Insan & Komuniti 14 Aug, 2020

John Kumbang! Orang Asli etnik Bateq boleh speaking mat salih!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

KEBOLEHAN menguasai bahasa lain antara kelebihan bagi seseorang itu khususnya sebagai pasport melamar pekerjaan, mengakses pelbagai pengetahuan dan kemahiran menerusi buku atau Internet, sekali gus keselesaan berwacana dengan penutur tertentu. : KitaReporters

Penduduk Orang Asli Bateq Kampung Teresek/Tabung tinggal di dalam pondok atap rumbia ketika disinggahi Roslan Abu Kassim (depan, kanan) yang memberikan bantuan keperluan dapur sumbangan NGO luar. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim.


Lagi cerita-cerita berkaitan Orang Asli:

https://kitareporters.com/search?search=orang+asli


Malahan penguasaan lebih satu atau banyak bahasa juga dapat membentuk personaliti seseorang itu sentiasa dikagumi umum dan kadangkala kelebihan tersebut menjadi penyumbang kejayaan dalam bidang kerjaya, perniagaan, perhubungan dan sebagainya.

Jarang kita dapat melihat dan mendengar atau terbaca dalam media mengenai kisah Orang Asli yang 'survival' di hutan malahan tidak menerima pendidikan formal atau dengan kata lain, iaitu 'tidak pandai membaca, menulis dan mengira' tetapi boleh menguasai bahasa kedua, iaitu bahasa Inggeris.

JOHN KUMBANG - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Kisah menarik ini iaah mengenai seorang penduduk Orang Asli etnik Bateq di Kampung Teresek/Tabung dalam kawasan Taman Negara Kuala Tahan, iaitu John Kumbang, 56, apabila boleh menguasai bahasa Inggeris dengan fasih termasuk bahasa Melayu.

Dia merupakan Orang Asli Bateq Taman Negara yang pertama menguasai serta bertutur bahasa Inggeris dengan baik sejak mempelajarinya ketika usia remaja.

John Kumbang, iaitu nama asalnya, Kumbang a/l Kopenk dilahirkan di hutan Taman Negara (sekarang ini menjadi lokasi sebuah chalet) dan menjalani kehidupan berpindah-randah dan berburu sejak usia remaja mengalami perubahan kehidupan dan mentaliti di luar kotak setelah terbabit sebagai pemandu pelancong sejak 30 tahun lalu.

Orang Asli Bateq Taman Negara kerap berpindah menggunakan rakit buluh dan survival dalam hutan banat untuk mencari rezeki di samping mengelakkan musibah seperti penyakit dan ancaman tertentu. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


"Sewaktu kanak-kanak, apabila celik mata sahaja dari tidur, dunia saya adalah pokok-pokok, sungai dan binatang di taman ini malahan diajar oleh ibu bapa saya mengenai cara survival di hutan.

"Saya tidak kenal seragam sekolah, buku, pensel, beg, kasut apatah lagi membaca, menulis dan mengira lantaran kedua ibu bapa kami dahulu tidak pentingkan pelajaran," katanya ketika ditemui di Kampung Tabung, Kuala Tahan baru-baru ini.

Menurut Kumbang, sewaktu zaman kanak-kanak, dia dan adik beradiknya tidak pernah dititipkan galakan atau sekalipun 'paksaan' oleh ibu bapanya untuk pergi belajar, walhal sekolah rendah sudah wujud di seberang Sungai Tembeling di Kampung Kuala Tahan.

"Dunia saya adalah survival di hutan. Ke mana keluarga pergi, saya pun ikut berpindah mencari rezeki malah berbulan-bulan lamanya di hutan banat dan kemudian kembali semula ke Kuala Tahan.

Gambar fail... Orang Asli Bateq menunjukkan cara menghidupkan api antara resam survival penduduk berkenaan semasa di dalam hutan Taman Negara. - Kredit foto: TamanNegaraPahang.com


"Sehinggalah tergetus di hati saya apabila diajak oleh rakan orang Melayu di Kuala Tahan menjadi pemandu pelancong (tourist guide). Mereka tahu saya mempunyai kebolehan dan kemahiran survival di hutan, sungai dan mendaki Gunung Tahan serta mengenali pelbagai jenis flora dan spesies fauna.

"Ini kerana pada awal 80-an, Taman Negara sudah mula dikunjungi ramai pelancong dari seluruh dunia termasuk negara ini (domestik) yang memerlukan khidmat pemandu pelancong yang mahir selok-belok hutan," katanya.

