Insan & Komuniti 31 Aug, 2019

ANAK MERDEKA KIBAR JALUR GEMILANG SETIAP HARI

@rosmah dain
Hampir 24 tahun dalam bidang kewartawanan. Bekas Penolong Pengarang Meja Keluarga dan Wanita akhbar Utusan Malaysia. Penerima Anugerah Reben Merah bagi tahun 2006, 2012 dan 2018. Kini penulis sambilan.

Share this
DILAHIRKAN sebagai anak Merdeka 62 tahun dahulu, Mohd. Jumaro Marzuki, menyifatkan kelahirannya bersama tarikh keramat pada hari kemerdekaan negara, disambut dengan penuh kesyukuran.

Bagi menghayati semangat kemerdekaan dan cintakan tanah air, sejak 1986, iaitu kira-kira 33 tahun dahulu, Mohd. Jumaro tidak pernah sekalipun culas dalam menghias rumah dengan bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri di sekeliling kawasan rumahnya. 

Menariknya, Mohd. Jumaro bukan sahaja menghias rumahnya dengan Jalur Gemilang pada Hari Kebangsaan yang jatuhnya pada 31 Ogos setiap tahun, tetapi bendera-bendera ini tetap berkibar di rumahnya sepanjang hari, setiap tahun.

``Sudah menjadi kewajipan saya memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri bukan sahaja di sekeliling kawasan rumah, malah di dalam rumah, perhiasan dan juga mengecat barang-barang yang berada di rumah dengan warna-warna Jalur Gemilang.

``Memandangkan Jalur Gemilang ini dipasang setiap hari, setiap tahun, sudah pasti ia akan pudar dan koyak. Oleh demikian, setiap bulan saya memperuntukkan sebanyak RM200 untuk membeli dan menyediakan Jalur Gemilang yang baharu bagi menggantikan yang sudah agak lusuh,’’ katanya.


Jumaro yang bermula dengan hanya sehelai bendera dipasang di hadapan rumahnya, kini telah mempunyai hampir seribu helai Jalur Gemilang termasuk bendera-bendera negeri, yang dipasang di halaman rumah, kawasan sekeliling, dan di dalam rumah.  

Mengakui pada mulanya tindakan memasang bendera secara banyak itu menyebabkan dia dipandang aneh oleh jiran-jiran, namun sekarang dia bersyukur kerana bukan sahaja dia, malah hampir ke semua jiran-jirannya memasang bendera dan Jalur Gemilang di rumah masing-masing.

Mohd. Jumaro yang dilahirkan di Kuala Pilah dan dibesarkan di Muar, Johor kemudian menjadi anak peneroka di Felda Raja Alias 4, Bandar Seri Jempol, Bahau, Negeri Sembilan, mendapat galakan daripada isterinya, Azizah Yakimin, 63, dan anak-anak atas minatnya itu.  Lelaki itu juga sering memenangi Pertandingan Keceriaan Merdeka anjuran Jabatan Penerangan  dan Felda.



Sebagai rakyat Malaysia, Mohd. Jumaro boleh dijadikan contoh atas semangat kecintaan dirinya terhadap negara, biarpun sumbangannya ini nampak kecil, tetapi prinsip hidupnya yang berpegang teguh kepada teras Perlembagaan  terutamanya kepada lima prinsip Rukun Negara perlu dipuji.

``Sayangi negara kita dan tunjukkan kesetiaan kita kepada raja dan negara itu yang seharusnya generasi muda pada hari ini perlu ada dalam jiwa mereka. Ikuti prinsip Rukun Negara yang kedua `Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’. Itu adalah prinsip penting dalam menerapkan nilai-nilai murni rasa kecintaan terhadap negara.

``Negara yang kita ada hanya satu, sayangilah ia, cintailah ia. Capailah perpaduan dan ikatlah kasih sayang antara kita semua sebagai satu warga negara yang megah dengan negaranya dengan salah satu buktinya menerusi kibaran Jalur Gemilang, ‘’ kata Mohd. Jumaro.

1
0
0
0
0
You will be interested