN lagi sekadar lelucon atau skeptikal terhadap rintihan penggiat sektor ekopelancongan di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. 

Hal ini merupakan realiti yang terpaksa ditempoh oleh pemandu bot penambang Sungai Tembeling dan Sungai Tahan serta pemandu alam sekitar (nature guIde) Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut ketika berdepan tempoh pandemik COVID-19.


Lagi kisah-kisah berkaitan Taman Negara:

https://kitareporters.com/search?search=taman+negara


Gambar fail 2019 ... Bot penambang antara kemudahan pengangkutan sungai bagi pengunjung melawat sekitar Taman Negara dan Hulu Tembeling sekali gus punca pendapatan utama penduduk Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto:  kakikujalanjalan.com  


Bolehlah dikatakan senario kehidupan yang mereka hadapi diklasifikasikan cukup 'sesak nafas' dan ibarat 'jatuh ditimpa tangga'.

Menempuh musibah pandemik COVID-19 serta lanjutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020 sehingga musim pejur mulai bulan Oktober hingga Disember 2020 cukup perit untuk memperoleh pendapatan malahan tidak ada lagi bahasa hendak diungkapkan mengenai senario tersebut.

Ujian yang sama ditempuh oleh ramai pengusaha di sektor pekerjaan lain. Menangis pun tidak lagi mampu mengeluarkan air mata.  

Kini ujian Allah menimpa semula apabila pandemik COVID-19 bermaharajalela ditambah lagi penguatkuasaan PKP nyata benar menguji kesabaran seramai 215 orang pemandu alam sekitar, pemandu bot penambang Sungai Tahan (177 orang) dan pemandu bot penambang Sungai Tembeling (78 orang).


NAZRI NGAH


Mujurlah kerajaan negeri di bawah kepimpinan  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pantas cakna serta endah dengan kebajikan penggiat ekopelancongan di situ akibat tekanan musibah tersebut. 

Seperti kata Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah, impak fenomena musibah pandemik COVID-19 dan musim pejur (hujan berterusan) menyebabkan kerajaan negeri terpanggil dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM270,000 untuk bantuan pemulihan kepada pemain sektor berkenaan di Kuala Tahan.

"Kita tahu benar sektor pelancongan di negeri ini terjejas teruk sehingga penggiat (pengusaha) di sini kehilangan pendapatan sejak tahun lalu (2020). 

"Kerajaan negeri amat bersimpati dengan nasib yang mereka tempuhi. Bersabar dan beristiqamahlah dengan ujian Allah ini," katanya semasa majlis  penyampaian bantuan tersebut di Kuala Tahan pada 21 Januari 2021 lalu.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman; dan Pengerusi Bird Group Taman Negara, Roslan Abu Kassim.           


Nazri Ngah (dua dari kiri) dan disaksikan oleh Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kiri) menyampaikan bantuan pek barang makanan dan wang tunai bagi pihak kerajaan negeri kepada seorang pengusaha di Kuala Tahan, Jerantut pada 21 Januari 2021. - Kredit foto: FB Nazri Ngah  


Sebahagian pengusaha bot penambang dan pemandu alam sekitar yang hadir menerima bantuan kerajaan negeri yang disampaikan oleh Nazri Ngah di Kuala Tahan, Jerantut pada 21 Januari 2021. - Kredit foto: Media DUN Pulau Tawar. 


Menurut Nazri yang juga ADUN Pulau Tawar, setiap orang pengusaha dan penggiat di Kuala Tahan telah menerima wang tunai sebanyak RM600 dan barang keperluan dapur daripada kerajaan negeri sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban perbelanjaan dalam tempoh PKP itu.


SABRI ABDULLAH 


Sementara itu, Setiausaha JKKK Kuala Tahan, Sabri Abdullah menerusi hantaran dalam laman Facebook 'Sabri Abdullah' berkata, penggiat serta pengusaha ekopelancongan bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan wakil rakyat berkenaan atas keprihatinan menyegerakan bantuan tersebut.

"Kita amat menghargai bantuan ini kerana tahun sebelum wabak COVID-19 menular peringkat global, penggiat dan pengusaha di sini (Kuala Tahan) melunaskan hasil cukai pelancongan kepada kerajaan negeri.

"Memang tepat berasaskan keprihatinan kerajaan, hasil cukai ini 'dipulangkan semula' dalam bentuk bantuan prihatin kepada kami yang ditimpa kesusahan semasa tempoh pandemik COVID-19 ini," katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook tersebut.       


Kredit foto: FB Sabri Abdullah

 


MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN


Dalam pada itu, Mohd Zakhwan berkata, Pejabat Perkhidmatan DUN Tahan sentiasa memantau dan mendengar rintihan golongan pengusaha ekopelancongan termasuklah penduduk yang memerlukan.    

"Kerajaan negeri mempunyai mekanisme bagi mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan berkenaan menerusi laporan JKKK.

"Saya sendiri prihatin dan terharu dengan nasib pemandu alam sekitar dan pengusaha bot penambang kerana mereka ini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian," katanya pada majlis penyampaian bantuan pemandu bot penambang di Kuala Tahan pada 25 Januari 2021.


Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kiri) menyampaikan bantuan barang keperluan dapur kepada seorang pengusaha bot pelancongan di Kuala Tahan, Jerantut pada 25 Januari 2021. - Kredit foto: Sabri Abdullah  


Tambah Ketua Pemuda Pas Pahang itu, selain sumbangan kerajaan negeri,  pejabat DUN Tahan juga turut membantu berasaskan kemampuan beliau (wakil rakyat) sendiri demi memastikan semua yang terlibat beroleh keselesaan dalam tempoh pemulihan wabak pandemik COVID-19. - KitaReporters


Video ucapan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin ketika majlis menyampaikan bantuan kepada 80 orang pemandu bot penambang Taman Negara di Kuala Tahan pada 25 Januari 2021.

2
0
1
0
0
You will be interested