Gambar fail 2018... Seorang pemandu pelancong Orang Asli Taman Negara, Atok a/l Buyong sedang memberikan penerangan mengenai flora kepada sepasang pelancong dari negara Eropah dengan menggunakan bahasa Inggeris. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Bapa kepada enam orang anak berusia antara 20 hingga 35 tahun itu berkata, cabaran pertama dihadapinya sebagai pemandu pelancong ialah penguasaan bahasa ketika dia mengiringi pelancong dari Eropah yang kebanyakannya bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Pergaulan saya dengan pelancong negara Eropah dan Amerika lebih kerap ketika sebagai 'guide' ke semua destinasi taman ini mula menanam minat saya untuk menguasai bahasa Inggeris.

Gambar fail 2018... Pelancong dari Eropah termasuk negara Scandinavian yang berkunjung ke Taman Negara banyak membantu penduduk tempatan dan Orang Asli etnik Bateq menguasai bahasa Inggeris. - Kredit foto: Afzal Abdul Aziz


"Lagipun, pelancong Barat tidak lokek untuk mengajarkan saya menguasai sebutan sehingga lancar ditambah pula minat mendalam mengenai penggunaan bahasa ini," katanya.

Apakah rahsia John Kumbang dapat menguasai bahasa negara Union Jack itu dengan cepat?

"Kaedahnya, saya melihat (look) dan mendengar (listen) 'mat salleh' (pelancong) bercakap dan kemudian bertutur (speak) semula antara tip mempercepat saya menguasai bahasa berkenaan," tambah Kumbang.

John Kumbang (kiri) bersahabat rakan karib sejak kecil, Roslan Abu Kassim yang juga pemandu pelancong sama-sama belajar menguasai bahasa Inggeris sejak usia remaja. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Dia yang masih sebagai pemandu pelancong sehingga ini berkata, rakan orang Melayu yang paling akrab, iaitu Roslan Abu Kassim yang dikenali sejak zaman kanak-kanak sebagai peneman diajak mempelajari dan sama-sama bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Kami sanggup membeli keset (pita) dan merakamkan percakapan mat salih dan balik mengulang kaji ketika masa lapang di bangsal (pondok) tempat tinggal saya," katanya.

Bercerita lanjut, Kumbang berkata, penguasaan bahasa Inggeris telah menimbulkan kesedaran bagi dirinya serta masyarakat Orang Asli Bateq di Taman Negara betapa pentingnya pelajaran untuk generasi hari ini membuat persiapan berdepan pembangunan moden pada masa akan datang.

"Saya berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Bird Group Taman Negara (BGTN) selaku penggalak dan memberikan pelbagai bantuan persekolahan termasuk juga guru yang bersungguh mengajar anak kami di kelas," katanya.

Gambar fail 19 Januari 2020... Murid Orang Asli etnik Bateq sedang belajar di sekolah rendah di Kampung Kuala Tahan di bawah program Kelas Chup Badui Sikulah. - Kredit foto: FB SK Kuala Tahan, Jerantut.


Kenapa nama asal, Kumbang a/l Kopenk ditukar John Kumbang?

"Rakan saya dalam kalangan pemandu pelancong meletakkan perkataan 'John' di pangkal nama. Perubahan ini mungkin disebabkan saya boleh bertutur bahasa mat salih dan sehinggalah menjadi kebiasaan penduduk di sini mengenali saya sebagai John Kumbang," jelasnya. 


ROSLAN ABU KASSIM


Sementara itu, rakannya, Roslan yang juga Pengerusi BGTN, mengakui apa yang diceritakan oleh John Kumbang adalah benar dan mereka berdua merupakan sahabat seusia yang baik sejak kecil.

"Kepetahannya berbahasa (Inggeris) kerana John Kumbang seorang yang gigih dan tekun untuk menguasai bahasa ini ketika kami mula menjadi pemandu pelancong sejak usia 20-an lagi.

"Dia antara 'guide' Orang Asli yang paling pakar dan berpengalaman di sini dan sehingga ini saya masih lagi mempelajari selok-belok kemahiran mengenai survival di hutan sebagai nilai tambah bagi tugas seorang pemandu pelancong," ujarnya.

Tambahnya, kebolehan John Kumbang sebagai perintis menguasai bahasa Inggeris kini menjadi sumber inspirasi bagi kalangan anak muda kaum minoriti berkenaan dan telah ramai pemandu pelancong Orang Asli Bateq bertauliah mampu menguasai bahasa tersebut.

Gambar fail 2018... Pemandu pelancong, Afzal Abdul Aziz (empat dari kanan) dan pemuda Orang Asli Bateq yang dikenali sebagai Murim sebagai 'porter' ketika mengiringi pelancong dari negara Romania di hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan.

 

3
1
0
0
0
You will be interested